Kolaborasi Lan A To Z, Nico



LAN (tengah) melancarkan single terbaharu Sahabat Selamanya bergandingan dengan Affa (kanan) dan Dino daripada kumpulan Nico.

TAHUN 1990-an merupakan zaman kegemilangan kumpulan A To Z. Memiliki album yang mencatat jualan memberangsangkan, persembahan pentas yang laris dan populariti yang menggunung, membuatkan kumpulan yang dianggotai oleh Lan, Jeff dan arwah Fendi menjadi satu fenomena di Malaysia pada waktu itu.

Bagaimanapun zaman kegemilangan mereka tidak bertahan lama. Selepas tahun 2000, nama kumpulan A To Z mula pudar begitu juga dengan anggota kumpulannya.

Paling terkesan ialah Lan atau nama sebenarnya Norazlan Abdul Aziz, yang kini berusia 46 tahun. Bukan hanya kerjaya seni jatuh berguling, tetapi juga kehidupan peribadinya.

Bercerai dengan isteri pertamanya, Marcella Casissi Sharif serta terpaksa berpisah dengan tiga anak kandungnya, Puteri Nur Aqmar, 13, Puteri Nur Syafiqah, 12, dan Puteri Nur Farhana, 6 tahun, yang kini menetap bersama nenek mereka di England, membuatkan hatinya bertambah remuk.






Biarpun begitu, dia harus meneruskan kehidupan. Akuinya, kini fasa bahagia dan stabil mula mengambil alih kehidupannya.

Pengalaman yang lepas dijadikan pengajaran supaya dia lebih menghargai kehidupan yang dimiliki hari ini.

“Saya sudah merasa semua keperitan hidup. Zaman kejatuhan yang membuatkan saya terduduk terus sehingga anak dan isteri tinggalkan saya.

“Mulanya memang saya bersedih tetapi saya bersyukur kerana diberi ujian oleh Allah untuk menjadikan saya manusia yang lebih kuat.

“Alhamdulillah, pengalaman lepas telah mengubah cara saya berfikir. Secara tidak langsung ia amat membantu saya untuk mencorakkan kehidupan,” katanya yang dijangka menemui tiga anaknya itu pada hujung tahun ini.

Jika sebelum ini hanya muzik berada dalam jiwanya sehinggakan dia tidak tahu melakukan pekerjaan lain untuk kelangsungan hidup, hari ini Lan menjadi seorang yang sangat berbeza.

Dia yang telah membina hidup baharu bersama Siti Nur Ain Daud, 26, dan dikurniakan seorang anak, Putera Muhammad Darwish, 2, kini seorang yang sangat positif dalam segala hal.

“Pengalaman bercerai sebelum ini mendorong saya untuk menjadi suami dan ayah yang lebih baik. Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali, peritnya dirasai sehingga hari ini.

“Mungkin orang lihat saya tidak popular seperti dahulu tetapi rezeki saya masih ada. Saya masih menerima undangan nyanyian, mana mungkin saya tinggalkan dunia nyanyian yang sudah menjadi darah daging saya,” ujarnya.

Terbaharu, Lan berkolaborasi bersama kumpulan Nico menghasilkan sebuah lagu single berjudul Sahabat Selamanya. Lagu itu dihasilkan oleh Jeff, manakala liriknya oleh Lan dan Nico sendiri.

“Saya kira sekarang waktu yang tepat untuk kami dari era 1990-an muncul kembali. Jika saya buat kemunculan semula seorang diri, saya tidak berapa yakin sebab itu saya berkolaborasi bersama Nico. Lagipun kami artis dari zaman yang sama.

“Walaupun muzik kami berbeza, tetapi ada persamaan antara kami. Saya amat berharap lagu single Sahabat Selamanya akan mendapat sambutan hangat daripada peminat,” katanya tentang lagu yang akan diputarkan di radio pada bulan hadapan.




Selain single baharu, Lan juga telah dilantik menjadi duta produk Moringga Plus selama tiga tahun. Menariknya, sebelum ini Lan sudah banyak kali dilantik menjadi duta produk dan kempen iklan.

“Termasuk Moringga Plus, sudah lima kali saya diberi kepercayaan menjadi duta produk. Saya anggap ia sebagai rezeki, walaupun saya agak sepi daripada dunia glamor tetapi ada orang yang masih mengenali saya dan melantik saya sebagai duta,” tuturnya yang ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta Moringga Plus di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sambung Lan, tidak seperti pelantikan duta produk yang lain, bersama Moringga Plus, dia juga bekerja dengan syarikat berkenaan.

“Sebelum ini saya pernah menjadi duta dan dibayar RM50,000. Wang itu habis tidak sampai tiga bulan. Sebab itu, bersama Moringga Plus, saya dibayar secara bulanan selama tiga tahun.

“Bagi saya, cara itu lebih menjamin masa depan. Nasihat saya kepada artis baharu tolonglah uruskan kewangan anda sebaik mungkin. Populariti hanya bersifat sementara, akan ada artis baharu bakal menggantikan anda, jadi beringatlah sebelum terlewat,” luah Lan menutup bicara.
Previous Post Next Post