
Robin Williams
PELAKON komedi popular, Robin Williams meninggal dunia pada usia 63 tahun, disyaki membunuh diri.
Kematian Williams, yang selama ini bergelut dengan kemurungan, disahkan oleh isterinya, Susan Schneider.
“Pagi ini, saya kehilangan suami dan teman baik saya sementara dunia pula kehilangan salah seorang daripada artis yang disayangi. Saya amat-amat kecewa,’’ katanya.
Jabatan Polis di California dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan 911 pada pukul 11.55 pagi waktu tempatan mengenai seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di kediamannya.
“Susulan itu, pasukan penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba jam 12 tengah hari.
“Mangsa yang dikenalpasti sebagai Robin McLaurin Williams meninggal dunia pada 12.02 petang,’’ demikian menurut kenyataan berkenaan.
Susulan itu, satu siasatan menyeluruh berhubung kematian Williams sedang dijalankan.
Williams terkenal dengan filem komedi dan mula dikenali pada lewat 1970-an selepas muncul sebagai makhluk asing dalam rancangan TV ‘Mork and Mindy.
Williams pernah memenangi tiga anugerah Golden Globes untuk filem Good Morning, Vietnam, Mrs. Doubtfire dan ’The Fisher King.
Dua minggu lalu, Williams memuat naik gambarnya bersama anak perempuannya dalam keadaan gembira menerusi akaun instragramnya.
Dia selama ini bergelut dengan ketagihan alkohol dan dadah sejak lewat 1970-an dan awal 1980-an.