Kisah Aidilfitri lima artis baharu Fizi Ali, Shasha Al-Khred, Dayana Roza, Shakilla Khoriri dan Azwan Kombos



SUASANA di Presidential Suite di Hotel Marriot, Putrajaya pada petang itu riuh dengan gelak tawa serta canda mesra Fizi Ali, Shakilla Khoriri, Dayana Roza, Azwan Kombos dan Shasha Al-Khred ketika menjayakan sesi fotografi yang diaturkan khusus untuk edisi raya.

Mengenakan dua persalinan busana daripada pereka fesyen terkemuka Shanell Harun, kelima-lima mereka petah membulatkan kata-kata saat bercerita tentang pengalaman berhari raya masing-masing.

Pelbagai variasi cerita dan memori dikongsi oleh mereka sepanjang sesi wawancara yang berakhir agak lewat pada hari tersebut.

Fizi dikurung dalam balai raya

Antara memori menyambut Syawal yang paling tidak dapat dilupakan, kata penyampai radio Ultra FM, Fizi Ali ialah apabila dia dan seorang lagi sepupunya dikurung dalam balai raya beberapa hari menjelang Aidilfitri.

“Saya berumur 9 tahun ketika itu dan biasalah kalau balik kampung macam-macam perkara mahu dibuat termasuk terlebih rajin membakar sampah.

“Kebetulan pula lokasi sampah sarap yang dibuang betul-betul sebelah balai raya, dicampak pula minyak tanah dan spray nyamuk, habis separuh balai raya terbakar.

“Natijahnya, kami berdua dikurung seharian di dalam balai raya tersebut sebagai pengajaran,” kongsi Fizi ketawa.

Meraikan lebaran di kampung keluarganya di Kuala Tinggi dan Mersing, Johor, kata Fizi, antara perkara juadah Aidilfitri yang menarik di kampungnya adalah hidangan yang jarang diperoleh di tempat lain seperti lontong dan rendang daging landak.

Malah, keakraban ukhuwah antara lebih 40 orang ahli keluarganya yang akan berkumpul setiap kali tibanya sambutan Aidilfitri adalah momen yang sangat bernilai baginya.

Bercerita mengenai pengalaman bekerja pada hari raya, tahun ini merupakan tahun kedua Fizi bertugas di konti ketika umat Islam lain meraikan 1 Syawal bersama keluarga tercinta di kampung halaman masing-masing.


DARI kiri: Fizi Ali, Shasha Al-Khred, Dayana Roza, Shakilla Khoriri dan Azwan Kombos berkongsi kisah nostalgia Aidilfitri masing-masing.

Kain Shakilla terbakar

Ada memori ketika sambutan Aidilfitri yang sukar dilupakan Shakilla Khoriri. Kata anak jati Kuala Lumpur itu, dia pernah berdepan detik cemas ketika beraya di kampung bapanya di Kuala Kangsar, Perak sekitar tahun 2010.

“Ketika itu waktu saya baru menjadi artis, konon apabila balik kampung saya perlu mengawal setiap perkara. Tidak boleh itu tidak boleh ini.

“Hendak dijadikan cerita, sedang saya bersama beberapa orang sepupu lain duduk bersantai di tangga rumah nenek saya, tiba-tiba semua berteriak dan melarikan diri daripada saya.

“Hanya Allah saja yang tahu ketika itu rupa-rupanya ada antara keluarga saya yang membaling mercun bola, terpelanting bawah kain saya dan akhirnya meletup dengan kuat!

“Saya tidak sempat melarikan diri dan percikan api terkena pada beberapa bahagian anggota badan saya. Saya kaget, terkejut dan akhirnya demam,” ujarnya yang percaya tindakan itu sedikit sebanyak menyedarkan dirinya daripada lamunan.

Bercerita tentang Aidilfitri tahun ini pula, tidak seperti kebiasaan, Shakilla tidak pulang beraya di kedua-dua buah kampung halamannya di Perak dan Pahang. Sebaliknya, dia meraikan sambutan Aidilfitri bersama keluarganya di Kuala Lumpur.

Ditanya tentang juadah masakan kampung yang digemarinya, pelakon drama Aku Isterinya itu mengakui dia begitu merindui rendang tok di Perak selain nasi impit kuah kacang yang menjadi kegemarannya setiap kali tibanya lebaran.

Tradisi sambal sotong Dayana

Menjadi kewajipan bagi pelakon filem Zombi Kilang Biskut, Dayana Roza yang pasti akan bergotong-royong bersama anggota keluarganya menyediakan sambal sotong tradisi resipi datuknya.

Kata pemilik nama sebenar Nur Dayana Kamsun Baharin, 23, dua hari menjelang raya seluruh ahli keluarganya akan berkumpul untuk menyediakan juadah menarik itu.

“Selalunya dua hari sebelum raya kami akan berhimpun beramai-ramai untuk menyiapkan sambal sotong datuk saya.

“Selain itu, menariknya tentang keluarga kami kerana datuk saya berkebolehan memasak stik yang menjadi kegilaan kawan-kawan saya setiap kali hari raya,” ceritanya bersungguh-sungguh.

Mengimbas kembali kenangan menyambut raya ketika kecil, pernah kata Dayana dia tidak selesa dipakaikan baju kurung memandangkan dia sendiri jarang menyimpan rambut panjang.

“Ketika kecil saya seorang yang nakal dan aktif bersukan sampaikan kalau terlalu penat saya akan ponteng puasa minum air paip.

“Malah, pernah sekali saya mahu membaling mercun bola tapi tercicir di belakang balkoni hingga meletup dalam rumah sendiri,” katanya bersulam tawa.


AZWAN menyediakan enam pasang baju raya untuk tahun ini.

Azwan terlepas kapal terbang

Bagi sesetengah individu, membeli tiket bas atau kapal terbang untuk pulang ke kampung merupakan persiapan paling penting sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Namun bagi Mohd. Al Azwan Kombos atau lebih mesra disapa Azwan Kombos, 29, pengalaman tertinggal kapal terbang ketika mahu balik berhari raya di Kota Belud, Sabah menyebabkan dia perlu lebih berhati-hati pada masa akan datang.

“Dua tahun lepas, saya pernah terlewat untuk masuk ke pintu berlepas. Walaupun saya merayu supaya diberi kebenaran naik ke pesawat, namun, rayuan saya itu ditolak. Ketika itu, saya terus terduduk kerana sangat sedih.

“Sebelum ini pun saya pernah terlewat dan ketinggalan pesawat beberapa kali. Justeru, ia menjadikan saya lebih prihatin terhadap pengurusan masa pada masa akan datang,” jelasnya.

Bercerita mengenai sambutan hari rayanya, anak bongsu daripada tujuh beradik ini memberitahu, selain menerima tajaan busana daripada Arief Shah, dia juga memperuntukkan sebanyak dua pasang baju Melayu untuk disarungkan pada hari lebaran.

“Saya terpaksa menyediakan banyak baju Melayu lebih-lebih lagi apabila mahu memenuhi undangan beberapa majlis pada bulan Ramadan.

“Seperti tahun sudah, saya menyediakan enam pasang baju raya,” ujarnya sambil tersenyum.

Shasha berkabung sebab monyet

Siapa yang tidak berduka tatkala haiwan kesayangan yang dipelihara jatuh sakit dan mati meninggalknan tuannya. Itulah rasa yang dialami oleh penyampai radio Era FM, Shasha Al-Khred, 25, apabila Benny, seekor kera yang dipeliharanya mati kira-kira dua tahun lalu.

Lebih menyedihkan, kera peliharaannya yang berusia 2 tahun itu mati ketika umat Islam sedang sibuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri.

“Benny mula jatuh sakit pada penghujung Ramadan 2012.. Sakitnya melarat dan dia akhirnya mati pada hari raya keempat.

“Pada waktu itu, rasa untuk berhari raya tidak ada. Setiap hari saya asyik memikirkan keadaan Benny. Apabila dia mati, saya duduk di rumah dan langsung tidak keluar untuk berhari raya,” ujar Shasha.

Berkongsi mengenai pengalamannya mengendalikan rancangan radio pada hari raya, Shasha berkata, dia terpaksa beraya di konti kerana baru diterima sebagai keluarga radio Era FM pada tahun lalu.

“Saya mula ditawarkan untuk bertugas sebagai penyampai pada bulan Ramadan. Justeru, sebagai petugas baharu, saya perlu memberi peluang kepada penyampai senior lain untuk bercuti pada hari raya.

“Rasa sedikit sayu sewaktu mula ke udara pada malam raya, tetapi saya anggap ia sebagai tanggungjawab untuk menghiburkan orang ramai yang mahu pulang berhari raya ke kampung,” ujarnya sambil tersenyum.


Previous Post Next Post