Perasaan Sukar Siti Nurhaliza Jaga Datuk K Dikongsi Dalam Lagu


Siti kongsi perasaan dalam lagu 'Jaga Dia Untukku'.

Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin memberitahu lagu terbaharunya berjudul Jaga Dia Untukku merupakan perkongsian tentang perasaannya melalui waktu-waktu sukar ketika suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau dikenali sebagai Datuk K terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lalu.

Siti, 35, berkata, ia bercerita tentang pelbagai perasaan yang dipendam dan sukar untuk digambarkan ketika kejadian itu yang hanya dirasai oleh dirinya seorang.

"Lagu ini adalah tentang pengalaman setahun lalu ketika suami saya terlibat dengan kemalangan jalan raya, ia berkongsi tentang perasaan hiba, sedih dan berkecamuk ketika itu sehingga saya membuat untuk berhenti menyanyi selama empat bulan bagi menumpukan perhatian sepenuhnya mengaja dia.

"Ketika itu orang ramai tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi, jadi saya minta Aubrey Suwito (komposer) dan kakak ipar saya, Rozi yang tahu tentang keadaan itu mencipta sebuah lagu dan lirik tentang kejadian itu," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran album Fragmen, di Hotel Le Maridien, di sini, malam Isnin.

Album yang memuatkan sebanyak sembilan buah lagu itu turut menerima Anugerah Platinum apabila jualan album mencecah 5,000 unit dalam masa seminggu dikeluarkan.
Sementara itu, Siti turut mengakui agak kecewa dan geram apabila masyarakat memberi pelbagai spekulasi terhadap keadaan suaminya selepas kemalangan tersebut.

Bagaimanapun, dia enggan mengambil peduli tentang perkara itu dan menganggap ia sebagai satu cabaran sebagai seorang isteri yang perlu ditempuhinya.


Siti Nurhaliza lima dari kiri ketika pelancaran albumnya.

"Memang geramlah bila macam-macam cerita keluar tentang Datuk K ketika itu, tetapi saya sabar dan faham ia adalah kerana mereka tidak tahu keadaan sebenar suami saya.

"Kami tidak benarkan ramai orang datang melawat kerana Datuk K perlukan rehat dan menjalani rawatan fisioterapi setiap hari, mungkin disebabkan itu banyak spekulasi tidak betul timbul," katanya.

Dalam pada itu, Siti berkata, kejadian tersebut mempunyai hikmah tersendiri yang menguji kesabarannya sebagai seorang isteri.

Sementara itu, bercerita tentang album Fragmen ini, Siti berkata ia sarat dengan nilai kasih sayang, semangat dan juga rasa kecintaan dalam perspektif yang lebih meluas.

Tambahnya, dia mahu menerapkan nilai-nilai positif supaya album ini bukan sahaja boleh didengar muzik dan lagunya tetapi turut menghayati lirik-lirik yang ditampilkan.

Fragmen turut memuatkan lagu seperti Aku, Mula dan Akhir, Kau Sangat Bererti, Sanubari, Terbaik Bagimu, Warna Dunia dan Membunuh Benci.




Previous Post Next Post