Nad Zainal
Pelakon Nad Zainal bersama ibunya Faridah Mohd Nor mengambil kesempatan sempena cuti sambutan Hari Raya ini dengan membuka perniagaan iaitu mengendalikan tempat penjagaan kucing.
Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 24, berkata, perniagaan itu merupakan cadangan ibunya memandangkan mereka beraya di Kuala Lumpur (KL) sahaja kerana tiada kampung halaman.
"Sebenarnya saya sudah lama lihat pemilik kucing sering bermasalah untuk menghantar haiwan peliharaan mereka setiap kali perlu pulang ke kampung atau bercuti ke luar KL.
"Malah ada juga yang risau dengan keselamatan kucing-kucing mereka memandangkan banyak kes haiwan peliharaan di pusat penjagaan tidak terjaga.
"Jadi memandangkan kami beraya di KL sahaja, ibu bercadang untuk membuka perniagaan ini dan sebagai permulaan, servis penjagaan kucing akan dibuat di rumah sahaja," katanya yang dihubungi mStar Online.
Tambah Nad, selain kucing, dia dan ibunya turut mengambil perkhidmatan penjagaan arnab.
Dalam pada itu, Nad berkata, rasa cinta terhadap kucing juga membuatkan dia bersama ibu nekad melakukan perniagaan itu dan yakin pelanggan akan berpuas hati dengan servis yang diberikan.
"Ibu seorang pencinta kucing yang serba tahu berkaitan dengan haiwan itu, begitu juga dengan saya yang mempunyai enam ekor kucing.
"InsyaAllah, saya memberi jaminan bahawa kucing-kucing yang dihantar akan dijaga sebaik-baik. Malah kami juga akan melepaskan kucing-kucung pada masa-masa tertentu agar ia tidak tertekan akibat dikurung," ujarnya.
Bagi yang ingin menghantar kucing atau arnab peliharaan boleh menghubungi talian 017-2544331 untuk membuat tempahan membabitkan kawasan Taman Dagang, Ampang sahaja.