Persis pertaruhkan muzik moden rock



SEMAKIN lama, industri muzik tanah air semakin rancak dengan kemunculan pelbagai band-band muzik baharu dengan genre mereka tersendiri.

Biarpun mereka bermula 'underground' atau indipendent, kini band seperti ini seolah-olah keluar daripada kepompong mereka dan mula timbul di arus mainstream.

Salah satunya adalah band yang kian menyerlah adalah Persis, ia merupakan sekumpulan anak muda yang memperjuangkan muzik moden dan progresif rock dalam industri seni tempatan.

Dianggotai lima anak muda iaitu Khairul Nizam Idris (vokal), 35; Mohamad Izwan Talhah (gitar), 35; Wan Zulfizrin Mohd. Zin (gitar), 27; Rajwan Juni (drum), 25; dan Nor Zahari Zakaria (bass), 32.

Biarpun masih 'hijau' dalam industri ini, Khairul Nizam Idris, mewakili rakan-rakannya berkata, band ini ditubuhkan pada 2012 tanpa rancangan rapi.

"Mulanya kami mengenali antara satu sama lain ketika menyertai satu program TV bersama Rajwan, Zahari dan Tam (Zulfizrin) menerusi Generasi Y RTM.

"Kami sebenarnya daripada band-band yang berbeza dan ideologi muzik berlainan," katanya.

Bermula dari situ, Khairul berkata, mereka bersepakat menubuhkan band baharu yang dinamakan Persis.

Katanya, semua bermula apabila Zahari (ketua kumpulan) mencetuskan idea untuk bergabung dengannya yang merupakan vokalis Cherish, terkenal dengan jolokan nama sebagai Kroll.

Dia yang juga pernah menjadi naib johan Rentak Juara 2008 ketika bersama kumpulan Cherish ketika itu.

Kemudian mereka berdua mengajak tiga lagi sahabat mereka (Tam, Rajwan dan Izwan) untuk menyertai Persis yang membawakan genre muzik moden rock.

Ruang Hati

Sebelum diikat dengan Sony Music, Khairul menceritakan bahawa mereka pernah muncul dengan single pertama yang diberi tajuk Amarah.

Lagu tersebut dilancarkan Mac tahun lalu, mendapat sentuhan daripada Syed Nitrus sebelum mereka berada di bawah label muzik sekarang.

"Kami mencuba nasib agar lagu ini diperkenalkan di pasaran tempatan namun, usaha kami menemui jalan buntu.

"Tetapi, kami bersyukur kerana Sony Music sudi mengambil Persis di bawah label mereka dan kami mengikat kontrak selama tiga tahun," katanya.

Selepas Amarah, kumpulan ini kemudiannya terus melangkah dengan yakin menerusi single baharu mereka, Ruang Hati.

Menceritakan sedikit mengenai lagu tersebut, Khairul berkata ia merupakan hasil cantuman idea ahli kumpulan Persis sehingga Ruang Hati dihasilkan.

"Alhamdulillah... selepas ia dilancarkan awal tahun ini, Ruang Hati kian diterima pendengar radio tempatan.

"Malah, ia berada di Carta Zon 30 Hot FM dan menjadi pilihan peminat supaya diputarkan di corong-corong radio," katanya.

Menurutnya, Ruang Hati merupakan lagu pertama mereka selepas berada di bawah label produksi muzik itu.

"Sebenarnya lagu ini ilhamkan daripada kisah sahabat kami yang merupakan peminat tegar band ini. Persis adalah nama wanita yang meminati salah seorang daripada ahli grup ini.

"Dari situlah timbulnya idea untuk menamakan band kami sebagai Persis," katanya.

Menurutnya lagi, nama Persis juga diambil daripada ayat persistent' yang membawa maksud jangka hayat yang panjang.

"Sebagaimana kami ingin bertahan lebih lama dalam industri, kami mahu Persis sentiasa menjadi 'persistent'," katanya.

Terokai Singapura, Indonesia

Seperti yang diinginkan Khairul, jika ingin kekal lebih lama dalam industri muzik, usaha perlu digiatkan dan memperkenalkan Persis ke pasaran luar.

Katanya, tidak hanya dikenali di industri tempatan, dia mahu memperluaskan muzik mereka ke luar negara seperti Singapura dan Indonesia.

"Ia merupakan usaha kami sendiri. Bukan kami tidak mahu bergantung kepada label tetapi kami mahu Persis lebih aktif dengan cara sendiri.

"Jika diperhatikan, Malaysia sendiri punyai lambakan band-band baru dan lama sejak akhir-akhir ini.

"Kami tidak melakukan perkara ini tanpa pengetahuan Sony Music, sebaliknya berbincang dengan pihak mereka terlebih dahulu," katanya.

Baginya, usaha sebegini adalah untuk mengenali lebih dekat pendengar muzik tempatan agar lagu Persis dihargai dan mendapat tempat di hati peminat.

"Tanpa penyokong atau peminat setia, band atau sesiapa sahaja boleh jatuh bila-bila masa.

"Kami mahu menghargai mereka dan mengenali mereka dengan lebih dekat menerusi laman sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube," katanya.


Previous Post Next Post