Plan B satukan empat sahabat



EMPAT pelakon harapan masa depan (dari kiri), Zoey Rahman, Shukri Yahaya, Nur Risteena Munim dan Talha Harith merupakan tonggak drama bersiri tentang lumba kereta haram, Plan B.

SELAMA ini, penonton sudah acapkali disajikan dengan cerita yang berkisar tentang cinta tetapi kali ini ada sedikit kelainan dalam drama bersiri terbaharu berjudul Plan B.

Menariknya, ia menggabungkan Shukri Yahaya, Talha Harith, Zoey Rahman dan Nur Risteena Munim, empat pelakon muda dalam sebuah naskhah yang menceritakan kisah mengenai lumba kereta haram.






Plan B mengisahkan tentang Khai, Mika dan Que yang berasal daripada keluarga elit tetapi berasa kehidupan masing-masing terabai. Untuk mencari keseronokan mereka terlibat dalam perlumbaan kereta haram serta kegiatan jenayah.

Ketiga-tiganya kemudian dicabar oleh Jim dalam satu pertaruhan lumba kereta tetapi pada masa yang sama tiba-tiba muncul seorang gadis cantik bernama Iris yang turut mencabar mereka berlumba.

Dalam satu sesi fotografi khas yang diaturkan bersama pihak media di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, keempat-empat pelakon berkenaan menceritakan pengalaman masing-masing sepanjang penggambaran drama bersiri berkenaan.

Idam watak aksi

Diberi peranan memainkan watak Iris, Risteena yang ditemui memberitahu, selama ini dia memang menyimpan hasrat agar diberi watak aksi setelah lebih dikenali dalam naskhah cinta sebelum ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai wataknya itu, pelakon itu berkata, Iris merupakan seorang gadis misteri yang suka menghasut rakan-rakannya tetapi mempunyai perasaan cinta terhadap Khai.

"Sebaik sahaja mendapat skrip saya terus baca dan tertarik dengan jalan ceritanya. Selain itu, ia merupakan watak yang sangat-sangat saya idam dan sudah lama saya ingin berlakon dalam drama bercorak aksi.

"Selain itu, saya mendapat banyak pengalaman menarik sepanjang penggambaran dilakukan. Misalnya, ada beberapa babak aksi yang perlu saya lakukan sendiri dan berasa lega kerana tidak berhadapan dengan sebarang masalah," ujarnya.

Dalam pada itu, Risteena menyatakan, untuk menjayakan watak tersebut, dia perlu mengubah penampilannya apabila perlu berambut pendek seperti yang diminta oleh pengarah.

Bagaimanapun, hasil daripada perbincangan yang dilakukan bersama pengarah, akhirnya dia diberi kebenaran untuk tidak memotong rambutnya itu dan hanya perlu menggunakan rambut palsu.

"Saya akui agak takut hendak potong rambut kerana bimbang sukar untuk dapat tawaran lakonan lain. Apabila saya membincangkan perkara ini, saya lega pengarah memahaminya dan permintaan saya memakai rambut palsu dibenarkan," luahnya.

Ketika ditanya watak lain yang ingin dibawakannya setelah impiannya membawakan watak aksi terlaksana, pelakon itu berkata, dia mahu membawa watak yang lebih mencabar lagi iaitu seorang pelacur.

"Sebenarnya saya bakal membawakan watak pelacur dalam sebuah filem yang akan menjalani penggambaran pada tahun hadapan. Sudah tentu saya berasa teruja dan penggambaran pula akan dijalankan di Chicago, Amerika Syarikat," ujarnya.




Dihalang berlakon

Seorang lagi pelakon utama Plan B, Shukri Yahaya yang memegang watak sebagai Khai pula berkata, antara pengalaman menarik yang dilaluinya sepanjang terbabit dalam drama bersiri ini apabila berpeluang melakukan sendiri aksi drift.

Menurut Shukri, sebelum berkesempatan melakukan aski tersebut, dia telah diberi tunjuk ajar oleh pihak yang sememangnya pakar agar babak yang lakukannya itu menjadi lebih sempurna.

"Sebelum penggambaran, saya terlebih dahulu perlu menjalani latihan untuk aksi drift ini. Lagipun saya tiada pengalaman melakukan aksi sebegini dan latihan tersebut memang banyak membantu.

"Selain itu, saya turut tertarik dengan karakter Khai yang merupakan seorang lelaki yang mempunyai masalah dengan ibu bapanya serta bersikap ego dan sering membuat keputusan tanpa berfikir panjang," jelasnya.

Apabila berbicara perihal yang membabitkan keluarga pula, Shukri mendedahkan, pada peringkat awal berkecimpung dalam bidang lakonan dahulu, dia pernah dihalang oleh ibu bapanya.

Ujarnya, biarpun mendapat halangan untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang pelakon, ia langsung tidak membuatkan dirinya cepat putus asa dan menjadikannya lebih giat berusaha bersungguh-sungguh.

"Saya akui keluarga kurang yakin saya mampu berjaya dalam bidang ini memandangkan tawaran berlakon agak kurang pada peringkat awal. Bagaimanapun, kini saya sudah membuktikan kepada mereka dengan tawaran yang tidak putus-putus," luahnya.

Berkenaan dengan kemunculan ramai pelakon baharu sekarang ini, Shukri berpendapat tiada apa yang perlu dirisaukan olehnya dan ia terpulang kepada usaha dan rezeki masing-masing.

Tidak malu

Memegang watak sebagai Mika, Talha menjelaskan, dia memainkan peranan sebagai seorang individu yang berhadapan dengan masalah akibat pergolakan antara ibu dan bapa- nya.

Ujarnya, akibat masalah yang dihadapinya itu telah menjadi punca utama dia sering menghabiskan masa di kelab malam serta terlibat dengan kegiatan haram seperti penya- lahgunaan dadah.

"Sebenarnya Mika mahu melakukan sesuatu yang lebih bermakna dalam kehidupannya tetapi masalah antara ibu dan bapanya yang sering bergaduh menyebabkan dirinya menjadi lebih tertekan.

"Apa yang berlaku terhadap Mika ini merupakan suatu perkara yang sememangnya berlaku dalam kehidupan sekarang. Selain kisah mengenai lumba haram, drama ini turut memaparkan permasalahan yang berlaku pada setiap watak dan menjadikan jalan ceritanya lebih menarik," ujarnya.

Bercerita tentang karier lakonannya pula, Talha memberitahu, antara cara yang sering dilakukan untuk meningkatkan lagi mutu lako- nannya adalah dengan cara menonton lakonan sendiri.

"Ada sebilangan pelakon yang berasa agak malu menonton lakonan sendiri di kaca tele- visyen. Namun begitu, saya anggap ia merupa- kan langkah yang paling mudah untuk mengesan sebarang kelemahan yang ada," tegas- nya.

Produk kecantikan

Berbanding dengan Shukri dan Talha, watak yang dibawakan oleh Zoey Rahman sebagai Que pula agak berbeza kerana dalam drama bersiri Plan B ini dia tidak terbabit dalam se- barang babak aksi.

Menurut Zoey, watak Que digambarkan sebagai seorang lelaki yang pendiam dan lurus bendul serta selalu memberi nasihat kepada rakan baiknya, Khai agar tidak melakukan perbuatan negatif.

"Secara jujurnya saya berasa cukup seronok kerana dapat berlakon bersama-sama dengan Risteena, Shukri dan Talha. Bagi saya, mereka bertiga merupakan pelakon yang bagus.

"Sepanjang berada di lokasi penggambaran juga hubungan kami agak akrab. Saya gembira kerana dapat berlakon bersama rakan-rakan yang saling memberikan kerjasama serta sebuah naskhah yang menarik," luahnya yang sebelum ini terkenal dengan program kanak- kanak.

Berbalik kepada perkembangan mengenai dirinya pula, Zoey juga sedang sibuk dengan mempromosikan produk kecantikan terbaharunya yang menggunakan jenama Mika Series.

"Selama ini ramai yang sering bertanya tentang cara saya menjaga wajah, akhirnya saya membuat keputusan untuk mengeluarkan produk kecantikan sendiri. Kini saya telah melancarkan dua jenis produk iaitu Mika Whitening dan Mika Bright," jelasnya.

Ujarnya, buat masa sekarang dia akan mengeluarkan dua jenis produk sahaja terlebih dahulu dan perniagaan yang dijalankan juga dilakukan secara dalam talian iaitu mengguna- kan laman Instagram.
Previous Post Next Post