Vokalis tiga genre dalam satu lagu



AL-NUURAA (YANG 5 YANG 6) menyaksikan gabungan terbaharu penyanyi popular (dari kiri) Daly Filsuf, Mawi dan Hazama.

SELEPAS lagu berjudul Al Haq (Yang Satu) nyanyian Mawi yang berkolaborasi dengan AC Mizal berjaya, Raja SMS itu kini kembali dengan buah tangan baharu menerusi lagu berjudul Al-Nuuraa (Yang 5 Yang 6). Lagu duet itu mendapat sambutan hangat setelah ia ditonton lebih 1.2 juta kali sejak dimuat naik di laman perkongsian video YouTube kira-kira enam bulan lalu.

Gabungan terbaharu menerusi Al-Nuraa pula menyaksikan Mawi bersama Daly Filsuf dan Hazama. Biarpun masing-masing daripada latar muzik yang berbeza, namun masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri dalam menyampaikan lagu berunsur ketuhanan itu.

Lagu hasil ciptaan Mawi, Daly Filsuf dan Syeikh Qalam itu boleh didengari di seluruh stesen radio tanah air.

Bertemu Mawi, Daly dan Hazama pada sesi fotografi baru-baru, Sensasi Bintang menyelusuri perjalanan penghasilan, gabungan idea dan penerimaan rasa lagu berkenaan untuk dikongsikan kepada khalayak.






SENSASI BINTANG: Boleh ceritakan bagaimana boleh tercetusnya idea untuk berkolaborasi menghasilkan lagu ini?

MAWI (A): Idea asal lagu ini datang daripada Daly. Kami berjumpa dalam sebuah majlis dan dia beri saya dengar sebuah lagu dalam bentuk demo. Kami berbincang dan dia meminta pertolongan saya untuk selitkan doa-doa dalam bahasa Arab bagi mencantikkan lagu tersebut.

DALY FILSUF (D): Lirik dalam lagu Al-Nuuraa itu saya tulis ketika menetap di Singapura. Ideanya hadir secara spontan dan saya memang tulis lagu ini untuk menyanyi bersama Mawi. Alhamdulillah impian saya tercapai.

HAZAMA (H): Saya menerima pelawaan ini kerana tertarik dengan konsep muzik yang dibawakan. Ini kali pertama saya berkolaborasi dengan Mawi dan Daly Filsuf. Selain itu, lagu Al-Nuuraa turut dipilih menjadi runut bunyi (OST) dalam telemovie lakonan saya yang berjudul Rock Sangkut.

Boleh kalian cerita sedikit mengenai kelebihan dan keistimewaan konsep lagu berkenaan?

M: Al-Nuuraa bermaksud memberi cahaya. Lagu ini bercerita tentang doa memohon cahaya daripada Tuhan dan lirik dalam lagu tersebut pula mengajak manusia untuk mengenali diri dan Pencipta. Saya memilih judul Al-Nuuraa kerana dalam setiap doa yang dilafazkan terdapat perkataan yang menyebut nama Al-Nuuraa.

D: Apa yang boleh saya katakan Al-Nuuraa ialah sebuah naskhah yang mudah difahami dan memiliki makna yang tersendiri. Bahagian korus lagu ini juga jelas tanpa maksud tersirat.

H: Lagu Al-Nuuraa merupakan kolaborasi saya yang pertama berkonsepkan ketuhanan bersama Mawi dan Daly Filsuf. Setelah saya meneliti satu persatu lirik yang terkandung dalam lagu ini ternyata mesej yang cuba disampaikan itu sangat bermakna.

Bagaimana kalian melihat kekuatan antara satu sama lain dalam melonjakkan lagu itu?

M: Menariknya, masing-masing mempunyai kekuatan dan genre muzik yang berbeza. Hazama mempunyai vokal yang tinggi manakala Daly menggunakan kreativitinya bagi mengolah lagu-lagu rap agar mudah diterima dan difahami oleh masyarakat.

D: Muzik rap sering dianaktirikan dan jarang mendapat penghargaan. Melalui gabungan tiga genre muzik yang berlainan, saya percaya lagu ini akan mendapat tempat dalam industri.

H: Saya begitu kagum melihat hasil kerja yang dilakukan oleh Daly dan Mawi kerana sebelum mereka mengundang untuk menyanyi bersama, mereka telah buat penyelidikan tentang kolaborasi ini. Harapan Mawi dan Daly terhadap lagu ini tidaklah terlalu tinggi, sebaliknya mereka berharap agar Al-Nuuraa dapat diterima umum sekali gus kekal selamanya dalam kotak fikiran peminat.

Selama berada dalam industri bagaimana kalian melihat format nyanyian berkumpulan?

M: Sebagai anak seni kita harus melihat perubahan dan permintaan semasa. Kebanyakan lagu yang menggunakan sentuhan penyanyi rap boleh dikatakan hampir kesemuanya menjadi dan hit. Saya kira untuk masa sekarang kita harus mengikut peredaran zaman. Sebelum ini saya pernah tampil dengan sebuah single namun ternyata lagu tersebut belum mendapat tempat di hati peminat.

D: Ketika saya mendengar lagu Al-Haq (Yang Satu) yang dipopularkan oleh Mawi dan AC Mizal ternyata format nyanyian berkumpulan masih relevan dan diterima oleh masyarakat. Sekiranya lagu-lagu dibuat dengan cara yang betul, saya percaya format begini akan setanding dengan muzik-muzik lain.

H: Format nyanyian berkumpulan sebenarnya salah satu cara untuk membantu industri seni tanah air. Industri muzik di Malaysia tidak sebesar mana, jadi tidak salah rasanya sebagai artis kita saling membantu antara satu sama lain.
Previous Post Next Post