Tuah Izzue, Yana



BAIK Izzue Islam mahupun Yana Samsudin, dua figura ini dikatakan cukup bertuah kerana rezeki mereka semakin murah sejak akhir-akhir ini.

Malah, boleh dikatakan 2014 merupakan tahun cemerlang buat mereka, tawaran lakonan tidak pernah putus dan wajah mereka sering menghiasi kaca TV dan juga layar perak.

Walaupun Izzue dan Yana sering dihimpit pelbagai kontroversi mengenai kehidupan peribadi mereka, namun keduanya tenang menghadapinya.

Jika dihitung, kehadiran mereka dalam industri seni sudah agak lama bertapak namun di awal kemunculan mereka seolah-olah dipandang sepi peminat.

Tidak menjadikan ia sebagai alasan untuk berhenti daripada bidang ini, mereka terus gigih mencipta nama sama ada dalam bidang seni suara atau lakonan, Izzue dan Yana tidak pernah putus asa.

Pertemuan singkat bersama dua selebriti ini ketika majlis pelancaran duta jenama Super bagi kempen Secret To A Smile di Cathay e@Curve, Jumaat lalu sempat berkongsi pengalaman mereka sebagai anak seni.

Jadi ‘Ejen Rahsia’

Mendengarkan sahaja tajuk ini, pastinya ramai tertanya-tanya apakah kisah di sebalik 'Ejen Rahsia' itu.

Sebenarnya, ia merupakan gimik semata-mata bagi mempromosikan enam episod siri video online Secret To A Smile yang ditayangkan di YouTube, sejak 1 Ogos lalu.

Dalam siri ini , Yana dan Izzue akan memegang watak ejen rahsia dalam misi untuk mengetahui rahsia di sebalik senyuman semua warga Malaysia.

Pengembaraan mereka menjanjikan pelbagai aksi dan komedi semasa mereka meneroka gudang berteknologi tinggi Super untuk mengetahui rahsia dan cara pembikinan kopi asli dan aromatik Super.

Menurut Yana, peluang menerokai dunia kopi dan berlakon menerusi filem pendek ini memberikannya satu pengalaman baharu ketika melawat kilang Super di Johor Bahru, April lalu.

"Selepas ditawarkan menjadi duta, saya teruja dapat melawat kilang kopi Super kerana bukan semua orang dapat memasukinya.

"Saya dapat menyaksikan sendiri teknologi canggih yang digunakan untuk menghasilkan kopi yang berkualiti.

"Biarpun terpaksa berpanas kerana suhu kilang agak tinggi ketika proses pembuatan kopi dan berjaga sehingga jam 4 pagi untuk penggambaran ini," ujarnya yang akan sibuk dengan siri jelajah ke seluruh negara bagi promosi kopi tersebut.

Ditanya mengenai pelantikannya sebagai duta kopi tempatan Super, Yana berkata ia merupakan 'rezeki terpijak' selepas bergerak sendiri.

Sementara itu, seorang lagi ejen rahsia Izzue pula berkata, dia bakal turun padang untuk bertemu dengan peminat menerusi siri jelajah mereka ke 20 buah pasar raya terpilih di seluruh negara mulai September depan.

"Saya sangat teruja dapat mengikuti program ini, selain promosi kopi, saya juga dapat mendekati peminat terutamanya di kawasan pekan kecil," katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya pula, Izzue berkata sepanjang penggambaran filem pendek itu, dia seronok dapat melakukan stunt sendiri tanpa bantuan pelagak ngeri.

"Kami mengambil masa seminggu untuk menjayakan iklan selama 18 minit ini merupakan pengalaman pertama berlakon aksi.

"Sebenarnya kilang tersebut sangat panas, kami perlu sentiasa berhati-hati supaya elak terlibat daripada kejadian yang tidak diingini," katanya yang turut menyanyikan lagu latar bagi filem ini bersama Yana yang bertajuk What A Smile Taste Like.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Super Food Marketing Sdn Bhd (Super), Steven Lim, berkata pelantikan Izue dan Yana sebagai duta jenama menepati ciri-ciri Ejen Rahsia yang dihendaki syarikat tersebut.

Katanya, daripada lapan artis yang disenarai pendek sebagai finalis, dia tertarik dengan populariti dan aura yang dimiliki mereka.

“Pelantikan duta jenama ini merupakan misi ‘rebranding’ untuk mengukuhkan legasi Super sebagai salah satu jenama pengeluar kopi larut yang terkemuka di tanah air dan pada masa yang sama menguasai pasaran baru.

“Sebagai permulaan, duta-duta jenama ini akan membintangi kempen Super ‘Secret To A Smile’ yang akan disiarkan di semua platform media,” katanya.

Tak pernah dikongkong isteri - Izzue

Jika diperhatikan, sejak awal perkahwinan Izzue dan isterinya, Awin Nurin dikatakan 'tidak cocok' antara satu sama lain kerana perbezaan umur yang agak ketara.

Bukan itu sahaja, aktor kacak ini didakwa dikongkong Awin yang juga selaku pengurus peribadinya.

Sempat bertemu dengan pasangan bahagia ini, Izzue menjelaskan bahawa isu dikongkong isterinya sendiri tidak pernah timbul.

Bahkan, dia berkata kerjayanya lebih terurus dan berterima kasih kepada Awin yang mengatur jadualnya dengan baik.

Menjawab semua persepsi negatif terhadap perkara itu, Izzue mengakui hidupnya bahagia diuruskan isteri sendiri kerana sudah terbiasa dengan semua ini.

"Bagi saya, Awin tidak pernah mengongkong atau menghalang saya daripada melakukan sesuatu. Sebaliknya dia banyak membantu menguruskan kerjaya seni saya.

"Semua yang dikatakan adalah tidak benar. Sudah menjadi tugas Awin untuk sentiasa disisi bukan kerana dia isteri saya tetapi juga sebagai pengurus peribadi saya," katanya.

Luah pelakon Mat Tudung ini, dia berasa sedih dengan fitnah yang dilemparkan ke atas isterinya itu namun, menganggap perkara itu sebagai asam garam dunia hiburan.

"Biarpun Awin tidak pernah mengadu kepada saya tetapi saya sedih dengan apa yang berlaku.

"Namun apa yang berlaku kami terima dengan seadanya dan cuba untuk memberikan yang terbaik di masa hadapan," ujar anak kelahiran Cik Siti Wan Kembang ini.

Sokong produk tempatan

Di saat negara berhadapan dengan situasi boikot barangan Israel demi pembebasan rakyat Palestin daripada kesengsaraan zionis itu, Izzue turut sama menyokong tindakan itu.

Berbeza dengan pelakon Sebenarnya Saya Isteri Dia ini, dia kini lebih suka membeli barangan buatan Malaysia berbanding produk luar.

"Saya punyai cara tersendiri untuk menolong rakyat Palestin dan turut menyokong tindakan memboikot produk buatan negara yang menyalurkan wang untuk ketenteraan Israel.

"Atas dasar itu juga, saya menerima tawaran untuk bergelar duta produk tempatan, kopi Super," katanya yang juga duta produk kecantikan, AuraMen.

Pada masa sama, atas dasar keprihatinan dengan nasib Palestin, Izzue akan menyumbangkan hasil jualan kad rayanya yang dijual dengan harga RM2 sekeping ketika Ramadan lalu.

"Kad itu dijual sepanjang Ramadan lepas namun jumlah jualan masih belum diketahui lagi. Saya telah mencetak sebanyak 1,000 keping bagi jualan amal dan semua keuntungannya disalurkan kepada tabung Palestin," katanya.

Yana selesa tanpa MIG?

Lain pula dengan cerita pelakon cantik Yana Samsudin ini yang dilihat semakin ligat selepas kontraknya bersama Metrowealth Sdn Bhd (MIG) baharu sahaja tamat.

Selepas 11 tahun bernaung di bawah syarikat Mejar (K) David Teo, aktres tersebut dikatakan lebih senang mengurus sendiri kerjaya seninya.

Mulanya Yana meluahkan rasa gusar dengan keputusannya untuk tidak menyambung kontrak tersebut kerana tidak biasa berdikari tanpa pengurus.

"Alhamdulillah... saya bersyukur kerana syarikat amat memahami dan menghormati keputusan ini.

"Bahkan pihak pengurusan lama yang turut menyokong apa yang saya lakukan ini kerana ia yang mungkin terbaik untuk diri saya," ujar anak jati Johor ini.

Biarpun perjalanan seni Yana dilihat agak lambat naik ketika di bawah pengurusan lamanya itu, dia tetap bersyukur kerana peluang dan jasa David kepadanya sangat besar.

"Daripada bergelar pelakon picisan, saya dapat merasai pengalaman mengarah dan menyanyi.

"Malah, saya dapat berlakon dalam puluhan filem, drama dan telefilem sejak berada di bawah David," katanya.

Walaupun terdapat ura-ura mengatakan bahawa MIG 'menyekat' kerjayanya, Yana pantas menafikan perkara tersebut.

"Semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing. Mungkin ketika itu pihak syarikat sudah merancang yang terbaik untuk saya.

"Jika tidak, saya tidak akan sampai ke tahap hari ini sekiranya pihak pengurusan menghalang aktiviti seni saya," tegasnya.


Previous Post Next Post