
Barisan pelakon yang terbabit di dalam karya milik syarikat produksi JS Pictures bergambar pada majlis pelancaran drama terbitan mereka di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur baru-baru ini.
SETELAH hampir dua tahun Sheila Rusly mendiamkan diri daripada bidang lakonan, akhirnya pelakon yang popular menerusi filem Pontianak Menjerit itu kini kembali ke layar perak menerusi dua drama iaitu Ramadan Jangan Pergi dan Di Pintu Neraka.
Menurut isteri kepada pengarah, Jinggo, dia tidak berlakon bukan kerana merajuk, tetapi sepanjang tempoh itu dirinya sibuk membantu suaminya di sebalik tabir menguruskan kerja-kerja penerbitan.
“Saya mempunyai sebab tersendiri mengapa saya tidak berlakon. Saya sekarang banyak bekerja di belakang tabir. Kami sibuk menyiapkan lima produk untuk Ramadan kali ini.
“Semua naskhah itu merupakan arahan suami saya (Jinggo). Kami mengambil masa lebih kurang setahun untuk menyiapkan semua program ini,” katanya ketika ditemui usai pelancaran drama terbitan JS Pictures di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bercerita mengenai sebab dia kurang mempraktikkan lagi skil lakonannya, Sheila berkata, sudah sampai masanya untuk dia memberi peluang kepada generasi muda untuk mengembangkan bakat yang ada.
Katanya: “Saya kurang berlakon kerana saya rasa sudah sampai masanya saya memberi peluang kepada pendatang baru.
“Berlakon sudah menjadi sebahagian darah daging saya. Saya juga tidak berhajat untuk terus berhenti daripada berlakon.
“Sekembalinya saya ke dunia lakonan kali ini hanyalah sekadar memeriahkan lagi industri ini. Sambil melepaskan kerinduan untuk berlakon dan mengubat kerinduan para peminat saya.
“Namun demikian, saya tidak berniat mengambil kesempatan berlakon di dalam produksi sendiri, sebaliknya kemunculan saya merupakan permintaan stesen TV itu sendiri. Saya sekadar memenuhi permintaan mereka.”
Dalam pada itu, Sheila meluahkan rasa kesalnya terhadap tindakan segelintir pihak yang menyalahertikan tindakan dan cara kerjanya mengendalikan JS Pictures.
Hal tersebut timbul berikutan akan kedengaran 'suara-suara sumbang' yang memberikan gambaran negatif syarikat mereka.
Kononnya, sesiapa yang bekerja di bawah produksi mereka pasti tidak sanggup untuk berdepan dengan cara kerja yang dipraktikkan Sheila terhadap setiap kru penerbitannya.
Oleh kerana itu, ramai pelakon dikatakan takut untuk bekerja dengan JS Pictures.
“Ada suara-suara sumbang mengatakan sesiapa yang bekerja dengan JS Picture pasti berdepan dengan dugaan, cabaran dan mereka mesti tidak tahan dengan cara kerja saya.
“Saya rasa persepsi negatif itu timbul mungkin juga kerana sikap dan karakter saya. Saya akui, sebelum ini saya dikenali menerusi watak-watak ganas, jahat dan serius. Jadi tak dinafikan apabila bekerja saya sememangnya seorang yang tegas.
“Kalau saya marah pun, bukan semata-mata marah. Saya mahu pelakon saya betul-betul fokus dan memberikan komitmen. Bila orang ramai bagi maklum balas positif terhadap drama-drama terbitan JS Pictures, penat lelah serta susah kami sekurang-kurangnya berbaloi,” katanya.
Berbalik tentang lima program Ramadan terbitan mereka, ia kini hangat ditayangkan di beberapa stesen televisyen tempatan.
Ramadan Jangan Pergi misalnya kini hangat ditayangkan di TV3, manakala program masakan Ketuk-Ketuk Ramadan masih lagi setia ditayangkan oleh saluran TV1.
Selain dua produk tersebut, tiga lagi naskhah terbitan mereka ialah Di Pintu Neraka dan Ramadan Berlima serta Ketuk-Ketuk Syawal.