Tasha, Ajak pengacara baharu Galaksi



Pelakon, Tasha Shilla dan Ajak Shiro dipilih sebagai pengacara program informasi hiburan sensasi, Galaksi yang disiarkan di TV9 setiap Jumaat pada pukul 8.30 malam.

Gandingan itu bakal memulakan tugas mereka pada hari ini bagi menggantikan tempat Ikhwan yang pernah bertanggungjawab mengacarakan program tersebut selama empat tahun berturut-turut.

Dalam satu kenyataan TV9, walaupun pengacara silih berganti, Galaksi akan tetap memberikan liputan dunia hiburan secara telus dan profesional lebih daripada sekadar mensensasikan isu-isu menarik yang menggegar dunia hiburan tanahair.

"Pembaharuan perlu sentiasa dilakukan agar sesebuah program itu sentiasa tampil menarik dan kekal mantap.

"Suntikan pengisian adalah bersesuaian dengan tagline program iaitu ‘Ini bukan program sepi, Ini Galaksi - medan sensasi,'" menurut kenyataan itu.






Program tersebut yang sudah memasuki tahun ketujuh juga pernah dikendalikan oleh Irma Hasmie, Sazzy Falak, Nadia Shahrul Anuar, Sharifah Shahirah, Nana Mahazan serta pengacara jemputan seperti Awal Ashaari, Sarimah Ibrahim dan Serina Redzuawan.

Bagi memberikan kelainan, penerbit, Nas Ahmad juga turut mencipta sebuah segmen baru iaitu 'Sesuatu yang....Alamak!.'

Segmen berupa senda gurau atau usikan spontan terhadap artis dan selebriti tanah air ini akan dikendalikan oleh Noradillah Abdullah atau Adeed.
Previous Post Next Post