Sertai MLM, Eira Syazira-Azad Jazmin dicemuh



SEBELUM ini, ada laporan media yang menyebut pasangan romantis, Azad Jazmin dan Eira Syazira kini sudah meninggalkan bidang lakonan.

Kesal dengan tuduhan tersebut, baik Eira mahupun Azad menjelaskan, yang mereka bukanlah berhenti berlakon, sebaliknya hanya berehat sebentar kerana sibuk dengan perniagaan masing-masing.

"Di sini saya ingin menjelaskan, saya dan Azad bukanlah meninggalkan bidang lakonan.

"Kami sayang dengan kerjaya lakonan ini.

"Cuma, buat sementara waktu ini, kami berehat daripada berlakon untuk menumpukan pada perniagaan semata-mata," katanya yang akan kembali ke set penggambaran untuk sebuah drama bersiri 26 episod selepas Aidilfitri ini.

Azad yang turut bersetuju dengan kenyataan isterinya itu memberitahu, dia juga kini sibuk menguruskan perniagaan multi level marketing (MLM), Rania Marketing yang baru diceburinya sejak beberapa bulan lalu.

"Saya sudah berehat berlakon sejak Mei lalu.

"Kini, saya sedang menunggu filem-filem yang bakal ditayangkan tahun ini," katanya pada Zass ketika ditemui selepas sidang media Program Raya Astro, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Eira atau nama sebenarnya Syazira Suhaimi memberitahu, dia adalah antara artis terawal yang menceburi perniagaan atas talian (online) sejak beberapa tahun dulu.

Akuinya, penyertaannya dalam perniagaan sebegitu menyebabkan dia dipandang serong oleh segelintir artis.

"Menerusi perniagaan ini, saya menjual pelbagai benda sehinggakan ada artis yang tidak suka saya berbuat demikian.

"Bukan itu saja, saya juga pernah dituduh sebagai merendahkan maruah dan status seseorang artis.

"Tetapi, jika dilihat pada hari ini, ramai saja artis yang melakukannya," luahnya lagi.

Begitu pun, bagi pelakon berusia 30 tahun itu, dia menerima setiap kecaman dan tohmahan itu sebagai cabaran dalam berniaga.

"Kecaman itu bagus sebenarnya. Ia terus memberikan saya semangat untuk melangkah maju ke hadapan.

"Malah, perniagaan atas talian ini juga menjadi sumber pendapatan terpenting kepada keluarga saya.

"Alhamdulillah, kini saya juga sudah ada bazar di Medan Mara dan merancang untuk membuka butik tidak lama lagi," katanya.

Bantu masyarakat Melayu

Sementara itu, Azad menjelaskan perniagaan MLM yang diceburi oleh mereka lebih kepada membantu masyarakat Melayu dalam menjana kewangan.

Biarpun perniagaan berkonsepkan MLM sering dipandang negatif oleh masyarakat, namun Azad tetap yakin dengan penyertaannya itu.

"Biasalah, bila masyarakat kita dengar saja tentang MLM, mereka terus menunjukkan reaksi kurang minat.

"Tetapi, apa yang boleh saya katakan, perniagaan yang kami ceburi ini lebih kepada membantu orang-orang Melayu dalam menjana kewangan.

"Lagi pun, syarikat yang menjalankan perniagaan ini adalah syarikat berpengaruh dan sudah hampir 15 tahun bertapak dalam dunia perniagaan. Sebab itu saya yakin untuk menyertainya," katanya.

Menurutnya, perniagaannya itu akan diperkenalkan pada masyarakat umum sekitar November nanti.

Pelakon filem Kolumpo itu memberitahu, perniagaan yang mereka ceburi itu dapat menampung perbelanjaan keluarganya yang semakin membesar.

"Alhamdulillah.

"Dalam tempoh dua minggu, saya sudah mampu membeli motosikal berjenama iaitu Ducati Diavel manakala Eira kini sedang menunggu pinjamannya diluluskan untuk membeli Evo," katanya.

Tambah pelakon filem Ngangkung itu lagi, dia berjaya meyakinkan 10 selebriti popular tempatan seperti Shaheizy Sam dan Keith Foo untuk turut sama menyertai perniagaan terbabit.




Previous Post Next Post