KEHADIRAN Yusry dalam hidup Lisa benar-benar mengisi rasa kosong dalam dirinya selepas pemergian arwah ayah tercinta.
CUACA hari itu tenang. Mendung awan pagi yang memberi rasa teduh juga masih meliputi ruang langit sungguhpun jarum jam sudah beralih ke pukul 11 pagi.
Suasana redup itu seolah-olah memberi laluan dengan mudah kepada Sensasi Bintang untuk menjalankan sesi fotografi bersama pasangan romantik, Yusry Abdul Halim dan Lisa Surihani yang diaturkan baru-baru ini.
Tampil ringkas berbaju kurung rona jingga bermotifkan corak bunga, Lisa yang tidak lekang dengan senyuman saat bersua, perlahan-lahan menarik tangan suaminya, Yusry ke pekarangan rumah mereka yang terletak di Kajang, Selangor.
Bagai pahlawan, Yusry yang segak berbaju Melayu coklat lembut hanya mengikut tatkala tubuhnya digerakkan isteri tercinta. Tawa manja saat beraksi di hadapan lensa kamera jelas menggambarkan pasangan itu sedang meniti hari-hari bahagia.
"Jemput masuk. Kita bercerita di dalam rumah sahajalah. Sejuk sikit," pelawa Lisa sambil menjemput kru Sensasi Bintang duduk di satu bahagian rumahnya.
Yusry jadi pengganti
Kolam renang yang dapat dilihat dari jendela kaca saat penulis melabuhkan punggung menambahkan ketenangan temu bual ini. Begitu jugalah tenangnya riak yang terserlah di wajah Yusry sejak tadi. Bibirnya sedikitpun tidak bergerak berbanding Lisa yang cenderung berkongsi bicara.
Dalam kesibukan persiapan menyambut lebaran yang bakal tiba, ada memori yang masih terpahat dalam benak Lisa sehingga kini. Memori itu tidak mungkin akan dilupakan sampai bila-bila.
"Setiap kali raya, saya terkenang kali terakhir kami sekeluarga menyambut hari raya bersama arwah ayah di hospital sebelum dia meninggal dunia," luah Lisa membuka bicara mengenangkan kisahnya kira-kira enam tahun lalu.
Saat itu, jiwanya kosong. Masakan tidak, insan yang paling rapat dalam hidupnya sudah pergi buat selama-lamanya. Tiada lagi usikan dan jenaka daripada ayahanda.
"Hari terakhir puasa, biasanya kami sekeluarga akan pergi melawat pusara ayah," kongsi pelakon Istanbul Aku Datang itu.
Empat tahun berlalu, kehadiran Yusry yang menyunting Lisa menjadi suri hatinya pada tahun 2012 benar-benar membawa sinar baharu kepada keluarga Lisa.
"Selepas ayah pergi meninggalkan kami, Yusry hadir dalam hidup saya. Dialah yang mengisi kekosongan dalam diri. Lompang hati itu sukar untuk saya ungkapkan, kehilangan yang dialami selama ini terisi kembali.
"Pada waktu itulah saya rasakan hari-hari yang mendatang menjadi lebih baik. Terima kasih banyak-banyak," ucap Lisa sambil memandang tepat mata suaminya.
Banyak berkongsi cerita, bicaranya terhenti seketika. Aras matanya juga dialihkan. Gelas kaca yang dari tadi menjadi permainan jari, direnung seketika. Mungkin ada perkara yang menerawang dalam fikirannya.
"Saya sangat merindui arwah ayah," tutur Lisa, matanya mulai berkaca.
Yusry yang tadinya banyak berdiam, mula mencelah dan menyusun kata-kata. Ekor matanya melirik kepada wajah si isteri.
"Saya ada sedikit rasa terkilan sebab tak pernah berjumpa dengan arwah ayah Lisa. Namun, selepas kahwin, semakin lama saya kenal dengan Lisa, semakin banyak perkara yang dia beritahu kepada saya mengenai persamaan saya dengan arwah ayahnya," tutur Yusry.
Sama ada kebetulan atau suratan, persamaan dua lelaki itu amat bermakna dalam hidup Lisa. Persamaan itu juga yang menggamit memori indah mereka sekeluarga.
Kenangan Aidilfitri
"Persamaan itu lebih kepada apa yang kami minat. Pernah suatu hari, saya habiskan sebiji buah limau bali yang besar. Lisa nampak, dia terus kata, sikap saya itu saling tak tumpah macam arwah ayahnya," ujar Yusry, 41.
Bukan itu sahaja, menurut Lisa, topik perbualan dan perbincangan Yusry juga sama seperti apa yang diminati bapanya.
Kongsi Lisa lagi, ibu saudaranya yang pernah bertandang ke rumahnya juga pernah memberitahu bahawa suasana di rumah yang mereka diami sekarang mengingatkannya pada arwah bapa Lisa.
"Sebaik dia melangkah masuk ke rumah ini, matanya melilau memerhatikan keadaan sekeliling. Kata mak cik, gaya dan cita rasa dekorasi Yusry itu mengembalikan kenangannya pada arwah ayah saya," ujar Lisa yang memberitahu, Yusry banyak melakukan sendiri kerja-kerja ubah suai rumah mereka.
Persamaan yang wujud antara Yusry dan arwah ayah Lisa membuatkan wanita itu berasakan rindu yang selama ini bertamu terubat kembali.
Menjelang Hari Lebaran, momen-momen indah bersama arwah bapa tersayang menerpa satu demi satu.
"Kalau dahulu bangun pagi raya, atas meja makan sudah tersedia pulut kuning dengan rendang ayam. Itu makanan yang wajib kami makan setiap pagi raya. Ia jadi tradisi buat kami sekeluarga.
"Tapi selepas arwah ayah pergi, momen itu sudah tiada lagi. Kami selalu tak sempat nak buat sebab sewaktu arwah masih ada, dialah yang akan sediakan pulut kuning itu.
"Alhamdulillah, selepas saya kahwin, tradisi itu dikembalikan semula oleh ibu mertua selepas saya beritahu Yusry yang saya rindu tradisi pulut kuning arwah ayah," cerita Lisa.
Sudah menjadi tradisi keluarganya melakukan ziarah ke rumah saudara-mara terdekat mengikut pangkat dalam keluarga, kata Lisa.
"Itulah yang arwah ayah lakukan. kami akan pergi ke rumah datuk, bapa saudara dan seterusnya. Cuma kalau dahulu saya hanya beraya di Kuala Lumpur, selepas kahwin dengan Yusry, paling seronok apabila dapat balik kampung di Gopeng, Perak," kongsinya yang mengatakan kenangannya beraya bersama arwah turut dirakamkan menjadi sebuah iklan komersial televisyen (TVC)
Menyentuh mengenai TVC itu, ujar Lisa, iklan itu memaparkan kisah benar hidupnya yang divisualkan dalam bentuk video.
"Iklan itu mempunyai jalan cerita sebenar mengenai apa yang pernah saya lalui sebelum ini termasuklah babak kami sekeluarga beraya bersama arwah ayah di hospital.
"Itu babak paling berat untuk saya lakonkan semula," katanya sambil menambah, TVC itu ditayangkan di saluran Astro sempena musim perayaan ini.