Alif Satar Karier bakal tergugat?



APABILA berbicara soal jodoh, usia bukan lagi kayu pengukurnya. Yakin masanya sudah tiba, penyanyi Alif Satar, 24 akui telah bersedia sepenuhnya melangkah ke gerbang perkahwinan bersama wanita pilihan hatinya, Shadila Halid, 30.

“Memang saya sudah bersedia. Orang kata saya tidak matang mungkin kerana mereka hanya mengenali saya menerusi lagu-lagu yang nampak seperti kebudak-budakan.
“Biarpun Shadila lebih berusia daripada saya, namun dalam perhubungan ini, saya lebih matang.

“Jadi bagi saya soal usia tidak pernah timbul. Kalau saya ditakdirkan telah bersedia pada usia 19 tahun, mungkin saya juga akan berkahwin pada usia itu,” jelasnya.

Selasa lalu, Alif telah mengumumkan telah memilih tarikh 15 September sebagai hari pernikahannya dan majlis resepsi akan berlangsung di Marina Putrajaya pada 20 September ini.
Pada masa yang sama, Alif nafi risau kerjayanya bakal tergugat setelah mendirikan rumah tangga.

“Dari segi kerjaya, saya dan Shadila masing-masing sudah stabil dalam bidang masing-masing. Jadi bagi kami mungkin inilah masa yang sesuai untuk bersama-sama membuka lembaran baru melangkah ke alam rumahtangga.

“Saya tidak takut kerana rezeki ada di mana-mana. Tambahan pula saya memiliki penyokong dan label yang tidak pernah putus menyokong kerjaya saya,” tambahnya panjang lebar.




Lagu buat bakal isteri

Selain mengumumkan tarikh pernikahannya, Alif turut memperkenalkan single terbaharunya Setiap Hari ciptaan penuh komposer Indonesia, Panji Sakti.

Apa yang menarik mengenai single ini, ia sebenarnya dicipta dan dituju khas buat bakal permaisuri hatinya.

“Lagu ini benar-benar istimewa buat saya sebab ia dicipta khas untuk Shadila. Setiap Hari mengisahkan tentang cinta seorang lelaki terhadap bakal isterinya.

“Bagi saya dia seorang wanita yang luar biasa kerana selain memiliki usaha untuk menjaga perhubungan kami, dia juga bersedia menerima keluarga saya seadanya,” kongsinya.

Muzik video Setiap Hari arahan Dian Mayasari kini boleh ditonton menerusi YouTube saluran Vevo bermula Selasa lalu.
Previous Post Next Post