Mon Ryanti langkah bendul



MON Ryanti memilih tarikh 12 September depan untuk mengakhiri zaman bujangnya.

MENYEMAI rasa kasih dan cinta selama dua tahun, akhirnya pelakon filem Keramat, Mon Ryanti dan tunangnya, Mohd. Hasrul Ali, 26, sepakat untuk menamatkan zaman bujang pada bulan depan.

Pandangan kali pertama Hasrul kepada penyampai radio Ultra FM itu membibitkan rasa cinta antara mereka. Mon yang mengikat tali pertunangan pada 7 Jun lalu memberitahu, dia berasa teruja menantikan saat bahagia itu yang bakal diadakan di kampung halamannya, Johor Bahru, Johor.

"Alhamdulillah persiapan untuk melangkah ke gerbang perkahwinan sudah 90 peratus siap dan insya-Allah saya akan bernikah pada 12 September depan di kampung halaman, di Johor Bahru.

"Majlis persandingan saya akan diadakan pada keesokan harinya manakala sebelah lelaki di Kuala Lumpur pada 20 September depan," ujar Mon Ryanti secara eksklusif kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.

Tambah Mon, hari perkahwinannya nanti bakal menjadi majlis pertama yang berlangsung di rumah keluarganya memandangkan abang sulungnya masih bujang.

"Sebenarnya saya agak gemuruh menantikan hari bahagia saya yang hanya berbaki sebulan sahaja lagi. Setiap hari saya akan memastikan persiapan perkahwinan berjalan dengan lancar kerana saya agak sibuk dengan urusan kerja di Kuala Lumpur.




"Saya bimbang majlis saya nanti akan ada kekurangan. Maklumlah ini merupakan majlis perkahwinan pertama dalam keluarga saya," kata Mon yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik.

Ditanya tentang persiapan usai bergelar isteri, Mon memberitahu, dia sudah bersedia hidup bersuami.

"Saya sudah bersedia untuk melangkah ke satu fasa yang tidak pernah saya lalui sebelum ini. Saya percaya bahawa Hasrul akan menjaga saya dengan sebaik mungkin. Saya juga tidak sabar untuk menimang cahaya mata," kata Mon Ryanti menutup perbualan.
Previous Post Next Post