Sisi matang Yunalis Zarai



KEUNIKAN personaliti dan bakat Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai sememangnya tidak perlu dipertikai lagi. Masakan tidak, dalam tempoh tiga tahun, pelantun lagu Terukir Di Bintang ini dapat membina tapak terbaik di laman seni suara Amerika Syarikat (AS).

Begitu pun, dalam kerancakan membina nama di peringkat antarabangsa, Yuna juga tidak terlepas dalam menghadapi pelbagai tuduhan serta gosip-gosip nakal. Menyifatkannya sebagai cabaran dan dugaan sepanjang menjadi anak seni, komposer berusia 28 tahun ini masih lagi 'teguh' dengan batasan kehidupan yang masih dipegangnya sehingga kini.

Jika dilihat pada awal kemunculannya, penyanyi ini lebih gemar mengenakan tudung jenis bawal dan selendang sebagai imejnya. Begitu pun, selari dengan perkembangan kariernya, imejnya turut melalui transformasi.

Pelantun lagu Rescue itu kini lebih selesa dan cantik apabila mengenakan turban. Namun begitu, baru-baru ini, ketika meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Yuna dilihat kembali kepada imej asalnya itu. Ketika ditanya mengenai perkara itu, kata Yuna itu bukanlah satu isu yang besar.

"Walau macam mana pun gaya saya berpakaian dan bertudung, ia tetap saya. "Lihat pada situasi. Contohnya, jika saya sekadar melepak bersama-sama kawan di kafe, sudah tentu saya akan memakai tudung gaya biasa-biasa saja.

"Apa yang penting, asalkan ia selesa dan sopan," katanya kepada Zass ketika ditemui di Nu Sentral selepas melancarkan cawangan Coffee Planet, kelmarin.


Simpati nasib Palestin

Tika ini, pastinya masyarakat akan rasa sedih, sayu dan hiba apabila melihat kesengsaraan rakyat Palestin akibat kekejaman rejim Zionis. Sehingga kini, penduduk Palestin yang tidak berdosa telah dibunuh dengan kejam yang kebanyakannya adalah kanak-kanak dan orang awam.

Ketika diminta berkongsi mengenai penderitaan dan kesengsaraan penduduk Palestin yang sekian lama dijajah Israel, terzahir rasa simpati di hatinya.

Begitu pun, kata Yuna, dia lebih selesa mengambil pendekatan berdiam diri sementelah lagi dia kini menetap di AS sejak tiga tahun lalu, demi mengembangkan kariernya ke peringkat antarabangsa.

Seperti yang diketahui, AS adalah sekutu kuat Israel dan tanpa berselindung menyalurkan berbilion ringgit sebagai bantuan ketenteraan kepada Israel.

"Peperangan di Gaza lebih kepada isu kemanusiaan. Malah, ramai tidak tahu, bukan semua masyarakat di AS menyokong Israel, lebih-lebih lagi apabila di sana juga mempunyai sekumpulan besar masyarakat beragama Islam.

"Memang saya tahu perkara itu, tapi saya tidak berkongsinya melalui laman sosial kerana ia adalah sesuatu yang sangat sensitif. Walaupun kerap melihatnya melalui Twitter, bagi saya ia adalah peribadi.

"Apa yang penting adalah kita kena sedar terhadap isu ini," katanya. Tambahnya lagi, pada masa sama, masyarakat Islam juga perlu menjaga ummah dan hubungan sesama manusia.
Ketika ditanya mengenai mengenai usaha memboikot produk keluaran Israel yang kini semakin giat dijalankan negara ini, Yuna memberitahu, tindakan itu bergantung kepada individu itu sendiri.

"Boikot itu hak individu masing-masing. Tapi, sebelum memboikot pastikan membuat kajian terlebih dahulu. Adakah betul produk yang hendak diboikot itu. Nanti dalam sibuk memboikot takut pula terjejas kedudukan ekonomi di negara kita," katanya sambil memberitahu ada banyak cara lagi untuk membantu Gaza.


Ikut budaya AS

Jangan tidak tahu, pelantun lagu Penakut ini juga adalah seorang penggemar kopi. Justeru, tidak hairanlah apabila dia di undang oleh Coffee Planet untuk melancarkan cawangan terbaru kafe terbabit di NU Sentral, kelmarin.

Mengulas mengenai Coffee Planet, Yuna memberitahu, kafe berkenaan adalah pilihan utamanya sebagai penggemar kopi. Menurutnya, kebanyakan kualiti coffee bean di Malaysia perlu dipertingkatkan lagi agar ianya setanding dengan negara luar.

"Meminum kopi bagaikan sudah menjadi satu budaya di AS. Kebanyakan coffee bean di sana bersifat indipendent kerana mereka mencipta kopi itu sendiri. "Tapi, sebenarnya saya kagum kerana di Malaysia sudah banyak terdapat coffee bean dan Coffee Planet adalah salah satu yang terbaik," katanya.

Jelas pelantun lagu Dan Sebenarnya, dia sendiri adalah penggemar coffee latte dan capucinno di kafe tersebut. "Saya adalah 'coffee freak' sejak dari remaja lagi dan setiap pagi saya akan mengambil kopi sebagai permulaan hari.

"Bukan saya saja, keluarga saya turut pencinta kopi. Kopi seolah-olah menjadi rutin kami sekeluarga," katanya yang turut mempunyai lagu berkonsepkan minuman tersebut, Coffee.


Serik putus cinta?

Setelah hubungan cintanya bersama pelakon, Qi Razali kecundang di tengah jalan, Yuna kini lebih selesa untuk tidak membincangkan soal hubungannya dengan mana-mana lelaki. Namun, lumrah kehidupan selebriti, setiap langkah dan pergerakannya sering menjadi perhatian masyarakat dan peminat.

Dalam kesibukannya menguruskan kerjaya seni di Los Angeles, AS, Yuna dikatakan sedang hangat bercinta dengan juru foto berbangsa Inggeris, Julian Schratter. Hubungan mesra itu mula dihidu setelah Yuna memuat naik beberapa gambar mesranya bersama Schratter di laman sosial, Instagram.

Tidak cukup dengan itu, Yuna turut menampilkan Schratter sebagai watak utama dalam video muzik, I Wanna Go. Begitu pun, Yuna mengambil pengajaran di atas kegagalan cinta lalu dan mengakui serik untuk berbicara soal cinta secara terbuka.

Malah, dia kini dilihat lebih selesa berbicara soal kariernya berbanding sisi peribadinya. Saya banyak belajar daripada pengalaman lalu. Cukuplah apa yang berlaku sebelum ini dan saya telah menerima pengajaran dalam hubungan lalu," katanya.


Previous Post Next Post