KEHILANGAN rakan sekerja di kala lebaran hampir tiba turut dirasai Zarul.
KETIKA umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut hari raya, negara dikejutkan dengan berita sedih mengenai pesawat MH17 Penerbangan Malaysia (MAS) yang ditembak jatuh di Ukraine minggu lalu.
Ironinya, dugaan itu datang tatkala misteri kehilangan pesawat MH370 lebih tiga bulan lalu belum dapat dirungkai.
Apa yang pasti, peristiwa itu benar-benar meninggalkan kesan mendalam, lebih-lebih lagi kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat.
Kehilangan orang tersayang semestinya pahit untuk ditelan. Begitu juga yang dirasai penyanyi Zarul Husin yang masih berkhidmat sebagai pramugara di syarikat penerbangan tersebut.
Bekas vokalis kumpulan Umbrella itu menjelaskan kejadian itu di luar kawalan manusia biasa. Menganggap tragedi itu sebagai suratan, pelantun lagu Ramalanku Benar Belaka itu reda dengan pemergian rakan-rakan seperjuangannya.
"Pada hari kejadian, saya baru pulang ke rumah selepas selesai penerbangan dari Manila, Filipina. Saya tengah tidur tetapi terjaga apabila terdengar bunyi mesej telefon yang tak henti-henti.
"Mereka tanya keadaan saya sama ada saya okey atau tidak. Saya pun jadi hairan sebab belum tahu apa-apa lagi ketika itu. Selepas diberitahu, saya terkejut dan bingkas bangun sebab teringatkan kawan-kawan," cerita Zarul.
Baginya, insiden itu benar-benar meruntun hati. Sedih dan pilu menyelubungi diri apabila mengenangkan kawan-kawan yang pergi kala lebaran hampir bertandang.
"Memang sedih kalau ingat apa yang berlaku. Tapi sebagai hamba Allah kita hanya mampu mendoakan mereka yang telah pergi," luah pemilik nama sebenar Zairulkefli Husin ini.
Dia sedar pekerjaannya sebagai pramugara kini dilihat sebagai berisiko. Namun, biar apa pun yang berlaku, hati Zarul masih kuat terpaut pada MAS, tempat dia mencari rezeki sejak 14 tahun lalu. Baginya, tiada apa yang perlu digusarkan kerana maut itu di tangan Ilahi.
"Saya tak perlu takut kerana hidup dan mati itu urusan Allah. Di mana-mana pun boleh mati kalau sudah takdir," katanya yang berpeluang menyambut Aidilfitri tahun ini bersama keluarga.
Menyentuh mengenai sambutan hari raya, penyanyi berumur 41 tahun itu memberitahu, lebaran tahun ini kebetulan jatuh pada hari rehatnya.
"Alhamdulillah tahun ini dapat beraya. Kebetulan hari rehat saya jatuh pada hari raya pertama hingga ketiga. Jadi, dapatlah berkumpul dengan saudara-mara nanti.
"Raya pertama saya akan sambut di rumah mertua saya di Damansara, Petaling Jaya. Hari kedua pula saya balik ke Kelantan," kongsi bapa kepada Ayu Nur Arisya, 17, ini.
Memandangkan jadual kerja yang padat, Zarul awal-awal lagi membuat persiapan hari raya.
"Baju raya saya sediakan sejak sebelum puasa lagi. Cuma sekarang tinggal persiapan untuk juadah pagi raya nanti," katanya.
Kongsi Zarul, hidangan wajib pagi raya dia sekeluarga ialah lemang dan ketupat palas.
"Sudah lima tahun saya belajar anyam daun ketupat, tapi sampai sekarang tak pandai-pandai. Kalau saya yang buat, nak siapkan satu kelongsong pun ambil masa setengah jam," ujarnya ketawa.
Dalam perkembangan lain, selepas tampil dengan single Satu Rasa bergandingan dengan Marsha, Zarul kini merancang menghasilkan sebuah lagi single baharu.
"Saya sedang mencari material untuk lagu yang akan datang. Saya masih mahu mengekalkan lagu yang berkonsepkan balada," katanya menutup bicara.