Zombi Serang Kolumpo!



BAGAIMANAKAH perasaan anda apabila terperangkap dalam satu situasi yang mencemaskan? Dalam masa yang sama, manusia dijangkiti virus 'Zombi' dan mula menyerang antara satu sama lain demi menghilangkan kelaparan yang tidak pernah berakhir...

Bertempat di Cube Art Stage, Jalan Medan Tuanku, pada 18 hingga 22 Jun lalu, teater 'Zombi Serang Kolumpo' diarahkan pengarah muda dan berbakat besar, Cech Adrea.

Turut dibintangi pelakon-pelakon indipendent seperti Gadafi Maleki, Han Zalini dan Khairilridzuan K’N, pementasan ini nyata diselubungi dengan ketakutan yang bukan sahaja dirasai penonton, bahkan sesiapa sahaja.

Diterbitkan Sisi Seni Production, teater alaf baru yang lebih kreatif dan menarik, nyata percaturan Cech menjadi kerana penonton merasai 'ketakutan' berhadapan zombi secara 'live'.

Teater interaktif ini mengisahkan sekumpulan manusia yang terperangkap dalam sebuah pusat beli belah dipenuhi dengan zombi atau mayat hidup.






Dalam masa sama, Han, Ghadafi dan beberapa orang yang terperangkap kemudiannya dibawa ke sebuah tempat kosong.

Mereka berlindung daripada serangan zombi namun situasi semakin runcing apabila salah satu zombi meloloskan diri ke bilik persembunyian mereka.

Zombi tersebut berjaya menggigit salah seorang daripada mereka ketika mempertahankan diri,

Pelbagai cara dilakukan untuk menyelamatkan diri masing-masing agar tidak menjadi mangsa zombi yang dahagakan darah dan daging manusia.

Terasa dalam dunia zombie

Biarpun nama-nama seperti Gadafi Maleki atau Han Zalini tidak dikenali, namun pujian wajar diberikan kepada mereka dan juga pelakon lain kerana lakonan yang sangat berkesan.

Jika anda pernah menonton lakonan mereka daripada pementasan yang lalu seperti Hari-hari Terakhir Pembunuh Zombi Malaysia, Zombi Serang Panggung, Atap Genting Atap Rumbia dan sebagainya, sudah cukup menilai kehebatan mereka.

Malah pengarahnya sendiri, bijak mengatur segala perancangan agar penonton merasai sendiri pengalaman berada dalam dunia zombi.

Dalam pementasan ini, penonton turut terheret sama menjadi mangsa dalam bilik rahsia bahkan menjadi 'pelakon tambahan' dalam teater itu.

Bukan itu sahaja, penulis cukup tertarik dengan idea pengarah selepas pementasan berlangsungnya sesi soal jawab antara pelakon dan penonton.

Tujuannya hanya satu, untuk mengetahui maklum balas penonton berkenaan lakonan mereka dan penonton juga diberi peluang untuk mengkritik apa yang kurang dalam teater itu.

Dari segi persembahan pula, biarpun kebanyakan pelakon masih muda namun mereka dilihat selesa beraksi tanpa rasa canggung atau kekok.

Kadang-kadang elemen kejutan yang ditampilkan cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja terkena serangan jantung.

Bahagian yang membuatkan penulis rasa teruja, dari segi mekap yang nampak real dan juga set pementasan yang cukup seram dan suram berjaya menaikkan mood penonton.

Secara keseluruhannya, kunci utama kejayaan pementasan ini adalah sikap 'team work' dan tidak salah jika usaha mereka wajar dikomersialkan.

Risau dimarah penonton

Sementara itu, pelakon utama Gadafi, 25, menceritakan cabaran terbesar menjayakan pementasan tersebut adalah reaksi daripada penonton.

Katanya, memegang watak agresif memerlukan kekuatan dalaman kerana kadangkala risau disalah tafsir oleh penonton.

"Saya perlu memekik dan memaki penonton secara tidak langsung timbul kerisauan jika ada yang terasa dengan lakonan itu.

"Tidak semua penonton bersikap interaktif kerana terdapat mereka yang pasif dan datang hanya semata-mata untuk menonton sahaja," ujar anak kelahiran Sarikei, Sarawak ini.

Dalam pada itu, kekangan masa yang dihadapinya turut menjadi kerisauan anak muda ini.

Gadafi berkata, selain terlibat dengan persembahan itu dia juga terikat dengan pementasan lain seperti Gadis X dan Sudirmania.

Sambungnya, latihan pula mengambil masa tiga minggu membuatkan masa begitu berharga bagi anak muda itu.

"Tambahan pula kami tiada dialog khusus untuk teater ini. Pengarah hanya membekalkan pelakon, garis panduan dan jalan cerita sahaja.

"Tetapi ia sangat mengujakan kerana ia lebih mencabar dan puas untuk melakonkan aksi tanpa terikat dengan skrip dan dialog berkembang ketika pementasan berlangsung," ujarnya yang juga merupakan bekas pelajar Aswara.

Ruang jadi elemen penting

Bagi yang mengenali pengarah projek teater ini, Cech Adrea pasti pernah melihat persembahannya sebelum ini seperti Hari-hari Terakhir Pembunuh Zombi Malaysia dan Zombi Serang Panggung.

Menurutnya, pemilihan lokasi amat dititik beratkan jika mementaskan teater interaktif seperti Zombi Serang Kolumpo.

Katanya, jika ruang terlalu sempit, ia menyukarkan pelakon untuk bergerak bebas atau melakukan babak aksi lasak.

"Sebaliknya, ruang yang terlalu luas menyebabkan interaksi antara pelakon dan penonton kurang menjadi.

"Ia elemen yang penting setiap kali mementaskan teater seperti ini. Bagi kami, penonton adalah pelakon 'sampingan' dan mereka terlibat sepanjang persembahan berlangsung," katanya.

Sedikit mengenai Cech, dia memiliki ijazah dalam bidang Penyiaran (Masscomm) dari Univerisiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan sekarang merupakan seorang penyampai radio di sebuah stesen radio negeri, selain bergelar penulis dan pengarah.

Mula terlibat dalam produksi teater apabila diajak oleh Khairunazwan Rodzy menyertai Revolution Stage kemudian menubuhkan Sisi Seni Production, sebuah produksi indie-filem-teater.

Previous Post Next Post