Coretan Aidilfitri terakhir Sleeq



KEHADIRAN pasangan sepupu ini mengetengahkan muzik hip hop memeriahkan lagi industri muzik tempatan.

SLEEQ, penyanyi duo dari Singapura yang ditubuhkan pada tahun 2005. Mengangkat genre hip hop dan R&B, kumpulan yang dianggotai oleh Alyph dan Syarif itu mula mengintai pasaran muzik tempatan sekitar tahun 2011. Selain sebagai pasangan duo dalam nyanyian, mereka juga berstatus sepupu.

Sembilan tahun lalu, dua anak muda, Syarif dan Alyph yang menggelarkan diri mereka sebagai Sleeq itu mula bertatih mengenali dunia muzik. Ketika itu genre hip hop yang diketengahkan mereka hanya berlegar-legar di seberang tambak.

Selepas enam tahun merasai jatuh bangun sebagai anak seni di tanah tumpah darah, Sleeq mengatur percaturan baharu. Mengintai ruang di Kuala Lumpur sejak tahun 2011, Sleeq sedar kedudukannya masih lagi dianggap baharu.

Sungguhpun begitu, dalam tempoh tiga tahun mencuba nasib di negara orang, Sleeq sudah berjaya memikat pendengar tempatan. Kehadiran mereka di sini diterima baik. Melihat kepada sambutan terhadap lagu-lagu mereka, Sleeq sememangnya ada kelompok peminat tersendiri.




Tahun ini, kehadiran mereka di sini memberikan satu catatan baharu dalam portfolio dua anak muda itu. Jika sebelum ini dua buah album mereka dihasilkan untuk edaran di bumi Singapura, kali ini pasangan sepupu itu menampilkan album pertamanya di negara ini, Sleeq The Album 2014.

Musim lebaran ini, Sensasi Bintang berkesempatan menemu bual Sleeq untuk berkongsi cerita mengenai album baharu dan perkembangan diri mereka untuk dikongsi bersama para peminatnya.

SENSASI BINTANG: Mengapakah kalian memilih untuk melancarkan dan mengedarkan album Sleeq The Album 2014 di negara ini?

ALYPH (A): Sejak dari awal lagi apabila kami datang ke sini, memang sudah ada perancangan untuk menghasilkan sebuah album khas untuk pendengar muzik di Malaysia. Sepanjang tempoh tiga tahun di sini, kami mula mengumpul material untuk dijadikan buah tangan kepada peminat kami di sini.

SYARIF (S): Ini satu bentuk penghargaan kepada peminat yang banyak memberikan sokongan dan dorongan untuk kami terus berkarya. Apabila kami datang ke sini, respons yang kami terima memang mengejutkan. Dengan adanya album pertama kami di Malaysia, saya harap kami dapat terus kekal membawakan mesej-mesej berguna menerusi karya kami.

Berbanding dengan dua album sebelum ini, apakah kelainan atau keistimewaan yang ada dalam album terbaharu itu?

A: Kali ini album kami turut menampilkan lagu kolaborasi bersama penyanyi lain seperti Najwa Latif, Hazama, Joe Flizzow dan juga individu yang membawa kami masuk ke sini iaitu Aaron Aziz.

S: Ia mengandungi lapan buah lagu di dalamnya yang terdiri daripada lagu-lagu berentak hip hop dan R&B. Album itu hanya dilancarkan di sini dan hanya diedarkan untuk pasaran muzik di negara ini sahaja. Kalau melihat kepada jalan cerita lagu-lagu yang terkandung dalam album itu ia lebih bertemakan kehidupan manusia. Sebagai contoh, lagu Salam Semua menceritakan mengenai kehidupan Aaron Aziz sendiri.

Single Tepi Sikit yang dimuatkan dalam album berkenaan mendapat respons menggalakkan. Apa kekuatan lagu itu?

A: Sebenarnya lagu itu mengenai pendirian kita sendiri. Ia mengajar kita supaya tidak takut untuk membuat sebarang keputusan dalam hidup. Secara tak langsung, ia mungkin banyak memberi galakan dan menjadi sumber inspirasi buat mereka di luar sana untuk terus berhadapan dengan segala cabaran dalam hidup. Video klipnya juga sudah ditonton lebih dua juta kali.

S: Sebenarnya banyak juga halangan sewaktu mahu perkenalkan lagu itu kerana ia diedarkan sewaktu berlakunya insiden MH370. Jadi lagu berentak rancak seperti itu kurang dimainkan. Bagaimanapun, syukur lagu itu masih dapat bertahan dan kalau lihat di laman sosial pun ramai yang gunakan #TepiSikit.

Apakah visi dan misi kalian untuk album terbaharu ini?

A: Kalau album pertama sewaktu usia 17 tahun kisahnya lebih kepada percintaan anak muda, album kedua terbit ketika kami berumur 20 tahun, ia lebih berkisar perihal kematangan, dan kini album yang ketiga ini, yang lebih menjurus kepada hala tuju hidup. Saya harap mesej-mesej yang kami ingin sampaikan itu sampai kepada pendengar.

S: Dari aspek jualan fizikal pula, kami tak menaruh sasaran yang tinggi memandangkan pendengar kini lebih banyak menggunakan medium dalam talian.

Aidilfitri pada tahun ini mungkin membawa pengertian yang berbeza buat Sleeq sendiri apabila kalian bakal mengakhiri zaman bujang pada penghujung tahun ini. Boleh ceritakan sedikit mengenai persiapan untuk melangkah ke alam berumah tangga.

A: Persiapan fizikal memang sudah dibuat. Saya bakal diijabkabulkan pada bulan depan selepas mengikat tali pertunangan Mei lalu. Bakal isteri saya merupakan seorang guru.

S: Selepas ini kami kena pandai membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Kalau cakap pasal perasaan, saya sendiri berasa teruja untuk melangkah ke satu fasa hidup yang baharu sebagai seorang suami. Insya-Allah majlis saya nanti akan berlangsung pada November depan.
Previous Post Next Post