RAMADAN dan Syawal yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi menimbulkan kesayuan di hati penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein.
Masakan tidak, jika selama 33 tahun dia meraikan Ramadan dan lebaran bersama ibu tersayang, Sabariah Ahmad, 56, namun tahun ini Elly terpaksa akur meraikannya hanya bersama bapa tersayang, Syed Hanafi.
"Ibu saya meninggal dunia pada Hari Ibu yang lalu. Sehingga kini saya masih terkejut dan terasa kehilangannya kerana sebelum ini ke mana sahaja saya pergi, ibu akan menemani. Dia juga menjadi peminat saya yang cukup jujur.
"Tapi dalam masa yang sama, sebagai anak, saya bersyukur kerana ibu saya meninggal dalam keadaan yang cukup mudah," katanya yang ditemui baru-baru ini.
Menceritakan semula detik pahit, Elly berkata, selepas menyampaikan ucapan Selamat Hari Ibu, dia kemudiannya keluar ke set penggambaran dan arwah tinggal bersama bapanya.
"Kira-kira jam dua pagi, ibu kejutkan ayah untuk tutup penghawa dingin kerana sejuk dan abah tergerak untuk membuka lampu. Sebaik lampu dibuka dia lihat ibu menarik satu nafas panjang dan tidak sedarkan diri.
"Saya dan abah kini saling memberi sokongan antara satu sama lain. Alhamdulillah, orang di masjid Nusa Putra juga banyak memberi sokongan moral kepada kami di atas kehilangan ini," katanya.
Ujar Elly, perayaan Aidilfitri tahun ini disambut seringkas mungkin dan mereka tidak lagi memesan kuih raya seperti sebelumnya.
"Ada kuih raya yang dipesan awal, kami akan simpan. Tapi kami tidak akan pesan kuih raya lagi. Walaupun berat untuk menyambut Aidilfitri, tapi kami kena fikirkan abah. Kami tak mahu abah terus bersedih," katanya.
Dalam pada itu, Elly berkata, jadual seninya kini agak padat dengan penggambaran drama menyebabkan dia jarang dapat muncul di majlis hiburan.
Dek kerana itu, ada yang beranggapan dia memencilkan diri dan merajuk.
"Saya akui ada yang datang jumpa saya dan kata sudah lama tidak melihat saya di media. Tapi sebenarnya saya sibuk di lokasi. Macam sekarang, saya baru selesai menjalani penggambaran Ema Emyliana untuk musim kedua dan bakal menjalani penggambaran Ema Emyliana musim ketiga selepas raya.
"Selain itu, saya juga akan memasuki set penggambaran drama bersiri terbitan Astro sebanyak 123 episod. Jadi lepas ini mungkin lagi sukar untuk lihat saya muncul di media," katanya.