DALAM tujuh beradik, hanya beliau seorang sahaja yang terjebak ke dalam dunia seni.
Semuanya gara-gara anak jiran di belakang rumah lama keluarganya yang kerap memutarkan lagu-lagu daripada kumpulan Bee Gees yang sudah menjadi kegemarannya seawal usia 10 tahun dan seorang apek di hadapan rumahnya yang begitu meminati kumpulan Wild Cherries.
Pengaruh tersebut secara tidak langsung membakar jiwa mudanya untuk terus memilih bidang seni sebagai tanah buatnya menerokai 'lumpur' dan 'pelangi' industri ini.
Meledak dengan hit malar segar, Memburu Rindu pada tahun 1990, Datuk Hattan punya cerita tersendiri tentang jatuh bangun kerjayanya dari zaman sebagai penjaga vokal sehingga kini diberi kepercayaan sebagai Pengetua Akademi Fantasia 2014 (AF 2014).
Betul, ia memang bukan satu-satunya pencapaian tertinggi karier beliau berbanding menyandang gelaran Datuk beberapa tahun lalu, namun menerusi program realiti tersebut, Hattan, 50, punya misi untuk menjaga dan menghidupkan semula lagu-lagu malar segar sedia ada.
Hattan yang mengaku memberi sendiri nama komersial tersebut buat dirinya yang sebelum ini dipanggil Atan di kampung, membetulkan posisi duduknya. Rancak beliau berbicara tentang roller coaster kariernya. Sesekali ada tawa berderai dan pada beberapa ketika, bicara disulam menung yang panjang. Terutama pada fasa awal pembabitan beliau lebih 20 tahun lalu.
"Saya memang gila nak jadi penyanyi sejak dari zaman sekolah. Tapi ibu dan bapa paksa saya belajar.
"Untuk tidak hampakan mereka, saya sambung tingkatan enam. Tapi separuh jalan, saya berhenti dan ambil keputusan untuk bekerja. Ini kerana keluarga saya susah, jadi saya kena cari jalan untuk bantu mereka atau sekurang-kurangnya tidak menambahkan bebanan yang ada," kata pemilik nama sebenar Mohd. Shukri Shahabudin itu membuka bicara.
Beliau kemudian mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai juruaudit di syarikat Razak & Co. Juga, pekerjaan itu dilakukan separuh jalan kerana keinginan menjadi penyanyi yang menggila.
"Saya ingat lagi, tahun 1985, saya jumpa Datuk M. Nasir. Saya beritahu hasrat mahu jadi penyanyi tapi beliau kata saya tidak kacak, jadi tak boleh jadi penyanyi.
"Saya pendam apa yang beliau cakap dan sejak itu saya ikut sahaja ke mana beliau pergi sehingga saya akhirnya banyak membantu beliau menjaga vokal untuk artis-artis yang sedang beliau usahakan pada masa itu.
"Sehingga beberapa tahun selepas itu, rezeki berpihak kepada saya dan Memburu Rindu menjadi lagu tuah buat saya dikenali. Padahal sebelum itu, saya pernah muncul bersama band FRU dan sebuah album solo yang tidak pernah direkodkan," katanya yang pernah kecewa dan pulang ke kampung di Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk menjual burger selepas ditolak M. Nasir untuk menjadi penyanyi.
Bermula detik itu, kata Hattan, beliau tidak lagi menoleh ke belakang. Pintu yang telah terbuka luas buatnya, tidak mahu ditutup tanpa arah tuju. Beliau pantas berlari memajukan diri dan memastikan beliau menjadi ingatan khalayak sebagai seorang penyanyi.
Jika diselak sulur cerita masa lampaunya itu, nyata ia merupakan satu perjuangan yang berbaloi. Lihat di mana Hattan hari ini. Beliau bukan sekadar diingati sebagai penyanyi, tetapi salah seorang legenda seni suara tanah air.
Hal seumpama itu yang mahu diterapkan Hattan terhadap 12 orang anak didiknya di dalam AF 2014 kini. Bukan beliau mahu mendabik dada, tetapi dedikasi, kepercayaan, tanggungjawab, tidak berputus asa dan tuah akan mengiringi langkah para pelajar ini sebaik mereka tamat mengutip ilmu daripada tenaga pengajar dalam program realiti tersebut.
Sedar tidak mudah untuk memastikan tuah berpihak kepada mereka semua, kata Hattan, percaya dan berusaha merupakan kunci yang harus dipegang erat dalam genggaman.
KATA Hattan, setiap individu perlu punya prinsip hidup yang jelas dan tegas. Beliau memilih untuk terus kukuh dengan prinsip mendahulukan karya tempatan.
Lagu Indonesia
Apabila beliau mengumumkan tidak mahu barisan pelajar mendendangkan lagu Indonesia dalam program tersebut, respons negatif dan positif datang serentak.
Ada yang berpendapat kenyataan itu terlalu angkuh dan kurang bijak, manakala ada yang menyokong.
Begini penjelasan Hattan yang mengakui beliau sudah lali dengan cemuhan khalayak terhadap dirinya.
Bagaimanapun, sebagai seorang yang punya prinsip dan teori tersendiri tentang percaturan baharu yang dirombak ini, beliau hanya mahu anak seni menyayangi karya sendiri.
"Saya tetap dengan prinsip saya untuk tidak membenarkan mereka mendendangkan lagu Indonesia pada pertandingan ini. Buat apa memberi royalti kepada mereka? "Bagaimanapun, saya memberi kelonggaran kepada lagu berunsur dakwah atau ketuhanan milik mereka yang saya akui memang bagus.
"Ini bukan bermakna saya benci karya Indonesia. Saya sendiri mendengar lagu-lagu mereka. Sebaliknya, ia dilakukan agar kita dapat menghargai karya tempatan yang tidak kurang hebatnya.
"Kita mempunyai beribu-ribu lagu yang dicipta komposer tanah air dan banyak lagu yang hit, tetapi mungkin dilupakan kerana tiada pihak yang menyemarakkannya.
"Jadi saya ambil kesempatan ini untuk kembali menaikkan semula lagu-lagu tempatan yang hampir dilupai dan disuntik dengan susunan muzik yang baharu.
"Pertama, biar generasi baharu kenal lagu-lagu tempatan, kedua, ia secara tidak langsung barangkali dapat membuka pintu rezeki buat penyanyi lagu tersebut yang hampir tidak lagi dipedulikan," hujah Hattan panjang lebar.
Biar menyekat lagu dari seberang, lagu antarabangsa akan didendangkan sebagai satu proses pembelajaran bagi setiap pelajar.
Ujarnya, lagu bahasa Inggeris penting untuk dinyanyikan kerana sebagai penyanyi dan bakal menghiburkan segenap lapisan bangsa dan masyarakat, seseorang penghibur perlu punya kebolehan menyanyi lagu antarabangsa dengan baik.
Ditanya bagaimana beliau mahu membentuk hala tuju mereka, kata Hattan, beliau tidak mempunyai hak untuk membentuk hala tuju 12 peserta ini.
Namun, sebagai orang yang telah lama menghuni belantara muzik tempatan, beliau memberi pencerahan kepada mereka bahawa dunia hiburan bukan sekadar tentang mahu menyanyi, tetapi ia tentang bisnes dan bijak memanipulasi bakat yang ada dalam diri.
Katanya yang memberi kebebasan kepada pelajar memilih lagu sendiri: "Sejak awal saya sudah beritahu mereka, jangan fikir tentang hanya mahu jadi penyanyi, tetapi tidak mempunyai ilmu tentang bidang ini.
"Mereka perlu tahu tentang hak mereka. Mereka boleh memanipulasi bakat yang ada. Jika boleh menghasilkan lagu sendiri, mengapa mahu orang lain hasilkan lagu untuk mereka?
"Atau jika memang esok lusa tidak berjaya menjadi penyanyi, gunalah bakat untuk jadi pelakon atau seumpamanya. Dalam apa juga cabang kerja, cabaran itu lumrah dan hanya yang berjaya menempuhinya sahaja akan sukses."
BESAR harapan Hattan agar keputusannya mahu pelajar AF 2014 yang dikepalainya mampu menyedari bahawa lagu-lagu tempatan sedia ada juga mempunyai kualiti yang perlu dibanggakan dan disemarakkan.
Advertisement
Cari Gadis Jolobu
Ditanya tentang keinginan melahirkan album terkini, Hattan hanya ketawa. Bukan tidak mahu, namun kekangan masa selalu membataskan keinginan tersebut. Namun katanya, suatu hari nanti, beliau pasti muncul dengan material terkini.
Hanya pada masa kini, fokusnya lebih kepada pembikinan filem yang diangkat daripada versi lagu nyanyiannya bersama Waris, Gadis Jolobu.
Terbabit sebagai pelakon bersama Waris dan Ebby Yus, kata Hattan mereka kini memerlukan heroin filem tersebut yang akan menjadi Gadis Jolobu, dengan syarat dia mesti merupakan wanita kelahiran Negeri Sembilan.
"Ini kerana filem tersebut akan seratus peratus menggunakan dialek Negeri Sembilan yang kami sertakan dengan sari kata.
"Walaupun ia sebuah filem komedi, namun ia penuh dengan pengisian adat-adat Negeri Sembilan yang sudah semakin dilupakan," katanya.
Sengaja diusik bahawa pada masa kini membikin filem dengan modal berjuta atau berasa pengisian filem sudah hebat, namun pulangannya menyedihkan, Hattan pantas menjawab.
Katanya, mereka mempunyai strategi tersendiri untuk memasarkan filem tersebut.
"Kalau filem lain orang kena pergi ke panggung, tapi kami akan bawakan filem ini dekat kepada penonton di seluruh kampung-kampung seperti menonton wayang pacak dulu-dulu," katanya sambil tersenyum.
50 dan selesa
Meninggalkan isu yang ingin dibincangkan, saya tanya kepada Hattan, apa lagi pencapaian yang mahu beliau lakukan di dalam hidupnya.
Menarik nafas dalam-dalam, Hattan memberitahu, pada usia 50 tahun dan sudah kembali dapat meraih cinta bekas isterinya, Arianie kemas di dalam pelukan, beliau hanya mahu menikmati kehidupan dengan sederhana dan bahagia cara mereka.
"Sebelum usia ini, hidup saya mengalami gelombang yang geloranya tidak sedikit. Bekerja macam orang gila untuk capai sasaran. Sembilan tahun kosong kerana penceraian, namun saya melihat badai itu perlahan tenang kini.
"Alhamdulillah, semua urusan hidup saya berjalan seperti yang saya rancang. Dahulu saya rancang pada usia 45 tahun saya mahu bina rumah yang selesa untuk ibu di kampung, ada perniagaan sendiri dan punya keluarga bahagia, kini semua sudah ada dengan saya. Ini sudah memadai, selebihnya saya mahu lebih banyak beribadah," katanya sambil tersenyum penuh makna.