Doa Sharifah Aini untuk meninggal pada Ramadan dimakbulkan



KUALA LUMPUR 5 Julai- Doa dan impian Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini untuk meninggal dunia pada bulan Ramadan, dimakbulkan oleh Allah.

Biduanita bersuara emas itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.26 pagi ini bersamaan 7 Ramadan 1435H di Pusat Perubatan Pakar Damansara akibat komplikasi paru-paru.

“Kak Pah selalu berdoa kepada Allah, jika mahu mengambil nyawa Kak Pah, biarlah pada bulan mulia ataupun pada hari Jumaat, penghulu segala hari," beritahunya dalam satu pertemuan dengan wartawan Utusan Online di rumah beliau di Lorong Utara, Petaling Jaya sebelum ini.

Dalam pertemuan itu juga, Sharifah Aini turut memberitahu beliau sentiasa reda apabila diduga dengan masalah kesihatan yang semakin terjejas ketika itu.

Kesihatan penyanyi Bunga Tanjung itu terjejas sejak 2002 dan sering berulang alik ke hospital dan ditahan di wad.

Pada 30 Jun lalu, keadaan beliau semakin kritikal sehingga diberi bantuan pernafasan.

Sementara itu, jenazah Allahyarham telah dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail sekitar pukul 7.30 pagi ini untuk dimandikan dan disembahyangkan.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.




Previous Post Next Post