Waris rancang buat rumah terbuka



SIAPA sangka pendatang baharu dalam industri seni muzik rap yang menggunakan nama pentas sebagai Waris meraih populariti dalam sekelip mata.

Pemilik nama sebenar, Muzzammil Alias ini mula mencuri perhatian industri dengan mempertaruhkan single berjudul Rembau Most Wanted.

Selama dua tahun memperkenalkan bakat nyanyian muzik rap dalam dialek negeri kelahirannya, Negeri Sembilan, Waris mengakui dia berpuas hati dengan pencapaian tiga single nyanyiannya yang menjadi halwa telinga pendengar kini.

"Alhamdulillah. Tahun ini merupakan tahun kedua penglibatan saya dalam industri seni muzik. Bermula dengan lagu Rembau Most Wanted, diikuti dengan Botingkek-tingkek dan lagu baharu saya bersama Datuk Hattan berjudul Gadis Jolobu semuanya diterima baik," ujar Waris.

Tambah Waris, selepas melihat pencapaian ketiga-ketiga lagu tersebut, dia tidak berhajat untuk memiliki single terbaharu dalam waktu terdekat memandangkan lagu tersebut masih diputarkan di radio.

"Buat masa sekarang saya hanya memberi tumpuan kepada pelajaran yang berbaki setahun saja lagi. Lagipun sepanjang Ramadan, saya kurang mengambil tawaran nyanyian. Jika ada pun, sekadar membuat persembahan pada majlis berbuka puasa," ujar Waris yang tampil dengan lagu raya berjudul Salam Lebaran, nyanyian bersama Mark Adam dan Iza Bahra.

Penyanyi berumur 25 tahun itu memberitahu, dia pulang ke kampung halamannya beberapa hari sebelum menjelangnya Aidilfitri.

Kata Waris, tahun lalu dia tidak berkesempatan untuk melakukan persiapan raya bersama saudara-mara di kampung kerana memenuhi jemputan program Raya Dam Dam Dum Pak Nil yang bersiaran secara langsung di Astro Ria.

"Tahun ini saya balik awal, takut saudara-mara marah, (nanti mereka) cakap balik kampung sekadar nak makan," seloroh Waris.

Tambah Waris, dia merancang untuk menganjurkan rumah terbuka pada tahun ini tetapi perlu ibu saudaranya lapang.

"Kami sekeluarga mengamalkan gaya hidup yang sederhana. Jadi, persiapan raya kami tidaklah menggunakan modal yang besar. Saya bersyukur dengan rezeki yang ada dapatlah saya menampung keperluan hidup keluarga dan membeli barangan sempena hari raya ini.

"Saya kena tengok dahulu jadual Mak Teh. Masakan mak saudara saya ni memang boleh termimpi kelazatannya," ujar Waris.


Previous Post Next Post