“KHABAR angin yang mengatakan hubungan kami terjejas kerana orang ketiga sehingga terpaksa menundakan majlis perkahwinan bagi saya perkara yang kelakar,” jelas pelakon Dazrin Kamaruddin mengenai pembatalan majlis perkahwinan dengan aktres, Amyra Rosli yang sepatutnya berlangsung pada hujung minggu ini.
Menafikan khabar angin itu, Dazrin menegaskan pembatalan majlis perkahwinannya berpunca daripada masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
“Saya dan Amyra memang bekerja dengan ramai pihak jadi tidak timbul soal orang ke tiga dalam hubungan kami. Selain itu kami saling mempercayai satu sama lain.
“Pembatalan majlis yang berlangsung hujung minggu ini adalah atas faktor-faktor yang tidak dapat kami elakkan bukannya kerana perkara lain.
“Masa singkat yang membataskan kami membuat persiapan adalah alasan kami terpaksa batalkan tarikh itu. Kalau boleh kami tidak mahu majlis kami dijalankan ‘ala kadar’ kerana tidak cukup masa,” jelasnya panjang lebar.
Mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu, pelakon drama Miranda ini memberitahu tarikh baru untuk menjalankan majlis perkahwinannya masih lagi dalam perbincangan.
“Hubungan saya dan Amyra masih seperti biasa, mungkin jodoh belum sampai. Memang saya sedih dan berat hati buat keputusan ini.
“Buat masa ini kami masih dalam perbincangan mencari tarikh yang baru untuk majlis kami nanti.
“Kami berharapkan semua pihak bersabar dan kami juga memohon maaf kepada semua bukan sahaja pihak keluarga dan peminat malah mereka yang telah bertungkus-lumus menyediakan persiapan dan tajaan kepada majlis yang sepatutnya berlangsung hujung minggu ini,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.