Peluang buat pembikin filem pendek!


Joe Sidek

TROFEST South East Asia, yang merupakan platform untuk mengiktiraf karya-karya filem pendek bakal kembali dengan lebih hebat.

Mengetengahkan karya lebih ramai pembikin filem sedia ada dan sedang meningkat naik di rantau ini, program ini dijadualkan berlangsung pada 1 Februari 2015, di Pulau Pinang.

Seiring itu, penyertaan filem pendek Tropfest SEA 2015 kini telah pun dibuka bermula 1 Julai sehingga 30 September tahun ini.

Pengarah Urusan Tropfest SEA, Joe Sidek, berkata, pihaknya yakin program ini akan terus mendapat sambutan ramai memandangkan banyak lagi aktiviti sampingan diadakan.

"Tahun lepas, 12 filem terpilih ke peringkat akhir daripada 180 filem pendek dari sembilan negara Asia Tenggara.

“Tahun ini kami berharap untuk menarik penglibatan ramai bakat yang ada di rantau ini dan terus menggalakkan kepesatan penerbitan filem.

“Kami percaya Tropfest menyediakan wadah terbaik untuk mencungkil bakat generasi baru pembikin filem seperti yang dilihat daripada bilangan pengarah filem pendek yang telah melangkah maju untuk menerbitkan filem penuh.” katanya.

Tropfest SEA disokong oleh Perbadanan Kemajuan Filem Negara Malaysia (Finas) dan Malaysia Major Events (MME), sebahagian daripada Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Tropfest ditubuhkan 22 tahun lalu di Sydney, Australia sebagai cara untuk menggalakkan penerbitan dan tayangan filem pendek, memupuk penyampaian cerita kreatif, dan memberi peluang kepada pembikin filem berbakat untuk berkongsi kisah mereka dengan penonton secara langsung.




Previous Post Next Post