Profesionalisme Aliff Aziz, Siti Nordiana



SINGLE Tak Ada Cinta Sepertimu nyanyian Siti Nordiana dan Aliff Aziz kini semakin diterima ramai.

SEKITAR bulan Januari lalu, penyanyi Siti Nordiana atau Nana pernah terkena tempias gosip apabila dikatakan bercinta dengan penyanyi dari Singapura, Aliff Aziz.

Semuanya disebabkan mereka berduet menerusi lagu Tak Ada Cinta Sepertimu yang diaturkan syarikat rakaman Nana iaitu FMC Music Sdn. Bhd. dengan syarikat rakaman Aliff, Sony Music Malaysia. Bagaimanapun, gosip cinta mereka itu sekadar berlalu begitu sahaja.

Ditebak sama ada gosip cinta itu sengaja dicipta untuk mempromosikan single tersebut, Aliff mahupun Nana menolak dakwaan tersebut.

"Saya tidak tahu daripada mana timbulnya gosip tersebut. Saya berasa kurang senang apabila mereka mengaitkan Nana. Saya menghormati dia sebagai rakan duet," tutur Aliff dengan imej baharu berambut perang ketika ditemui baru-baru ini.

Sopan dan teliti menyusun bicara, Nana menambah, dia sudah biasa digosipkan dengan rakan duetnya seperti arwah penyanyi Achik Spin dan Nubhan.

Bagaimanapun, penyanyi berumur 30 tahun itu mengakui tidak mampu menutup mulut orang dan kekal dengan sikap profesionalnya berduet di samping Aliff.

"Sejak dulu lagi saya gosipkan dengan Achik dan Nubhan. Mungkin disebabkan saya masih solo dan belum berumah tangga maka orang akan gosipkan dengan sesiapa sahaja.

"Apa yang boleh saya katakan, kami (dia dan Aliff) profesional. Kami hanya berjumpa jika membabitkan urusan kerja," ulasnya yang kelihatan semakin langsing.

Mengulas mengenai sambutan single tersebut, Aliff memberitahu, lagu Tak Ada Cinta Sepertimu itu sudah berada di iTunes dan kini giat diputarkan dicorong-corong radio di Malaysia dan Singapura.






Baru-Baru ini, mereka juga sudah merakamkan klip video single tersebut.



Menyentuh warna rambut yang dikritik segelintir peminat sebagai gaya albino, Aliff menjelaskan:

"Saya mewarnakan rambut menjadi perang semata-mata untuk menjayakan klip video tersebut. Selepas ini, rambut saya akan dihitamkan semula."

Pernah satu ketika gandingan Nana dan arwah Achik mencipta fenomena menerusi lagu Paling Comel, situasi yang sama (fenomena) mungkin terjadi melalui gandingannya bersama Aliff.

Percaya dengan kemungkinan tersebut, Nana mengakui, lagu Tak Ada Cinta Sepertimu lebih segar dan matang berbanding lagu-lagunya bersama Achik dahulu.

Sempena bulan puasa, Aliff dan Nana turut berkongsi mengenai sambutan Ramadan mereka.

Menurut Nana, sepanjang Ramadan dia akan berniaga baju dan kuih raya di pusat beli-belah GM, Klang, Selangor.

"Selain mempromosikan single Tak Ada Cinta Sepertimu saya juga sibuk berniaga sepanjang bulan Ramadan ini," jelas Nana yang mengakui akan bangun sahur biarpun sekadar menikmati bijirin sarapan.

Sementara itu, bagi Aliff pula, sepanjang Ramadan ini dia akan berada di kediaman ibu bapanya di Singapura.

Bukan seorang yang menjadikan bangun sahur sebagai rutin, penyanyi berumur 23 tahun itu mengakui akan menjamah makanan berat sebelum tidur.

"Saya jarang bangun sahur. Jadi, saya akan makan sebelum tidur. Jika ayah kejut untuk bangun sahur, saya sekadar mengambil segelas air," katanya lagi.
Previous Post Next Post