
SEMAKIN DITERIMA... Drama Band dianggotai oleh (dari kanan) Epul (vokalis), Faeez (dram), Ammar (gitar), Daus (bass) dan Adib (gitar kedua).
JIKA tidak kerana lagu Babak Pertama, drama Juvana mungkin tidak pernah menjadi hit. Malah, selepas itu, satu demi satu buah tangan mereka dipilih sebagai lagu tema untuk dimainkan dalam beberapa drama bersiri.
Dianggotai lima anak muda, Drama Band tertubuh secara rasmi selepas menyertai pertandingan Twisties Bingit sekitar tahun 2010. Bermula dari situ, mereka menjadi akrab dan bermain sebagai sebuah kumpulan yang bergerak secara bebas.
"Mula-mula dahulu kami namakan kumpulan ini sebagai Dramatic Band tetapi disebab nama itu terlalu panjang dan agak kebaratan kami memilih untuk menggunakan nama Drama Band, bunyinya lebih komersial," kata sang vokalis, Epul sebagai salam perkenalan.
"Kami buat lagu untuk single kami sendiri tetapi secara kebetulan dipilih sebagai OST (original sound track). Setakat ini Drama Band ada naik dan turun tetapi khalayak sudah mula merasai kewujudan kami," celah pemain dram, Faeez.
Katanya, Drama Band tidak hidup dengan karya yang dihasilkan sebagai lagu-lagu tema drama dan filem.
"Kecuali lagu Jiwa untuk OST drama bersiri yang berjudul Jiwa, semua lagu kami dibuat untuk menterjemahkan aliran muzik yang kami bawa. Namun, rezeki dan permintaan pembikin drama dan filem untuk mengangkat lagu kami sebagai OST tidak boleh dilepaskan. Sekarang kami diminta untuk menghasilkan OST bagi filem Juvana 2 dan Juvana 3 pula. Saya anggap itu langkah terbaik untuk kami. Filem dan drama akan sama-sama mempromosi karya dan kumpulan kami. Itu strategi serampang dua mata," ujar Epul.
Drama Band menyifatkan kumpulan Hyper Act yang juga sahabat mereka sebagai sebuah band yang sedang dihormati.
"Apabila sesebuah drama meletup, tempiasnya kena kepada kami," kata Epul mengakui senario muzik tempatan kini meriah dengan kehadiran banyak kumpulan baharu.
"Persaingan muzik berkumpulan nampak meriah. Bagusnya masing-masing mahu menghasilkan karya yang bagus. Namun, yang paling meriah rasanya Hyper Act.
"Kalau diikutkan, kami muncul dahulu sebelum Hyper Act tetapi rezeki memihak kepada mereka. Saya lihat kejayaan Hyper Act sebagai pembakar semangat untuk kumpulan seperti kami terus bermain muzik," beritahu Epul lagi sambil menambah Drama Band baru selesai merakamkan OST untuk sebuah filem yang berjudul Suamiku Encik Perfect Ten.
Selain Epul dan Faeez, kumpulan yang sedang merangka penghasilan sebuah album studio bawah naungan Indigital Music ini turut disertai oleh Daus (bass), Ammar (gitar) dan Adib (gitar kedua).