Adnan Sempit Sawadikap tetap pecah perut



SELEPAS kejayaan filem Adnan Sempit menerusi tiga sekuel sebelum ini, Metrowealth Production (MIG) kini kembali menerbitkan sekuel keempat filem berkenaan.

Ia sekali gus memperlihatkan MIG menjadi produksi filem pertama menerbitkan filem sekuel hingga siri keempat.

Adnan Sempit menyaksikan filem pertama itu mengutip RM7.6 juta, manakala bagi siri kedua RM9.5 juta berjaya diperolehi dan diikuti dengan siri ketiga iaitu sebanyak RM4.8 juta.

Masih mengekalkan pelakon sama iaitu Shaheizy Sam, Intan Ladyana, Along Cham dan Yana Samsudin, Adnan Sempit Sawadikap turut menampilkan beberapa pelakon Thailand.

Bahkan bagi menyuntik kelainan di dalam filem ini, 95 peratus penggambaran dilakukan di Thailand melibatkan beberapa lokasi menarik di sekitar Bangkok.

Filem arahan Ismail Bob Hasim ini mengisahkan tentang Adnan dan Bobby bersama-sama dengan isteri mereka, Nadia dan Wawa ingin bercuti ke Bangkok sambil menjalankan perniagaan di sana.



Namun, malangnya pasport Nadia dan Wawa tercicir dan tidak dapat bercuti bersama dengan suami mereka.

Tapi itu semua adalah rancangan Nadia yang mahu berehat dari menjaga anaknya bersama Adnan. Disebabkan itu dia membenarkan Adnan membawa bayi mereka ke Bangkok.

Manakala pasport Wawa pula disembunyikan oleh Bobby kerana suaminya itu mahu bebas di Bangkok untuk sementara waktu.

Ketika mereka berdua di Bangkok, bayi Adnan telah hilang di lapangan terbang dek kecuaian Adnan sendiri. Sehinggakan Adnan berasakan bayinya telah diculik oleh sindiket jahat dan kejadian itu telah membuatkan Adnan dan Bobby bertemu dengan

Nok, lakonan Lalisa Santirod, iaitu seorang wanita Thailand yang Adnan rasakan telah menculik bayinya itu.

Di sinilah bermulanya episod mereka melakukan pelbagai cara bagi mendapatkan kembali bayi Adnan. Tanpa diduga, rupanya bayi yang disangkakan anak Adnan itu turut menjadi buruan banyak gengster yang menginginkan bayi tersebut.

Siapakah sebenarnya Nok? Adakah bayi yang ada bersama Nok itu bayi Adnan? Adakah Adnan dan Bobby terselamat daripada ancaman gengster?

Seperti biasa, filem kali ini juga padat dengan dialog bersahaja yang pastinya akan menggeletek penonton.

Lebih-lebih lagi dengan gelagat Bobby yang tidak sudah-sudah mahu ke pusat urut biarpun Adnan dalam konflik mencari anaknya.

Lebih aksi

Selain itu, berbeza dengan filem terdahulu di mana lebih banyak perlumbaan motor disajikan, sekuel keempat ini memperlihatkan banyak aksi ditampilkan.

Ia secara tidak langsung memaparkan aksi pertarungan melibatkan Adnan dan Bobby dalam usaha mereka mencari anak Adnan yang telah diculik.

Tentu sekali dengan gabungan pelakon aksi Thailand, babak aksi di dalam filem ini cukup menarik untuk ditonton.

Intan, Yana tenggelam

Namun sayangnya, dari sudut lakonan pula, kehadiran Intan dan Yana tidak banyak membantu memberi kesan kepada filem berkenaan.

Bahkan sekali imbas, mereka diibaratkan hanya pelakon tambahan di dalam filem ini yang hanya membantu melengkapkan sahaja jalan cerita.

Bukan sahaja watak kecil, malah lakonan mereka juga hanya di tahap biasa-biasa dan tiada sebarang kejutan yang diberikan.

Namun filem ini masih menarik untuk ditonton dan bagi yang ingin mengetahui siapakah yang menculik anak Adnan, jangan lupa saksikan filem ini di pawagam.




Previous Post Next Post