
SOAL cinta bagaikan tidak pernah putus daripada diri pelakon yang sedang meningkat naik, Zul Ariffin. Suatu ketika dahulu, kisah percintaan dengan bekas kekasihnya, Abby Abadi pernah menjadi perhatian umum. Belum sempat mengikat tali percintaan, rasa kasih yang baru disulam itu terlerai begitu sahaja.
Tidak berlengah selepas berpisah dengan pelakon Gerak Khas itu, cinta lelaki kelahiran Taiping, Perak itu diserahkan kepada penerbit filem, Gayatri Su-Lin Pillai.
Dalam sibuk mengenal hati budi masing-masing, baru-baru ini timbul pula berita yang mengatakan Zul kini mulai rapat dengan pelakon kelahiran Singapura, Elfaeza Ul-Haq. Cerita itu sekali gus menyebabkan ada pihak yang mengatakan mereka sedang bercinta.
“Selama ini, terlalu banyak kisah berkaitan diri saya yang dikongsikan kepada umum sepanjang saya bergelar pelakon. Banyak cerita yang pada saya bersifat peribadi.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk saya tidak berkongsi secara terperinci atau mendalam mengenai hal peribadi. Bagi saya, ada perkara melibatkan hal peribadi yang perlu saya simpan dalam diri tanpa perlu dikongsi kepada umum,” luahnya yang mengakui hanya berkawan rapat dengan Elfaeza tanpa ada sebarang status istimewa.
Tanpa ada rasa berselindung, Zul mengakui, fasa kehidupan peribadinya kini tidak begitu indah seperti yang diinginkan.
“Hal peribadi saya tidak begitu baik sekarang ini. Peribadi itu bukanlah berkaitan dengan perihal cinta sahaja, mungkin juga berkaitan keluarga dan lain-lain lagi,” ujar pelakon Walau Sedetik Cuma itu.
Sungguhpun begitu, Zul berkata dia bersyukur kerana perjalanan karier seninya menunjukkan perkembangan yang baik. Walaupun tidak habis-habis dengan kisah cinta, karier seninya tetap bersandarkan bakat dan bukan kisah sensasi 100 peratus.
“Alhamdulilah, dari segi kerjaya, semuanya baik-baik. Jadual kerja juga agak sibuk tapi itu semua merupakan rezeki buat saya dan keluarga,” luah pelakon Rindu Awak 200 Peratus itu.
Bercerita lanjut mengenai drama yang sedang ditayangkan di slot Akasia itu, drama tersebut merupakan naskhah pertama yang menggandingkan dirinya dengan pelakon Ayda Jebat.
“Dalam drama itu saya dan Ayda mahu dijodohkan oleh ahli keluarga. Sebelum berkahwin, saya terlebih dahulu melakukan solat istikharah yang kemudian diberi petunjuk bahawa Armel (lakonan Ayda) merupakan calon isteri yang terbaik buat saya.
“Pelbagai konflik berlaku pada awal perkahwinan sementelah Armel seorang yang keras hati. Malah, saya juga merahsiakan pekerjaan saya sebagai seorang juruterbang daripadanya,” ceritanya yang memberitahu turut menjalani penggambaran di Istanbul, Turki selama hampir dua minggu bersama Ayda.
Selain Zul dan Ayda, drama arahan Aidilfitri Mohamed Yunos itu turut menampilkan pelakon Adeline Tsen dan Jonathan Putra. Drama 28 episod itu bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 7 malam.