Kisah benar dalam Rock Sangkut



MANTAP... Mawi bersama Hazama, Soya dan Joey (kanan, duduk) menjayakan telefilem Rock Sangkut dengan cara mereka tersendiri.

SEMPENA sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, sebuah telefilem komedi berjudul Rock Sangkut akan ditayangkan di Astro Prima dan Astro Maya HD pada hari raya pertama.

Ditunjangi oleh pelakon Hazama, Joey Daud dan Mawi serta Soya, telefilem itu mengisahkan tentang tiga orang sahabat yang bercita-cita ingin menjadi artis dengan menubuhkan kumpulan rock.

Bagaimanapun, pelbagai cabaran harus ditempuhi mereka sebelum terjadinya satu perubahan yang besar dalam hidup ketiga-tiga sahabat itu.

Diarahkan oleh Mawi, penyanyi lagu Al Haq Yang Satu itu memberitahu, kisah tersebut diangkat berdasarkan kisah sebenar.

Mawi juga mengakui tidak suka mereka cerita, sebaliknya lebih senang menghasilkan karya daripada kisah sebenar supaya ia lebih dekat kepada penonton.

“Cerita sebegini realitinya sudah ada, cuma belum divisualkan. Saya tidak suka mereka cerita. Saya rasa lebih dekat jika ia realiti.

“Banyak perkara yang dekat dengan masyarakat terdapat dalam telefilem Rock Sangkut ini. Dari segi dialog sehingga pada babak-babak yang dipaparkan,” ungkap Mawi yang pernah menghasilkan telefilem raya berjudul Siapa Dapat Lisa, Pak Nil Ibu Kirim Salam dan Novel Fana.

Menjalani penggambaran Rock Sangkut di Sepang, Selangor, Mawi mengakui terkejut kerana mampu menghabiskan penggambaran telefilem itu selama lima hari sahaja.

Kebiasaannya, kata Mawi, dia mengambil masa sehingga lapan hari untuk menyiapkan sebuah telefilem, namun untuk Rock Sangkut dia mampu menyiapkannya dengan lebih cepat berkat komitmen yang tinggi daripada pelakon-pelakon terbabit.


ROCK SANGKUT akan ditayangkan di Astro Prima dan Astro Maya HD pada hari raya pertama.

Watak pelik Hazama

Sementara itu, menurut Joey pula, dia membawakan watak Rumi seorang remaja yang bercita-cita menjadi penyanyi.

Rapat dengan bapanya yang merupakan seorang duda, apa yang diminta Rumi pasti dikotakan kerana rasa kasih kepada anak yang seorang itu.

“Pada mulanya bapa tidak sokong Rumi menjadi penyanyi, namun akhirnya bapanya yang dilakonkan oleh Din Maidin membenarkan anak kesayangannya itu menjadi penyanyi rock,” jelasnya ketika ditemui pada sesi fotografi bersama Kosmo! di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kongsi Joey lagi, telefilem itu menyingkap kisah Rumi yang dahagakan kasih sayang seorang ibu, namun dia masih mendapat kasih sayang tersebut daripada bapa dan kawan-kawannya.

Sebaliknya watak Hazama pula, divisualkan sebagai seorang yang pelik. Bernama Abadi, dia seorang anak yatim dan mempunyai seorang sahabat baik iaitu seekor ayam yang bernama Saleha.

Biarpun dia hidup dalam dunianya sendiri, ungkap Hazama, Abadi cukup pandai bermain dram.

“Memang agak mencabar untuk saya membawakan watak Abadi. Saya tidaklah seperti Abadi yang terlalu mencintai alam sekitar.

“Sampaikan bila Rumi buang sampah pun dia akan marah dan memberi ceramah panjang lebar. Dia juga mempunyai perangai yang pelik apabila suka bercakap dengan binatang dan tumbuh-tumbuhan. Macam mana pertemuan antara Abadi dan Rumi nanti kena saksikan,” kongsi Hazama mengenai wataknya itu.

Dalam pada itu, terdapat satu watak yang dilakonkan oleh Soya yang diadakan demi menyerikan lagi telefilem Rock Sangkut.

Mengulas mengenai wataknya, Soya memberitahu, dia membawa pelbagai jenis watak seperti pengantin, peminta sedekah, pengacara majlis dan pembantu orang buta.

“Watak saya ini menuntut saya muncul dalam pelbagai keadaan dan di mana-mana sahaja,” kata Soya.




Previous Post Next Post