Sazzy Falak mahu hias rumah



SUDAH menjadi kemestian apabila tibanya bulan Syawal, setiap umat Islam akan berkumpul bersama bagi meraikan hari kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah puasa.

Lebih istimewa, hari raya yang disambut dimeriahkan lagi dengan kehadiran sanak saudara serta kaum keluarga yang telah lama tidak bersua muka.

Tidak terkecuali menantikan saat tibanya kehadiran tanggal 1 Syawal, pengacara dan pelakon genit Sazzy Falak yang turut melahirkan rasa teruja menanti tibanya bulan mulia itu pada tahun ini.

Keluarga besar

"Saya sangat suka apabila tiba hari raya," ujar Sazzy, 33, ringkas sewaktu berkesempatan bertemu dengannya selepas majlis berbuka puasa anjuran Astro di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tutur bekas pengacara program hiburan Beat TV ini, dalam tempoh setahun, kehadiran Hari Raya Aidilfitri merupakan salah satu hari yang paling dinanti-nantikan olehnya dan keluarga.

"Apabila tibanya Aidilfitri, saya dan keluarga dapat bertemu setelah sekian lama tidak bersua. Maklumlah, masing-masing sibuk dengan kerjaya dan susah untuk berjumpa.

"Pada hari raya sahaja kami dapat bertanya khabar dan meluangkan masa bersama," ujarnya sambil tersenyum.

Tambah Sazzy, dia berasa sangat beruntung kerana dikurniakan keluarga yang agak besar, apatah lagi suaminya juga turut mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai. Kehadiran bulan Syawal saban tahun pasti dimeriahkan lagi dengan gelak tawa sanak saudara apabila berkumpul bersama.

"Disebabkan itu ramai yang mengatakan sambutan hari raya kami sekeluarga kelihatan meriah. Alhamdulillah, selepas berkahwin, keluarga saya yang sudah sedia ada besar ini menjadi semakin besar," ujarnya lagi.


SERONOK... Pasangan ini lebih teruja membuat persiapan bagi anak kembar mereka iaitu Imaan Lily (kiri) dan Tiara Rose.

Si kembar

Menyentuh tentang pengalaman menjaga pasangan kembarnya, Imaan Lily dan Tiara Rose, 3, ketika bulan Ramadan, Sazzy berkata, cabarannya tidaklah sehebat ketika mereka masih kecil.

Ujarnya, setelah mereka pandai bercakap dan berjalan, kerja-kerja penjagaan menjadi lebih mudah.

"Sejujurnya, ketika Imaan dan Tiara masih bayi, agak mencabar bagi saya untuk memantau keadaan mereka saban hari. Setiap perkara yang ingin dilakukan perlu ada bantuan daripada orang lain.

"Namun, setelah mereka semakin membesar dan boleh berjalan, kerja-kerja yang dahulunya remeh menjadi semakin lancar. Tambahan pula, mereka sudah tahu untuk mengadu jika terdapat sebarang masalah," ujar Sazzy.

Tambah pelakon filem Gol & Gincu ini lagi, mereka petah berkata-kata sehingga dia berasa sungguh terkejut apabila kedua-dua puteri kembarnya itu meminta agar mereka dimasukkan ke sekolah dalam masa yang terdekat.

"Saya sangat terkejut apabila mereka mahu ke sekolah. Tapi, apa salahnya jika permintaan tersebut boleh membawa kepada kebaikan. Saya berharap agar minat terhadap pembelajaran akan kekal sehingga mereka dewasa," ujarnya yang akan memasukkan Imaan dan Tiara ke program prasekolah tahun depan.

Persiapan

Bercakap mengenai kedatangan Hari Raya Aidilfitri nanti, ibu kepada pasangan kembar ini mengakui tidak berlebih-lebih dalam membuat persiapan.

Katanya, dia lebih menumpukan perhatian terhadap tugas-tugas mengemas dan menambah dekorasi rumah, selain memilih kuih raya untuk dihidangkan kepada tetamu nanti.

"Persiapan raya untuk tahun ini biasa-biasa sahaja. Rutin saya sama seperti tahun-tahun sebelum ini iaitu memilih baju untuk kami sekeluarga.

"Cuma, saya berasa ingin menambah dekorasi rumah dan membeli banyak kuih raya tahun ini," tuturnya sambil tersenyum.

Melanjutkan perbualan mengenai sambutan Aidilfitri pada tahun ini, suaminya, Nazril Idrus, 40, memberitahu, mereka bakal pulang ke kampungnya di Port Dickson, Negeri Sembilan sehari sebelum hari raya.

Peluang tersebut diambil bagi mengambil mood untuk berhari raya di kampung halaman sendiri.

"Kebetulan tahun ini giliran kampung saya, jadi peluang itu digunakan untuk pulang awal sehari awal sebelum sambutan Hari Raya," celahnya.


KATA Sazzy, dia sedang merancang muncul dengan jenama Imaan Lily Tiara Rose pada bulan Ogos nanti.

Karier

Berkongsi tentang perkembangan terbaharunya, Sazzy yang kini begitu aktif dalam perniagaan fesyen online selesa dengan apa yang dilakukan.

Walaupun tidak kerap muncul di kaca televisyen, namun dia masih menerima tawaran jika diminta untuk mengacarakan majlis-majlis tertutup di sekitar ibu kota.

"Selepas menubuhkan laman web streetfashionkl.com dan menjual beberapa jenama pakaian dari seluruh dunia secara online, saya agak kurang muncul di televisyen. Lebih-lebih lagi apabila saya sudah jarang mengendalikan rancangan hiburan.

"Namun, saya masih aktif mengacarakan majlis secara tertutup," ujarnya yang turut terlibat dalam program sukan MyEG Extra Time di Astro.

Memanjangkan bicara mengenai gedung fesyen onlinenya, Sazzy yang baru-baru ini diberi peluang untuk memperagakan busana jenamanya di Minggu Fesyen Kuala Lumpur Fesyen 2014 bakal muncul dengan koleksi pakaian kanak-kanak perempuan menerusi jenama Imaan Lily Tiara Rose pada bulan Ogos nanti.

"Sejak kebelakangan ini, permintaan untuk baju kanak-kanak begitu menggalakkan. Justeru, saya ingin mencuba pasaran sedia ada dengan menampilkan koleksi khas untuk kanak-kanak perempuan.

"Lagipun, pengikut anak-anak saya di Instagram boleh tahan ramai, jadi tidak salah untuk saya mencuba," katanya sambil tersenyum.




Previous Post Next Post