
GELORA yang melanda Rita Rudaini, 38, bukan kali pertama dihadapinya. Bersama kekuatan yang ada dalam diri, dia meneruskan kehidupan biar jauh di sudut hatinya tersimpan derita yang dipendam kejap.
Dia harus kuat demi dua cahaya matanya, Airit Rayyan Rizqin, 5 dan Airit Rafqa Arjuna, 3. Permata hati ini harus dibesarkan dengan sempurna walau ada krisis melanda antara dia dan bekas suami.
Pasangan itu sah bercerai talak satu pada 5 September tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri
Sembilan.
Rita kini membesarkan kedua-dua orang anaknya itu bersendirian, manakala Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak 27, berkahwin lain bersama Zarema Zainal, enam bulan selepas bergelar duda.
Bagaimanapun berbeza dengan Aidil, ujar Rita dia kini tidak kisah hidup sebagai ibu tunggal kerana apa yang penting adalah kehidupan dua anak-anaknya.
"Macam saya pulang raya baru-baru ini, macam-macam cerita yang saya dengar tentang rumah tangga rakan-rakan saya. Suami saya macam ini, suami saya macam itu.
"Jadi bila dengar cerita rumahtangga orang, saya lega sebenarnya. Lega kerana saya tidak perlu lagi melalui
semua itu.
"Malah ada yang minta nasihat saya, mula-mula rasa kelakar dan macam tak sesuai untuk saya bagi nasihat.
Tapi saya cakap jua berdasarkan pengalaman lalu saya," ujarnya yang ditemui baru-baru ini.
Di tebak tidakkah ada lelaki yang mendekatinya, ujar Rita, dia sejujurnya tidak menyedari andai ada lelaki yang mendekatinya kerana masanya sering dihabiskan bersama anak-anak.
"Saya bukan orang yang pergi melepak bersama kawankawan. Fokus saya kalau saya kerja, pergi kerja dan terus balik rumah. Apabila balik rumah tengok anak-anak, saya sudah cukup rasa bahagia.
"Bahkan keutamaan saya kini adalah untuk bekerja dan mencari duit demi keselesaan anak-anak,” jelasnya.
Bagaimanapun ujar Rita, dia tidak kisah andai bertemu jodoh sekali lagi selepas ini, namun apa yang penting, dia berharap bakal suaminya itu menyayangi anak-anak lebih daripada dia menyayangi Rita.
"Soal umur saya memang tidak kisah. Tua atau muda kerana itu memang jodoh kita. Tapi apa yang penting matang dan dia menyayangi anak-anak saya sepenuh hati lebih daripada dia menyayangi saya," katanya.
Rita kesal Aidil terus mungkir janji
Di tebak mengenai bekas suaminya, yang juga pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Rita berkata, dia sudah malas untuk berbicara lanjut mengenai bekas suaminya itu.
Apatah lagi, sejak Aidil mendirikan rumahtangga, lelaki itu untuk sekian kalinya terus memungkiri janji yang dia sendiri cipta.
"Kadang-kala saya terasa seperti menipu anak-anak setiap kali dia muncul dan mahu berjumpa dengan anak-anak, saya akan pujuk mereka untuk berjumpa ayahnya.
"Bayangkan perasaan anak-anak saya apabila dia muncul dan hilang begitu sahaja. Apatah lagi Rayyan sudah mula memahami dan mengenal ayahnya.
"Rayyan memang cepat sensitif dan marah bila saya bercakap mengenai ayahnya atau tunjuk gambar kami kepada Rayyan. Jadi saya tak nak paksa emosi dia.
"Macam Arjuna, dia memang tidak faham apa-apa, kadang kala ada juga dia bertanya, 'mana daddy?'. Tapi saya terpaksa menipu dengan mengatakan ayahnya sibuk," ujarnya.
Jelas Rita, seperti Aidilfitri baru-baru ini, dia agak kesal apabila Aidil hanya menghantar mesej bertanya khabar anak-anak pada malam raya.
"Saya akui dia ada mesej saya pada malam raya dan raya pertama. Tapi saya tak balas sebab saya rasa marah. Dah raya baru nak tanya khabar anak," katanya.
Tambah Rita, kesnya dengan Aidil berkaitan nafkah tertunggak isteri dan nafkah mutaah masih lagi berjalan di mahkamah.
Di tebak adakah dia tidak risau andai suatu hari Rayyan dan Arjuna akan membaca kembali segala kisah yang berlaku antara dia dan Aidil, Rita berkata : "Saya pernah membesar dalam keadaan Rayyan sekarang.
"Sebenarnya apa yang penting adalah didikan yang diterapkan kepada anak-anak. Biarpun sudah berpisah, macam saya kata tadi, saya tunjuk gambar-gambar lama saya dan Aidil, atau muka depan majalah dan akhbar yang memaparkan wajah kami.
"Tapi macam Rayyan dia tak mahu lihat. Jadi saya tak paksa dia. Tapi ada masa, saya akan ingatkan dia mengenai Aidil agar dia tidak lupa ayahnya," jelasnya.
Ujar Rita, kini apa yang menjadi misinya adalah untuk memberi pendidikan yang sempurna kepada kedua cahaya matanya.
"Bila saya dengar mereka pandai mengenal huruf, mengaji, secara tidak langsung ia memberi semangat buat saya. Kadang kala saya rasa tidak percaya kerana walaupun membesarkan mereka sendiri, tapi saya mampu mendidik mereka," katanya.
Mahu berundur?
Berkongsi perkembangan seninya, Rita berkata, filem lakonannya, Pengapit akan ditayangkan pada Oktober ini. Manakala dia sendiri kini sibuk menjalani penggambaran drama terbaru di TV9.
"Alhamdulillah, orang kata rezeki yang kita dapat sekarang ini adalah rezeki anak-anak," katanya.
Rita berkata, selain karier seni, dia bersyukur kerana perniagaan atas taliannya iaitu produk kecantikan Rudaini Beaute Skincare dan Luv My Coffee by Rita Rudaini juga berjalan dengan lancar.
"Alhamdulillah setakat ini sambutan memang menggalakkan. Saya bersyukur walaupun melalui laman sosial, Instagram tetapi ramai yang ambil produk ini," katanya.
Rita berkata, dia kini dalam perancangan untuk mengeluarkan jenama minyak wangi sendiri dan kini segalanya dalam perancangan.
Tambah Rita, biarpun perniagaannya kini sedang rancak, namun dia tidak berhasrat untuk berundur daripada industri seni.
"Perancangan untuk perlahankan karier seni memang ada tapi untuk berhenti terus tidaklah kerana memang minat utama saya adalah bidang lakonan," akhirinya.