Into The Storm Amukan puting beliung!



PUTING beliung atau tornado adalah antara bencana alam yang paling ditakuti oleh sesiapa sahaja. Ini kerana dalam masa beberapa minit ia mampu menyebabkan kemusnahan kepada apa-apa sahaja yang disentuhnya.

Begitu jugalah yang terjadi kepada bandar, Silverton, biarpun sudah diberi amaran oleh pengkaji cuaca tentang puting beliung, namun mereka tidak menyangka ia akan meninggalkan tragedi paling buruk dalam hidup mereka.

Itulah antara sebahagian daripada jalan cerita filem terbaru arahan Steven Quale dan dijayakan oleh pelakon hebat seperti Richard Armitage, Sarah Wayne Callies, Matt Walsh, Nathan Kress, Arlen Escarpeta, Jeremy Sumpter, Kyle Davis, Jon Reep dan ramai lagi.

Ia mengisahkan mengenai bandar Silverton yang berada dalam keadaan yang tidak menentu dan boleh membawa maut setelah puting beliung melanda.

Kebanyakan orang mencari perlindungan, manakala yang lain berjalan ke arah vorteks, menguji sejauh mana seorang pemburu ribut akan pergi untuk mendapatkan kepuasan dan kisah sebenar bila berada dalam puting beliung paling ganas.

Tentu sekali pelbagai cabaran akan mereka lalui untuk menghasilkan satu dokumentari realiti itu.

Pendek kata, sejak awal ribut mula melanda, penonton akan mula tidak senang duduk melihat perubahan cuaca sedikit demi sedikit yang akhirnya membawa kegusaran dan seolah-olah kita turut sama bergerak 'terbang' mengikut pusaran angin yang bagai tiada belas kasihan.

Apatah lagi, sentuhan teknik imej janaan komputer (CGI) dalam membentuk puting beliung itu kelihatan cukup 'hidup' dan pastinya membuatkan penonton tidak senang duduk.

Bahkan kerana puting beliung tersebut beberapa buah kapal terbang berjaya 'diterbangkan' oleh angin dalam masa beberapa saat sahaja.



Usik emosi

Selain aksi-aksi puting beliung yang hebat, Quale tidak lupa untuk mengusik penonton dengan perasaan kehilangan orang yang tersayang.

Biarpun mesej itu tampak ringkas, namun bencana yang tidak terjangka ini sebenarnya meninggalkan mesej betapa penting kita menghargai orang yang disayangi sementara kita masih ada.

Cuma dalam kehebatan filem ini, terdapat beberapa kekurangan terutamanya rakaman babak yang kadangkala agak statik dan tidak mengujanya.

Biarpun filem ini difilemkan dengan teknik rakaman asal, namun beberapa sudut kamera yang agak statik sedikit mengganggu mood penonton.

Namun secara keseluruhannya, dengan lakonan mantap bersama bencana yang cukup mantap, filem ini masih wajar untuk ditonton.


Previous Post Next Post