Introduksi lebaran Nomad, Yuka, Encik Mimpi



DIGANDINGKAN buat pertama kali dalam sebuah sesi fotografi, tiga anak muda yang menjadi pelapis baharu dunia muzik tanah air itu kelihatan cukup teruja.

Pertemuan tiga penyanyi muda, Nomad, Yuka Kharisma dan Encik Mimpi benar-benar memecah kesunyian ruang bilik hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada pagi itu.

Dalam kesibukan bersiap-siap sebelum sesi fotografi berjalan, mereka saling mengusik. Canda dan tawa mereka seolah-olah menggambarkan keserasian yang sudah terjalin cukup lama.

Sungguhpun ketiga-tiga mereka sebenarnya baru beberapa kali bertemu antara satu sama lain, tempoh itu sebenarnya bukanlah menjadi ukuran kepada tahap kemesraan yang terjalin antara mereka.

Berdiri atas kecintaan yang sama, nyanyian dan muzik menjadi dua elemen sebati dalam diri tiga anak muda itu sejak beberapa tahun.

Dalam mengejar cita-cita, mereka merasai pelbagai pengalaman yang ada. Suka atau duka, mereka tetap teguh membawa diri mengemudi masuk ke lembah seni.

Tahun ini menjadi penggal karier yang cukup bermakna. Masakan tidak, baik Nomad, Yuka mahupun Encik Mimpi, tahun ini menjadi momen istimewa buat diri mereka apabila pertama kali menyambut Aidilfitri sebagai selebriti.

Nomad sertai marhaban

Bagi Nomad, sudah menjadi tradisi setiap tahun dia pulang ke kampung halaman neneknya di Muar, Johor bagi menyambut Aidilfitri.

Walaupun dilahirkan di Kemaman, Terengganu dia mengakui ada budaya unik yang dilakukan di negeri Johor setiap kali tibanya hari lebaran.

"Selepas sembahyang raya, kami pergi marhaban keliling kampung. Biasanya mencecah sehingga 60 buah rumah dan saya akan ikut serta bermarhaban kesemuanya sampai habis. Itulah suasana yang meriah kalau saya pulang ke kampung sebelah ayah," ujar penyanyi berumur 26 tahun itu.

Pelantun lagu Tetap Menantimu itu memberitahu di negeri kelahirannya juga mempunyai keistimewaan tersendiri daripada segi juadah raya.

"Tak perlu tunggu orang kahwin, waktu raya pun kita boleh makan nasi minyak," kongsinya yang turut beraya di Terengganu pada tahun ini.

Mengimbau kenangan zaman kanak-kanak, katanya, insiden tangannya melecur akibat bermain mercun sewaktu berumur 13 tahun masih segar dalam ingatannya.

Berbeza pula ceritanya dengan penyanyi kelahiran Indonesia yang mencipta nama di Malaysia, Yuka Kharisma yang menyambut lebaran di sini pada tahun ini.

Yuka rindu naik beca

"Saya berasa sangat seronok apabila raya kali ini, ibu saya beraya bersama-sama saya di Kuala Lumpur. Malah, sewaktu di bulan Ramadan lagi memang keluarga saya sudah bertandang ke sini untuk menyambut puasa bersama-sama saya," ujar pelantun lagu Dengan Tiada Luka itu.

Bagi Yuka, di mana pun sambutan Aidilfitri itu diraikan, apa yang lebih penting ialah pengertian lebaran buat individu itu sendiri.

"Pada saya sendiri, raya itu berbalik kepada fitrah kita semula. Bukan itu sahaja, raya juga menjadi simbol penyucian semula diri selepas kita berpuasa selama sebulan," kongsinya yang sebelum ini beraya di Jakarta, Indonesia.

Menginjak usia 26 tahun, Yuka memberitahu suasana sambutan setiap kali Aidilfitri juga sudah tidak sama lagi selepas pemergian neneknya.

"Kalau dulu sewaktu nenek masih ada, satu keluarga besar akan berkumpul di sana. Suasana akan jadi lebih meriah. Saya dan sepupu-sepupu yang lain dapat berhimpun sama," kongsinya yang amat suka mendengar takbir raya.

Cerita Yuka juga, sewaktu kecil menjadi kelaziman buatnya bersama saudara-mara yang lain akan pergi ke bandar dengan menaiki beca.

"Seronok sangat dapat mengumpul duit raya, kemudian pergi berjalan-jalan di bandar menaiki beca bersama sepupu," imbasnya.

Lain pula kisahnya dengan penyanyi yang tampil dengan imej bertopeng, Encik Mimpi. Katanya, sungguhpun dirinya sudah mula dikenali sejak lebaran lalu menerusi YouTube, tahun ini merupakan tahun pertama dia beraya sebagai penyanyi arus perdana.

Bagaimanapun, tidak ada beza buatnya beraya sebagai artis atau pun tidak kerana sewaktu perayaan, dia tampil dengan imej normal tanpa perlu memakai topeng.

Ibu Encik Mimpi bocor rahsia

"Apabila tak pakai topeng, tak adalah orang tahu saya ini Encik Mimpi ke bukan. Kalau yang tahu pun mungkin saudara-mara dekat dan teman rapat sahaja. Jadi, sebab itu apabila raya, saya rasa sama sahaja seperti dulu," tuturnya yang menyambut Aidilfitri di rumah keluarganya di Kuala Lumpur.

Pelantun lagu Rindukanlah berkata, identitinya yang bertopeng kadang-kadang terbocor juga sewaktu hari raya apabila ibunya bercerita mengenainya kepada saudara-mara yang lain.

"Saya dah ingatkan ibu supaya jangan sesekali beritahu saudara yang lain mengenai saya, tapi kadang-kadang ibu saya terlepas cakap juga. Jadi, apabila mereka tanya, saya terpaksalah mengaku," katanya yang memiliki kampung sebelah ayahnya di Ipoh, Perak.

Penyanyi berumur 26 tahun itu memberitahu, setiap kali raya juga dia sekeluarga juga bergotong-royong memasak juadah.

"Ayah saya akan uruskan apa yang kami adik-beradik perlu lakukan. Ayah yang jadi tukang masak rendang daging dendeng yang menjadi menu istimewa di rumah kami, manakala ibu pula pakar bab memasak rendang ayam," ujar anak kelima daripada sembilan beradik itu.


Previous Post Next Post