Ezzaty Abdullah bakal berkahwin


DUA bintang muda ini berharap kehadiran mereka dalam industri hiburan tidak bersifat sementara.

PENDEDAHAN ini benar-benar mengejutkan! Bermula sekadar usikan antara teman-teman rapat, Ezzaty Abdullah membuka mulut bercerita mengenai cinta kilat bersama seorang jejaka yang bakal menjadi suaminya tidak lama lagi.

Jelas Ezzaty, 22, kepada Kosmo!, selepas mengenali jejaka yang hanya mahu diperkenalkan dengan nama Mr. S, 25 tahun, dia tidak teragak-agak untuk menerima lamaran lelaki tersebut yang mahu memperisterikannya.

Selepas tiga hari berkenalan, dia dilamar jejaka itu untuk berkahwin sebelum sebulan kemudian, keluarga teman lelakinya menghantar rombongan merisik.






"Dia stalker (pengintip) saya, entah bagaimana caranya dia mendapatkan nombor telefon peribadi saya pun saya tidak tahu.

"Biasanya saya jarang mengambil pusing apatah lagi bersembang dengan individu yang saya tidak kenali tapi entah mengapa saya rasakan dia berbeza hingga membuatkan saya berbual panjang pada hari pertama kami kenal.

"Dari pukul 11 malam hingga 5 pagi kami berbual menerusi panggilan telefon. Hari seterusnya dia mengejutkan saya dengan tiba-tiba muncul di tempat saya berlatih memanah dan pada hari ketiga kami berkenalan, dia melamar saya untuk berkahwin.

"Cerita ini ibarat sebuah kisah dongeng tapi percayalah saya sendiri pun tidak menyangka dan terkejut apabila dia tiba-tiba melamar saya," ujar Ezzaty yang ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bertandang jadi merisik

Selepas sebulan perkenalan, Mr. S telah menghantar rombongan ke rumah keluarga Ezzaty di Bentong, Pahang atas tujuan berkenalan.

Dia tidak menduga, kunjungan pertama kali itu bertukar menjadi rombongan merisik.

"Dia memang banyak kejutan dan majlis merisik itu pun bukan dalam perancangan kami. Tapi jujur saya katakan kedua-dua belah keluarga masih belum menetapkan sebarang tarikh untuk majlis pernikahan atau persandingan.

"Saya pun masih muda dan baru bertapak dalam dunia lakonan. Saya masih sayangkan kerjaya saya dan mahu memberikan fokus sebaik mungkin sebelum memikirkan soal berkahwin.

"Alhamdulillah dia memahami dan menerima kerjaya saya walau pada awalnya keluarga dia sedikit terkejut apabila mengetahui latar belakang kerjaya saya. Bukan apa, risau hubungan kami retak gara-gara menjadi perhatian ramai," tambahnya tanpa selindung.

Majlis merisik telah dilangsungkan pada 26 Februari lalu selepas sebulan perkenalan. Ezzaty tidak menolak dia melihat keikhlasan dan keberanian Mr. S untuk tampil sendiri bertemu keluarganya untuk melamar pelakon drama rantaian popular Autumn Di Hatiku itu.

Risau persepsi


SEBAGAI bakat baharu, Ezzaty dan Fadlan sedar banyak perkara perlu mereka perbaiki untuk menjadi pelakon pelapis yang kekal lama.

Ezzaty tidak menolak dia bergelut melawan perasaan sangsi, was-was, terkejut dan bimbang penilaian masyarakat terhadap keputusan drastiknya untuk menerima lamaran jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu.

"Semua terkejut termasuk keluarga saya sendiri apabila tiba-tiba saya membuat keputusan untuk berkahwin sedangkan saya tidak mempunyai teman lelaki selama ini.

"Tapi saya mengambil pendekatan baharu untuk tidak kecundang lagi dalam bercinta. Pernah sebelum ini saya bercinta bertahun-tahun lamanya tapi akhirnya putus juga.

"Saya percaya dia jodoh saya dan kalau saya sudah sayang, saya akan betul-betul sayang," katanya yang kini mula belajar memasak makanan Barat mengikut selera bakal suaminya.

Ditanya mengenai kualiti yang ada pada Mr. S, jawab Ezzaty teman lelakinya seorang yang mengambil berat, pelindung, bijak mengambil hati dan menyayangi keluarga.




Tiga watak Delina

Meninggalkan kisah peribadinya, Ezzaty rancak bercerita tentang pembabitannya dalam drama bersiri Delina yang bakal ditayangkan pukul 8.30 malam di TV9 bermula 18 September ini. Kata Ezzaty, sebaik tamat penggambaran drama tersebut, dia mahu berehat seketika daripada berlakon memandangkan peranan yang digalasnya amat mencabar.

Secara ringkas Delina memaparkan Ezzaty memainkan watak Delina yang disumpah menjadi kecil dan perlu menyempurnakan lima tugas bagi kembali kepada saiz asal.

"Saya perlu melakonkan tiga watak dalam drama Delina. Watak pertama merupakan watak Delina yang jahat dalam saiz normal manusia. Kedua watak Delina yang baik dalam saiz fizikal kecil dan ketiga watak seorang ahli sihir perempuan yang jahat.

"Cabaran utamanya apabila saya perlu membayangkan diri saya bersaiz kecil dan dunia sekeliling saya semuanya besar. Bercakap, bahasa badan dan pergerakan saya berbeza secara total.

"Lebih mencabar apabila saya perlu bercakap seorang diri dan membayangkan sedang berinteraksi dengan karakter lain yang saiznya sepuluh kali ganda daripada saya," katanya yang mendapat bantuan untuk berfantasi dengan baik daripada produksi dan pengarah drama itu, Kabir Bhatia.

Berbeza daripada drama bersiri Honey, I Shrunk The Kids yang menggunakan formula hampir sama dengan Delina, tegas Ezzaty drama lakonannya bersama Fadlan Hazim itu banyak mencerminkan budaya masyarakat Malaysia yang serba unik.
Previous Post Next Post