Fizo Omar: Saya tidak menumpang kemewahan Mawar



FIZO sering didakwa mahu mengikis harta dan kekayaan isterinya, anak pemilik tudung Fareeda, Mawar. Ironi, kata Fizo, dia telah mempunyai kewangan yang kukuh sebelum mereka berkahwin.

SETELAH melangsungkan pernikahan pada 10 November tahun lalu, pelbagai desas-desus cuba menggugat mahligai yang dibina oleh pelakon Wan Hafizol Wan Omar, 29, atau lebih dikenali dengan nama Fizo Omar dan isterinya Mawar Abdul Karim.

Paling menyakitkan, pelakon yang pernah membintangi filem Kongsi itu didakwa berkahwin sekadar untuk menumpang kemewahan isterinya Mawar yang merupakan usahawan terkenal rangkaian tudung Fareeda.

Dakwaan tersebut bagaimanapun ditepis tenang oleh anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu. Bagi Fizo, tidak terlintas langsung di hatinya untuk mengambil kesempatan atas kemewahan isterinya itu.






Tambah Fizo, dia sendiri sudah pun mempunyai kewangan yang kukuh sebelum mengahwini Mawar sekitar dua tahun lalu.

Di sebalik kesibukannya dalam bidang lakonan, Fizo merupakan seorang usahawan muda berjaya yang kini mempunyai 300 rangkaian warung burger.

Bertemu tuan empunya badan pada Majlis Rumah Terbuka dan pelancaran produk rangkaian tudung terbaharu keluaran Fareeda di kediamannya di Country Height Kajang Selangor. Kosmo! cuba mendapatkan penjelasan lebih lanjut berhubung isu tersebut.

Kosmo!: Benarkah dakwaan yang mendakwa Fizo menumpang kemewahan isteri anda yang sememangnya dikenali sebagai usahawan yang berjaya?

FIZO OMAR: Saya berkahwin dengan dia (Mawar) bukan atas dasar tersebut (kemewahan). Malah, sebelum ini kedudukan kewangan saya sudah stabil. Saya ada rangkaian perniagaan burger saya iaitu Hot Burger. Saya bukannya datang dari kampung dan tidak mempunyai sebarang aset tetapi sebelum ini saya telah merancang masa depan saya bukan sahaja dalam bidang lakonan.

Apa komen anda terhadap segelintir pihak yang gemar berfikiran negatif dan memandang rendah terhadap anda?

Biarlah, itu hak mereka untuk berkata apapun tentang kami. Apa yang penting, saya tahu siapa saya dan Alhamdulillah berkat rezeki perkahwinan kami, saya kini bercadang untuk menambah sebanyak 150 rangkaian Hot Burger di seluruh negara termasuk Melaka dan Johor.

Anda dilihat sering bersama isteri dalam usaha untuk mempromosikan rangkaian tudung Fareeda. Apakah peranan anda dalam syarikat tersebut?

Saya hanyalah membantu jika diperlukan terutamanya dalam usaha untuk mempromosikan produk keluaran Fareeda. Tambahan pula, Mawar kini sibuk mempromosikan produk tersebut di seluruh Malaysia. Jadi, sebagai suami saya perlu sentiasa ada di sisi dia.

Apakah perancangan masa depan anda dalam bidang seni lakonan?

Berlakon merupakan minat saya sejak daripada kecil dan saya akan terus berlakon selagi peminat menghargai dan ingin melihat saya di kaca televisyen. Alhamdulillah, isteri juga tidak pernah menghalang kegiatan seni saya seperti berlakon dan meneruskan apa yang telah saya lakukan sebelum ini.




Adakah anda berniat untuk berhenti daripada bidang lakonan setelah sibuk dengan bidang perniagaan?

Tidak, saya tidak pernah terniat langsung untuk berhenti daripada bidang lakonan. Malah saya akan terus berlakon selagi masih lagi mendapat permintaan daripada pengarah yang ingin menggunakan khidmat saya. Saya tidak mengatakan bidang lakonan kurang menjamin masa hadapan tetapi ia perlu seiring dengan bidang perniagaan.

Jadi, apa perkembangan terbaharu anda dalam karier seni ketika ini?

Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah filem bersama Adi Putra dan Liyana Jasmay berjudul Isyarat Cinta terbitan Suhan Movies. Filem itu dijangka menemui penonton menjelang hujung tahun nanti. Sebuah lagi filem lakonan saya ialah Romeo Kita arahan Aaron Aziz juga akan ditayangkan menjelang awal tahun hadapan.
Previous Post Next Post