Jay Chou
BINTANG ternama Taiwan ini bakal kembali ke Malaysia pada 14 dan 15 November depan bagi menjayakan konsert jelajah Opus2 Jay 2014 World Tour.
SEJAK berkecimpung dalam industri muzik di Taiwan kira-kira 14 tahun lalu, nama Jay Chou cukup dikenali oleh peminat muzik pop di negara-negara Asia.
Walaupun mengetengah karya-karya berbahasa Mandarin, namun, penyanyi dan pelakon yang berusia 35 tahun ini masih mempunyai kelompok peminat yang tersendiri.
Justeru, tidak hairanlah jika Jay kerap singgah ke Malaysia bagi mengadakan promosi album dan mengadakan konsert jelajah.
Nikmati Tawaran Sensasi Toyota !
Berpeluang bertemu dengannya pada majlis pelancaran Kaspersky Lab KIS & KAV 2015 di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini, Jay memberitahu, dia sangat menyukai Malaysia dan selesa jika tinggal di sini dalam tempoh yang lama.
Katanya, banyak pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika terlibat dengan penggambaran sebuah filem di Kuala Lumpur kira-kira dua tahun yang lalu.
“Ketika melakukan penggambaran The Viral Factor di Kuala Lumpur, saya langsung tidak berasa kekok untuk tinggal di sini. Malah, saya mahu bekerja di Kuala Lumpur lebih lama.
“Walaupun sibuk dengan penggambaran, saya masih sempat melawat tempat-tempat menarik di Malaysia,” katanya yang cukup gemar menikmati makanan laut lala ketika berada di sini.
Bagaimanapun, tutur Jay, dia lebih gemar untuk tinggal di sini dalam tempoh masa yang singkat kerana tidak mahu mencampur adukkan hal kerjaya dan peribadi.
“Apabila tiba ke Malaysia, mood bercuti mesti datang. Jadi, saya sering tidak fokus untuk melakukan kerja. Jika mahu tinggal lebih lama di sini, saya lebih suka datang sebagai pelancong,” katanya sambil tertawa.
Album baharu
Menyentuh mengenai hubungan terkininya bersama model Hannah Quinlivan, Jay memberitahu, dia tidak terfikir untuk melangsungkan perkahwinan dalam masa yang terdekat ini.
Katanya, dia kini sedang sibuk merakamkan album terbaharunya dan tidak mempunyai perancangan ke arah itu.
“Saya masih belum mencecah usia 36 tahun. Ada banyak masa lagi untuk saya fikirkan tentang perkahwinan bersama Hannah.
“Buat masa ini, saya sedang sibuk di studio merakamkan album studio ke-13 saya,” katanya yang enggan memberi komen tentang status terkininya bersama Hannah.
Duta Kaspersky
Tidak dinafikan, populariti yang dikecapi Jay turut menyumbang kepada puluhan tawaran untuk bergelar duta kepada beberapa jenama terkemuka. Antaranya, adalah Panasonic, Motorola dan Asus.
Pada April 2012, Jay telah diumumkan sebagai duta jenama antivirus terkemuka, Kaspersky. Sebagai duta baharu menggantikan pelakon Jackie Chan, Jay berasa sungguh gembira kerana diberi peranan sebagai jurucakap produk berkenaan.
“Sejak dahulu lagi saya menggunakan produk ini untuk melindungi komputer di syarikat saya daripada serangan virus.
“Jadi, saya boleh menulis dan menerbitkan lagu tanpa sebarang masalah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jay bakal kembali ke Malaysia pada 14 dan 15 November depan bagi menjayakan konsert jelajah Opus2 Jay 2014 World Tour di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.