Erti bahagia Sazzy Falak



TERPANCAR keceriaan di raut wajah Sazzy Falak atau nama sebenarnya Sazlini Shamsul Falak tatkala bercerita tentang kehidupannya kini.

Masakan tidak, kini Sazzy semakin bahagia di samping suami tersayang, Nazril Idrus dan dua permata hatinya, Imaan Lily dan Tiara Rose yang semakin membesar di depan mata.

Bukan itu saja, keletah anak kembarnya yang kini sudah menginjak usia tiga tahun dan semakin aktif benar-benar menggembirakannya apatah lagi masing-masing kini sudah boleh bercakap dan memahami arahan.

Si kembar pelengkap hidup

Melihat anak membesar di depan mata adalah pengalaman yang tidak ternilai buat wanita ini.

Bagi Sazzy Falak dan suami, Nazril Idrus, anak kembarnya, Imaan Lily dan Tiara Rose adalah segala-galanya buat mereka.

Berkongsi pengalamannya dalam membesarkan pasangan kembarnya itu, Sazzy memberitahu, cabaran paling besar yang dihadapinya ketika mereka masih kecil.

"Penat membesarkan anak kembar ini hanya pada peringkat awal.

"Semasa mereka masih bayi memang agak sukar sebenarnya nak menguruskan kedua-dua sekali gus.

"Semuanya berganda termasuk gembira dan menangis. Tapi apabila sudah masuk usia tiga tahun masing-masing sudah semakin bijak dan mudah untuk diuruskan," katanya ketika ditemui pada Program Raya Astro, baru-baru ini.

Kata Sazzy lagi, kedua-dua permata hatinya itu punya karakter tersendiri dan berlainan di antara satu sama lain.

"Seorang lagi aktif, manakala seorang lagi lebih tenang dan cool.

"Tetapi, kedua-duanya sangat petah bercakap dan pandai mengadu jika terdapat sebarang masalah," katanya.

Begitu pun, kata Sazzy, perkara yang benar-benar membuatkannya 'terkejut' adalah apabila kedua-dua puteri kembarnya dengan sendirinya meminta untuk dihantar ke sekolah.

"Mereka baru saja berusia tiga tahun, tetapi mereka sendiri yang meminta untuk ke sekolah.

"Mungkin mereka berasa seronok dengan persekitaran sekolah seperti belajar melukis dan mewarna.

"Saya berharap agar minat mereka terhadap pembelajaran ini akan kekal sehinggalah mereka dewasa kelak," katanya yang akan memasukkan kembarnya itu ke program prasekolah tahun depan.

Koleksi pakaian kanak-kanak

Sangat bertuah menjadi anak Sazzy, masakan tidak, Sazzy mengumumkan yang dia bakal muncul dengan koleksi pakaian kanak-kanak perempuan menerusi jenama Imaan Lily Tiara Rose, tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, pengacara Beat TV ini memberitahu permintaan terhadap baju kanak-kanak kini semakin meningkat di pasaran selain ingin mempelbagaikan lagi pilihan dan variasi baju kanak-kanak.

"Sejak kebelakangan ini, permintaan untuk baju kanak-kanak begitu menggalakkan.

"Justeru, saya ingin mencuba pasaran sedia ada dengan menampilkan koleksi khas untuk kanak-kanak perempuan.

"Lagipun, pengikut anak-anak saya di laman sosial, Instagram boleh tahan ramai, jadi tidak salah untuk saya mencuba," katanya.

Tidak setakat itu, Sazzy juga baru saja diberi peluang untuk memperagakan busana jenamanya, SFbySazzyFalak di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2014 (KL Fashion Week 2014), baru-baru ini.

Biarpun sibuk mengendalikan perniagaan secara online, Sazzy mengakui masih lagi menerima tawaran pengacara jika diminta untuk mengacarakan majlis-majlis tertutup di sekitar ibu kota.

"Selepas menubuhkan laman web streetfashionkl.com dan menjual beberapa jenama pakaian dari seluruh dunia secara online, saya agak kurang muncul di kaca TV.

"Lebih-lebih lagi apabila saya sudah jarang mengendalikan rancangan hiburan.

"Tapi, saya masih lagi aktif mengacarakan majlis secara tertutup," katanya sudah dua tahun menjadi pengacara untuk sebuah rancangan sukan di saluran ESPN.

Selain itu, Sazzy juga sedang menunggu tayangan telefilem biopic Saloma, lakonannya bersama Nabila Huda, Tony Eusof dan Sharifah Amani yang diterbitkan oleh Melissa Saila.

Berkumpul dengan keluarga

Sementara itu, bercerita mengenai sambutan lebarannya tahun ini, Sazzy memberitahu, dia menyambutnya di rumah mertuanya, di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menurutnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah salah satu hari yang paling dinanti-nantikan olehnya dan keluarga.

"Saya sangat suka apabila tiba hari raya.

"Apabila tibanya Aidilfitri, saya dan keluarga dapat bertemu setelah sekian lama tidak bersua. Maklumlah, masing-masing sibuk dengan kerjaya dan susah untuk berjumpa.

"Malah, pada hari raya saja kami dapat bertanya khabar dan meluangkan masa bersama," katanya sambil tersenyum.

Jelasnya lagi, dia berasa sangat beruntung kerana dikurniakan keluarga yang agak besar, apatah lagi suaminya juga turut mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai.

Jelasnya, kehadiran Syawal pada saban tahun pasti dimeriahkan lagi dengan gelak tawa sanak saudara apabila berkumpul bersama.

"Oleh sebab itu, ramai yang mengatakan sambutan hari raya kami sekeluarga kelihatan meriah.

"Alhamdulillah, selepas berkahwin, keluarga saya yang sudah sedia ada besar ini menjadi semakin besar," kata pelakon berusia 33 tahun ini.


Previous Post Next Post