Hero tua Mel Gibson masih hebat!



BIARPUN usia sudah pun menjangkau separuh abad, tetapi masih lagi berupaya untuk bergelar ‘hero’.

Ya, dan itulah keistimewaan yang dimiliki oleh dunia perfileman Barat. Apa yang pasti, senario berkenaan sangat berbeza dengan industri perfileman tempatan.

Di Hollywood, 'hero tua’ masih diberikan peluang menunjangi sesebuah filem, tidak kiralah genre drama, komedi mahupun aksi.

Lihat saja pada pelakon seperti Harrison Ford, Bruce Willis, Robbin Williams, Liam Neeson, Samuel L Jackson, Robert De Niro, John Travolta dan Al Pacino.

Semuanya sudah mencapai atau melepasi tahap usia 50-an, tetapi tetap mendapat ruang untuk terus menerajui judul besar di Hollywood.

Tidak ketinggalan, pelakon veteran yang berbakat besar, Mel Gibson atau nama sebenarnya, Mel Columcille Gerard Gibson.

Penerbit seolah-olah mengetahui kuasa yang ada pada pelakon yang berusia 58 tahun itu, dan pengaruhnya dalam kalangan peminat.

Justeru, tidak hairanlah apabila bakat lakonan Gibson terus-terusan dipertaruhkan di layar lebar, seterusnya memberikan laba yang besar buat tauke filem.

Lihat saja aksi cemerlangnya dalam beberapa filem popular seperti siri filem Lethal Weapon, Braveheart (1995), Payback (1999), The Patriot (2000), We Were Soldiers (2002), Signs (2002), The Singing Detective (2003) dan Complete Savages (2004).

Selain itu, Gibson turut berlakon dalam filem Edge of Darkness (2010), The Beaver (2011), Get the Gringo (2012) dan Machete Kills (2013).

Tidak setakat itu, Gibson turut menggondol beberapa anugerah seperti Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi pelbagai anugerah berprestij yang di anjur seperti Anugerah Oscar dan Anugerah Golden Globe.

Berhenti jadi penerbit?

Tidak hanya berlakon dan menjadi pengarah, jangan tidak tahu, Gibson juga bertindak sebagai penerbit melalui syarikat produksinya, Icon Productions.

Setakat ini, Gibson telah menerbitkan tiga filem iaitu Braveheart (1995), The Passion of the Christ (2004) dan Apocalypto (2006).

Begitu pun, aktor ini membuat kejutan apabila mengakui tidak akan lagi menerbitkan filem, pada masa akan datang.

Ini kerana, dia menyedari betapa susahnya membikin sesuatu filem yang diinginkannya.

"Agak susah, lihat saja filem-filem yang diterbitkan sebelum ini, tiada sesiapa yang mahu membiayainya.

"Biarpun filem-filem berkenaan adalah bagus dan berkualiti tinggi tetapi ia sangat sukar untuk mencapai nilai jualan yang tinggi," katanya pada The Hollywood Reporter setelah meraih Anugerah Lifetime Achievement di Karlovy Vary International Film Festival 2014 di Republik Ceko.

Bukan itu saja, Gibson kini hanyalah seorang aktor dan tidak merancang untuk kembali ke kerusi pengarahan dalam waktu terdekat ini.

Bahkan, dia baru saja menyelesaikan penggambaran filem aksi, Blood Father dan akan muncul dalam filem terbaharunya, The Expendables 3 bergandingan dengan Sylvester Stallone dan Jason Statham.

Pengalaman menarik promosi filem

Menceritakan mengenai filem terbaharunya, The Expendables 3, pelakon kelahiran New York ini ternyata punya pengalaman menarik ketika mempromosikan filem arahan Patrick Hughes itu.

Tidak keseorangan, sebaliknya Gibson punya memori indah dengan pelakon filem The Expendables 3 yang lain iaitu Sylvester Stallone, Arnold Schwarzenegger, Harrison Ford, Jason Statham, Wesley Snipes, Dolph Lundgren, Kelsey Grammer dan
Antonio Banderas.

Barisan bintang tersohor ini memberhentikan seketika pergerakan trafik di Cannes, Perancis, apabila muncul dengan kereta kebal ketika menuju Hotel Carlzton bagi menghadiri sidang akhbar mempromosikan filem terbabit.

Selain barisan bintang berkenaan, gimik kereta kebal itu disertai Kellan Lutz, Victor Ortiz, Glen Powell, Randy Couture dan Ronda Rousey manakala Jet Li dan Terry Crews tidak dapat menyertai aksi itu apabila terikat dengan hal lain.

Kemunculan dua kereta kebal membuatkan orang ramai berhenti seketika, lalu mengeluarkan kamera mahupun telefon bimbit masing-masing untuk merakamkan detik hebat tersebut.

Bukan sekadar peminat, jurugambar juga sibuk memetik picu kamera mereka bagi merakam saat-saat mengagumkan itu, lebih-lebih lagi ia menghimpun bintang masyhur di satu lokasi.

Apa yang menarik, filem itu dipromosikan sempena Festival Filem Cannes ke-67 di bandar peranginan itu. Nantikanlah kemunculan filem ini di pawagam berdekatan mulai 14 Ogos ini.


Previous Post Next Post