
BAKAL berkahwin pada usia 24 tahun bulan hadapan, Alif percaya soal kerjaya merudum selepas berkahwin bukan tafsiran terbaik untuk menilai seseorang artis.
TIDAK salah mendirikan rumah tangga pada usia muda, tambahan ketika kerjaya sedang mendaki ke puncak. Hal itu diakui sendiri oleh empunya nama Muhammad Alif Mohd. Satar atau lebih dikenali Alif Satar, 24.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Lelaki Seperti Aku itu menegaskan dia kini sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga atau lebih tepat lagi mendirikan rumah tangga.
“Saya tidak takut dan kini sudah bersedia untuk menjadi seorang suami, lagipun saya mempunyai sistem sokongan yang baik di sekeliling sama ada keluarga mahu pun peminat.
“Soal kerjaya merudum selepas berkahwin bukan tafsiran terbaik untuk menilai seseorang artis dan sebenarnya sekiranya usia saya 19 tahun pun saya sudah bersedia, pastinya saya akan berkahwin ketika itu lagi,” tegas Alif yang ditemui pada majlis sidang akhbar pelancaran single terbaharunya, Setiap Hari di ibu pejabat Sony Music Malaysia, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pengumuman tarikh pernikahannya bersama gadis pilihannya, Shadila Halid, 29, dilakukan sendiri oleh Alif sejurus tamat majlis pelancaran single tersebut yang dipetik daripada album terbaharunya, Definisi.
Alif memberitahu, majlis pernikahannya bersama Shadila akan dilangsungkan pada tanggal 15 September depan di sebuah dewan di Kuala Lumpur secara tertutup dan dikhaskan untuk keluarga dan teman rapatnya sahaja.
Manakala, majlis resepsi persandingan pasangan itu akan berlangsung pada 20 September di Marina Putrajaya bertemakan pakaian formal.
“Tarikh itu dipilih memandangkan hari ulang tahun kami jatuh pada bulan September iaitu 2 September (Shadila) dan 19 September (Alif).
“Persiapan kini berjalan lancar dan kami merancang untuk mengadakan majlis pernikahan dan persandingan secara bersederhana sahaja,” tambahnya yang telah melangsungkan majlis pertunangan dengan Shadila pada Januari lalu.
Perkenalan Alif dan Shadila bermula sekitar empat tahun lalu selepas Alif mengadakan persembahan hari raya untuk siaran sebuah stesen televisyen swasta di ibu kota.
“Ketika itu dia sedang bertugas sebagai pelatih di stesen televisyen berkenaan dan dia tertarik selepas saya menyanyikan lagu Kaulah Segalanya (Hazrul Nizam) untuk program itu.
“Mulanya dia langsung tidak mengenali siapa saya sehingga kami dipertemukan semula dalam sebuah acara lain dan sejak itu kami menjadi semakin akrab hingga memutuskan untuk berkahwin tidak lama lagi,” cerita Alif.
Istimewanya Shadila di mata Alif kerana gadis kelahiran Johor Bahru, Johor itu memahami kerjayanya dan sentiasa berusaha untuk menambat hati seluruh ahli keluarga Alif.
Sementara itu, jelas Alif single terbaharu berjudul Setiap Hari ditujukan khas kepada bakal isterinya hasil ciptaan sepenuhnya Panji Sakti sekitar tahun lalu.
“Dia (Shadila) teruja apabila pertama kali saya menyanyikan lagu ini di hadapannya tapi lagu ini tidak akan saya nyanyikan pada majlis perkahwinan kami. Mungkin pilihan saya adalah lagu yang mempertemukan kami berdua, Kaulah Segalanya,” katanya.
Lagu Setiap Hari telah dihasilkan di Bandung, Indonesia ketika Alif dan Panji Sakti berada di sana atas urusan kerja. Video klip lagu itu telah dilancarkan dan membabitkan lakonan pengacara baharu 3R, Mia Azmi serta anak primadona Melayu Erra Fazira, Tengku Aleesya.