HUBUNGAN Mariah Carey (kiri) dan Nick Cannon kini dalam keadaan sukar.
SELEPAS Nick Cannon mendedahkan bahawa dia dan isterinya, Mariah Carey sudah tidak tidur sebilik, kini Mariah pula dikatakan sudah bersedia untuk segera bercerai.
Satu sumber telah memberitahu E! News bahawa penyanyi terkenal itu sudah menyediakan pelbagai dokumen yang diperlukan untuk proses penceraian mereka.
Pada saat Mariah sudah bersedia untuk bercerai, lain pula halnya dengan Nick. Nick dikatakan masih mahu mempertahankan rumah tangga mereka yang sedang bergolak dengan membawa Mariah bertemu kaunselor sebagai usaha menyelamatkan hubungan mereka.
"Nick menuntut peluang kedua daripada Mariah. Namun, Mariah seperti sudah tekad untuk bercerai," ujar sumber tersebut.
Terdahulu, Nick dalam kenyataannya memberitahu, dia dan Mariah sudah tidak tidur sebilik sejak Mei tahun ini.
Hubungan yang terbina sejak tahun 2008 itu dikatakan hilang harmoni disebabkan aktiviti karier Mariah sebagai penyanyi yang terlalu sibuk.