Obygeng perjuangkan irama klasik


Obygeng

SECARA kebetulan, pertemuan empat anak muda ~ Muhammad Aqil Hakimi Zainal Abidin, 22, (vokalis), Mohammad Fariz Zainal, 21, (gitar bass), Muhammad Hariz Mohd Radzuan, 22, (drum) dan Muhammad Nazri Md Bidin, 26, (keybord) ketika berkaraoke di Restoran

Tanjung Puteri di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, menjadi titik mula perjuangan seni mereka.

Sejak dari itu, mereka menubuhkan Obygeng yang membawa maksud ‘Old But Young Gang’ yang membawa genre muzik berbeza dengan kumpulan yang sedia ada di persada muzik tempatan.

Memilih jaz klasik yang pernah menjadi pujaan masyarakat sekitar era 50-an, Obygeng bukan sahaja menyanyi bahkan turut bermain alat muzik.

Mewakili rakan-rakannya, Aqil berkata, kumpulannya membawa aliran muzik klasik jazz sebagai genre utama.

"Apa yang kami ingin fokus sekarang adalah untuk kembalikan semula peminat dan pendengar muzik ke era 50-an, 60-an dan juga 70-an.

"Bagi saya, keunikan grup ini boleh dilihat menerusi muzik klasik yang dinyanyikan sekumpulan anak muda berusia sekitar 20-an," katanya yang menubuhkan kumpulan ini pada tahun lepas.

Selepas terlibat secara serius dalam industri hiburan, segala aktiviti seni Obygeng diuruskan Chef Zainal Abdul Rahman yang juga pemilik Restoran Tanjung Puteri.






Jual nama Aizat?

Bukan sekadar omongan kosong, Obygeng kini melangkah dengan lebih yakin selepas melancarkan album pertama mereka, Nakal.

Selain lagu itu, terdapat sembilan lagu lain seperti Aizat Oh Aizat, Bermacam Rayu, Gadis Idamanku, Rindulah Rindu, Rindu Lukisan, Air Mata Berderai, Bintang Malam, Tetap Disini dan Raya Obygeng.

Bercerita mengenai lagu Aizat Oh Aizat, Aqil menegaskan ia tiada kaitan langsung dengan artis tempatan, Aizat Amdan.

Sebaliknya, Aqil berkata lagu tersebut berkenaan sahabat mereka yang bernama Aizat.

"Kami sebenarnya ingin menubuhkan kumpulan ini dengan lima anggota. Tetapi Aizat tidak berminat untuk menyertai Obygeng walaupun sudah puas kami memujuknya.

"Selaku sahabat baik, kami mencipta lagu khas buat Aizat. Dia kini merupakan peminat Obygeng," luah Aqil.

Dalam masa sama, Aqil berkata selain lagu genre jaz mereka turut memuatkan sebuah lagu raya sempena menyambut 1 Syawal bulan hadapan.

"Lagu terbaharu adalah lagu Raya Obygeng memandangkan sekarang kita berada di bulan Ramadan.

"Jadi kami mencipta khas lagu ini untuk menyambut Syawal yang akan tiba dalam tiga minggu lagi dalam genre Jazz," katanya.

Selain daripada menyanyi dan bermain muzik di Restoran Tanjung Puteri, Aqil berkata mereka sedang giat menulis lagu-lagu baharu.

"Saya berharap para pendengar dan masyarakat dapat menerima kami dan aliran muzik yang kami pilih.

"Kami juga ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa remaja seusia kami juga boleh menyanyi lagu-lagu jaz dan bukannya untuk golongan elit sahaja," ujarnya.

Tarik golongan muda

Memilih muzik klasik sebagai aliran utama mungkin menjadi masalah kepada Obygeng kerana golongan muda sekarang lebih memilih muzik lebih moden.

Tidak mudah berputus asa dengan persepsi orang ramai, Aqil berkata mereka tetap meneruskan perjuangan mereka.

Sambungnya, ia bukan menjadi masalah utama kerana mereka tetap menyanyi genre atau lagu-lagu terkini di pasaran.

"Biarpun mempertaruhkan muzik klasik tetapi kami tidak terlalu terikat dengan satu genre. Ada kalanya kami akan menyanyi genre lain mengikut cara kami tersendiri.

"Kami bukannya terlalu 'strict' dan hanya mendendangkan lagu-lagu klasik semata mata," katanya.

Menganggap perkara tersebut sebagai satu cabaran terbesar mereka, Aqil berkata dia akan cuba sedaya upaya untuk menarik golongan muda meminati muzik klasik.

Selaku vokalis dan gitaris, Aqil juga cuba untuk memandang perkara itu daripada sudut berbeza dan di luar kotak pemikiran.

"Saya mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang menyanyi dan bermain alat muzik. Apatah lagi saya pernah menuntut di UiTM, Shah Alam dalam jurusan muzik.

"Saya akan pastikan muzik Obygeng diterima oleh setiap lapisan masyarakat termasuk remaja. InsyaALLAH," katanya.

Biarpun sedar dengan hakikat tersebut, Aqil berkata, dia akan mencuba sedaya upaya untuk menarik pendengar daripada golongan muda.

"Mereka lebih gemarkan aliran muzik mainstream seperti punk rock, pop, balada dan sebagainya berbanding klasik.

"Jika kami tidak kembalikan semula genre muzik ini siapa lagi? Kami berharap usaha kami dapat mengekalkan warisan yang kian dilupakan," katanya yang turut memiliki koleksi baju Obygeng yang direka oleh pereka fesyen Ramond Zack dan SyairahZ.
Previous Post Next Post