SARIMAH IBRAHIM dan Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar akan melangsungkan majlis pertunangan pada 27 September nanti.
GAGAL sekali tidak bermakna gagal untuk selama-lamanya. Kehancuran perkahwinan pertamanya bersama lelaki Inggeris, Amir Andrew Abdullah yang hanya bertahan sekitar dua tahun, dari 2006 hingga 2008 nyata membuka satu lagi episod baharu kepada Sarimah Ibrahim.
Selepas hampir enam tahun menjanda, pengacara yang juga penyampai radio Mix FM itu sudah ada mahligai untuk dituju. Jalan solonya sedang menemui penamat. Di tangannya sudah tergenggam sebuah nama, seorang lelaki yang bakal digelar suami dalam kehidupan.
Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 42, sudahpun diumumkan sebagai lelaki yang berjaya menambat hati wanita berketurunan Irish itu. Memilih lelaki dari tanah air sendiri, tanpa malu Sarimah mengakui serik untuk bercinta dengan lelaki Inggeris.
Menariknya, sepanjang sembilan tahun menyulam percintaan, Sarimah tidak pernah tahu lelaki yang menjadi sandaran kasihnya itu merupakan cucu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10, Almarhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman.
Sarimah berkata, dia tidak pernah terfikir untuk mengejar orang kenamaan malah sebelum ini dia tidak pernah tahu Jamie juga seorang yang berpengaruh. Dia langsung tidak menyangka bahawa Tunku Nadzimuddin atau lebih mesra dengan panggilan Jamie itu merupakan kerabat diraja.
Kini, hubungan mereka sudah sampai ke peringkat serius apabila sepakat mahu mengikat tali pertunangan pada 27 September nanti.
Terlanjur bertemu tuan empunya badan pada majlis pelancaran video muzik terbaharu Sarimah yang berjudul You On My Mind di sebuah kelab hiburan Lust, Bukit Bintang Kuala Lumpur, Kosmo! bertanya dengan lebih lanjut berhubung agenda besar pasangan bahagia itu.
Kosmo!: Boleh anda ceritakan sedikit mengenai permulaan perkenalan antara kalian berdua?
SARIMAH: Pertemuan kami berlaku secara kebetulan. Dia (Jamie) merupakan kenalan kepada beberapa rakan baik saya. Setelah saling mengenali dan berhubung antara satu sama lain, timbul keserasian antara kami. Dari situ cinta mula terbit. Lagipun saya ini berseorangan sejak hampir enam tahun lalu. Tiba masanya untuk saya memberi komitmen kepada seseorang. Saya lihat dia juga sangat bersungguh-sungguh dalam hal tersebut.
Adakah anda tahu dia (Jamie) merupakan kerabat diraja?
Saya tidak pernah tahu dan tidak pernah mengejar lelaki kaya apatah lagi golongan kerabat diraja. Perkara itu hanya diketahui oleh saya setelah beberapa bulan kami berhubungan. Saya tidak pernah peduli mengenai status, apa yang penting ialah hati budi seseorang itu.
Apakah keistimewaan yang terdapat pada Jamie yang membuat anda jatuh hati kepadanya?
Ada sedikit kelainan pada diri Jamie. Dia seorang yang penyayang dan sangat memahami. Dia cukup sempurna buat saya. Kami juga banyak berkongsi persamaan. Persamaan itulah yang membibitkan perasaan cinta antara kami berdua.
Setelah selesa mengenai hati budi masing-masing sejak sembilan bulan lalu, adakah sekarang masa yang paling tepat untuk anda melangkah ke fasa yang seterusnya?
Kami telah pun menetapkan tarikh pertunangan pada 27 September nanti dan akan melangsungkan perkahwinan dalam tempoh enam bulan selepas itu. Sudah tentu saya sudah cukup bersedia. Perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada pihak keluarga masing-masing. Alhamdulillah, mereka bersetuju dan saya harap segalanya berjalan dengan lancar.
Bagaimanakah persiapan pertunangan anda setakat ini?
Perancangan sudah ada tetapi persiapan sepenuhnya belum lagi. Kami hanya bercadang untuk mengadakan majlis secara kecil-kecilan di rumah saya dan dihadiri oleh saudara-mara dan keluarga terdekat sahaja. Lagipun saya sedang sibuk dalam rangka promosi single terbaharu saya berjudul You On My Mind dan single seterusnya yang juga melibatkan artis antarabangsa Simon J Bailey.
Adakah bakal tunang anda Jamie akan membenarkan anda untuk terus bergiat aktif dalam bidang seni apabila berkahwin kelak?
Setakat ini dia (Jamie) tidak pernah menghalang saya daripada bergiat aktif dalam bidang. Dia seorang yang memahami, malah, dia juga ada di samping saya ketika saya sibuk menyiapkan single terbaharu. Dia sanggup menemani saya di studio mahupun di set pengambaran video muzik.