Pengacara Sherry Baharu Melodi Tersinggung Dikritik


Sherry ambil kritikan untuk perbaiki diri.

Pengacara Melodi yang baharu iaitu Sherry Alhadad meminta agar penonton tidak terus memberi kritikan negatif selepas dia dan Zulin Aziz terlibat megendalikan rancangan itu bersama Awal Ashaari.

Sherry, 30, berkata, mereka masih lagi mencari keserasian bersama Awal dan berusaha memastikan kehadiran mereka berjaya memenuhi selera penonton.

"Tipulah kalau saya kata tidak kecil hati dengan komen dan kritikan penonton terhadap kami, sehingga saya fikir teruk sangatkah saya mengacara?

"Bagilah kami masa dan peluang untuk memperbaiki diri, ini baru tiga minggu kami bersama dan saya yakin lama kelamaan ia akan lebih baik," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.


Gandingan baharu Melodi Awal Ashaari (kiri), Sherry (kanan) dan Zulin.

Sherry berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kritikan di media sosial tentang gandingan baharu program Melodi bagi menggatikan Zizan Razak iaitu Sherry Al-Hadad dan Zulin Aziz.

Selain itu kedua-dua mereka turut bersama Awal Ashaari yang masih dikekalkan sebagai pengacara berkenaan. Gandingan ini diperkenalkan pada 6 Julai lalu.

Sementara itu, Sherry mengakui gandingan mereka memberi cabaran besar apabila negara digemparkan dengan pemergian Biduanita Datuk Sharifah Aini dan nahas pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH17.
Katanya, episod itu memerlukan mereka sentiasa berhati-hati agar tidak terlepas cakap yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak.

"Dua episod awal ini sangat mencabar apabila berhadapan situasi yang sangat sensitif, kami perlu jaga percakapan dan tidak boleh terlepas lawak yang tidak kena tempat.

"Jadi pada episod MH17 Ahad lalu, kami memang tidak banyak cakap kerana sentiasa fikir apa yang perlu dicakap yang tidak menyentuh perasaan mana-mana pihak sehingga akhirnya tidak terkeluar apa yang hendak dicakap itu.

"Nasib baik Awal banyak pengalaman tentang itu, saya tahu ada yang komen kata kami tidak banyak cakap dan tiada fungsi pada minggu itu," katanya.

Sherry berkata, dia akui seorang pengacara yang baik perlu bersedia untuk berhadapan dengan sebarang situasi sekalipun.

Katanya, biarpun agak kecewa dengan kritikan yang diberikan, namun dia mengambil perkara itu sebagai cara untuk memperbaiki diri.

"Kalau boleh saya tidak mahu baca komen mereka sebab ia beri unsur negatif tetapi bila fikir balik, saya kena baca juga untuk saya perbaiki diri menjadi lebih baik," katanya.




Previous Post Next Post