Zizan Razak beraya dengan Emma Maembong



BILA bercerita mengenai sambutan hari raya, pastinya zaman kanak-kanak adalah antara momen terindah yang diingati sampai bila-bila.

Akui perkara yang sama, pelakon dan pelawak, Zizan Razak turut berkongsi kemeriahan pagi rayanya ketika zaman kecilnya.

“Apa yang saya ingat sampai sekarang adalah suasana malam raya kami sekeluarga.

“Ketika itu, kami akan berkumpul sekeluarga untuk menunjukkan baju yang akan dipakai pada pagi raya.

“Memang meriah sebab masing-masing teruja dengan pakaian baru.

“Tapi sekarang bila sudah meningkat dewasa, semua aktiviti ini ditinggalkan, tambahan pula dengan jadual padat saya yang jarang dapat pulang awal ke ke kampung,” ujarnya.

Akui rindu dengan suasana itu, tahun ini Zizan merancang meluangkan masa lebih lama di kampungnya.

“Tahun ini memang saya akan cuba balik awal dan kalau boleh, saya mahu buat semua aktiviti raya yang sudah lama kami tidak lakukan.

“Memang saya rindu dengan sambutan yang meriah seperti zaman kanak-kanak dulu,” katanya sambil tertawa kecil.

Tambah Zizan lagi, sambutan hari raya tahun ini juga dianggap lebih bermakna dengan kehadiran kekasih hatinya, Emma Maembong.

“Tahun sebelum ini juga saya sempat bertemu Emma pada hari raya, kebetulan dia juga orang Terengganu.

“Tapi bezanya, tahun ini mungkin hubungan kami yang lebih rapat,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.




Previous Post Next Post