
MANIS. Ziana Zain kini tampil dengan imej baharu iaitu berhijab sempena mengambil berkat hari Nuzul al-Quran yang jatuh pada semalam.
PADA Januari tahun ini, penyanyi dan aktres terkenal negara, Ziana Zain dalam satu temu bual pernah mendedahkan keinginan anak sulungnya, Muhammad Aiman untuk melihat beliau bertudung.
Aiman yang kini berusia 14 tahun merupakan pelajar sekolah Agama Menengah Muhammadiah Pekan Sabak, Sabak Bernam, Selangor turut menasihatkan Ziana agar segera bertudung kerana manusia tidak tahu bila tarikh kepulangan menghadap Ilahi.
Kata Ziana dalam temu bual tersebut, beliau menerima nasihat anaknya itu dengan hati yang terbuka. Namun, beliau menjelaskan kepada Aiman bahawa tindakan bertudung atau menutup aurat akan dilakukannya dengan rela hati dan ikhlas.
Januari berlalu. Sekitar enam bulan selepas itu iaitu awal Ramadan lalu, tindakan Ziana memakai hijab berwarna hijau bersama anak-anaknya yang dimuat naik menerusi akaun Instagram miliknya menjadi perhatian.
Dalam pada banyak pihak menyangka Ziana sudah benar-benar berhijab, penyanyi berusia 46 tahun itu sebaliknya menjelaskan beliau memakai hijab demi menghormati guru-guru di sekolah anak-anaknya.
Namun, hidayah yang Tuhan beri tiada siapa yang dapat menebak. Sebaik masuk Ramadan ke-17, tepat pada sambutan hari Nuzul al-Quran, pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain ini telah memakai hijab sepenuhnya.
Isteri kepada Armin Zahrin dan ibu empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 14, Muhammad Ammar, 11, kembar Siti Nour Kaseh dan Muhammad Ariel, 4, bercakap kepada Kosmo! tentang penghijrahannya yang disifatkan sebagai satu rahmat kepada dirinya.
Kosmo!: Assalammualaikum Ziana Zain. Boleh anda beri penjelasan lanjut mengenai keputusan anda berhijab?
ZIANA: Alhamdulillah, saya kira ini adalah hadiah terbesar buat saya daripada Allah SWT di hari baik dan bulan mulia ini. Bermula hari Nuzul al-Quran, secara terbuka saya mahu mengumumkan kini sudah berhijab sepenuhnya.
Bagaimanakah dengan reaksi suami, anak-anak dan keluarga anda?
Saya kira, penghijrahan ini juga banyak bergantung kepada keluarga saya. Saya sifatkan Tuhan mendengar doa daripada semua pihak termasuk suami, ibu bapa, anak-anak dan peminat saya agar saya berhijab dan saya bersyukur kerana diberi peluang untuk berhijrah.
Bagaimanakah anda melalui proses penghijrahan ini?
Saya tenang dengan penghijrahan ini. Sebenarnya, penghijrahan ini terjadi bukan disebabkan sesiapa, sebaliknya ini adalah niat yang telah ditunaikan Allah buat saya. Saya telah berniat untuk berhijab sekitar lima tahun lalu, cuma setiap pergerakan kita ini telah dicatat oleh Allah, dan rupanya pada hari mulia ini baru Dia berikan peluang saya berhijrah sepenuhnya.
Anda dikenali sebagai seorang ikon fesyen sebelum ini. Jadi bagaimanakah arah fesyen anda selepas berhijab ini?
Sebagai seorang artis, apabila berada dalam dunia seni, penampilan memang menjadi titik perhatian umum. Jadi saya mengambil pendekatan memakai pakaian yang selesa dan sesuai untuk diri saya. Tapi pada masa yang sama saya perlu pastikan ia tidak menjolok mata, sementelah saya kini telah berhijab.
Soalan asas apabila seseorang artis berhijab, bagaimanakah dengan karier anda selepas ini?
Saya masih Ziana Zain yang dahulu. Cuma saya kini tampil dengan pemakaian yang sopan. Selepas ini, saya perlu juga lihat kesesuaian tempat persembahan atau acara agar ia bersesuaian dengan imej saya.
Ada perasaan gentar atau tidak sekiranya penghijrahan anda ini akan membuat tawaran nyanyian berkurangan?
Perkara ini semua rezeki Allah. Tidak kira bertudung atau tidak, kenapa harus takut dengan momokan tentang tawaran yang akan berkurangan? Saya cuma menjalankan perintah Allah. Lagipun saya lihat peminat juga amat menyokong penghijrahan seseorang artis.
Apakah aktiviti anda sepanjang bulan Ramadan ini?
Memang sejak dahulu lagi, saya tidak mengambil sebarang tawaran atas permintaan ibu saya, Robiah Abdul agar saya memberi fokus terhadap ibadah di bulan Ramadan. Walaupun saya sudah berusia 46 tahun, saya masih mendengar nasihat atau permintaan ibu kerana tidak mahu menjadi anak derhaka.