Maya Karin rasa seperti ‘Saloma’


Maya Karin tampil dengan lagu raya baru berjudul Pulang

BERSESUAIAN dengan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, penyanyi dan pelakon Maya Karin tampil dengan lagu raya baru berjudul Pulang.

Berbeza dengan lagu-lagu raya baru yang lain, Pulang menampilkan muzik yang lebih klasik dan ditambah pula dengan lirik lagu yang sederhana membuatkan lagu ini sedap didengar sekali gus membuatkan pendengar merasa teruja serta tidak sabar untuk pulang ke desa tercinta bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang.

Teruja dengan kemunculan lagu itu, Maya akui sudah 'jatuh cinta' apabila pertama kali mendengar karya komposer, Omar K ini.

“Saya memang suka sangat lagu ini kerana muzik yang ditonjolkan agak nostalgia sama seperti lagu-lagu raya dahulu.

“Bila menyanyikan lagu ini saya ada rasa ‘feel’ seperti Saloma,” katanya sambil tertawa.

Mengulas lanjut mengenai lagu itu, penyanyi Bintang Syurga ini juga akui berpuas hati dengan hasil kerja menyiapkan lagu tersebut.

“Alhamdulillah, saya tidak ambil masa yang lama untuk rakamkan lagu ini cuma sehari sahaja.

“Saya juga selesa menyanyikan lagu ini kerana komposernya juga beri saya ruang untuk saya bawakan lagu ini dengan cara tersendiri.

“Saya berharap lagu ini diterima baik oleh semua peminat dan kalau boleh biarlah ia diingati dan didengari sampai bila-bila seperti mana lagu raya ‘evergreen’ yang lain,” ujarnya ketika ditemui pada majlis berbuka Warner Music Malaysia di Hotel Hilton, baru-baru ini.



Tampil saudara mara

Beralih pada pembikinan klip video Pulang yang turut dilancarkan pada hari tersebut, Maya memberitahu ia adalah hasil ideanya sendiri dan menampilkan saudara-maranya.

“Sebenarnya pembikinan ini dilakukan pada saat akhir memandangkan masa yang saya ada juga terhad.

“Pada awalnya pihak Warner Music menetapkan konsep malam raya dan merancang untuk mengadakan pertandingan untuk peminat supaya mereka yang bertuah dapat membintangi klip video ini,” ujarnya.

Memandangkan masa agak suntuk, Maya mencadangkan penggambaran itu dilakukan di rumahnya sendiri.

“Untuk memudahkan kerja, saya pilih lakukannya di rumah dan pada masa yang sama mengetengahkan keluarga dan saudara-mara sendiri.

“Lagi pun dengan keserasian kami sebagai satu keluarga, klip video ini menjadi lebih semula jadi dan ia memang bermakna buat saya,” tuturnya.




Previous Post Next Post