LBS: Dugaan Kasyah, Siri terakhir penuh emosi



MASIHKAH anda ingat akan filem Lagenda Budak Setan dan Lagenda Budak Setan 2: Katerina yang diadaptasi daripada novel popular?

Kini, pengakhiran kisah seorang lelaki yang kononnya anti perempuan berubah menjadi seorang pencinta agung, tabah menghadapi segala dugaan dan setia pada cinta yang satu, bakal menemui titik noktahnya.

Masih mengekalkan Sharad Sharan selaku pengarah, filem ini menampilkan barisan pelakon hebat dan masih mengekalkan teraju utamanya, Farid Kamil, di samping Maya Karin, Bront Palarae, Ayu Raudhah, dan Iqram Dinzly.






Filem siri ketiga dan terakhir ini mengisahkan Kasyah yang ingin memulakan hidup baharu di samping Katerina. Mereka telah mengambil anak saudaranya sebagai anak angkat.

Namun, segala impian untuk hidup bahagia mula diduga apabila bekas suami kepada Katerina dan bekas rakan sekerja Kasyah mempunyai niat jahat terhadap mereka.

Bagi peminat setia novel ini dan yang tidak pernah melepaskan peluang menyaksikan filem ini di pawagam, anda perlu pastikan untuk menonton penamat pada kisah hidup Kasyah ini.

Apa yang pasti, kehidupan Kasyah kini semakin matang, namun dalam masa yang sama, makin banyak pula dugaan yang harus ditempuhi untuk Kasyah mendapatkan kebahagiaan yang diimpikannya.

Bukan itu sahaja, dek kerana satu demi satu kehilangan yang perlu dilaluinya menyebabkan Kasyah menjadi trauma untuk mendekati insan yang disayangi kerana bimbang mereka akhirnya akan pergi meninggalkannya seperti mana Ayu dan anaknya suatu ketika dahulu.

Dugaan yang dilalui Kasyah inilah yang akan mengundang simpati dan meruntun emosi penonton dengan dugaan demi dugaan yang perlu dilalui Kasyah.




Lakonan mantap

Selain itu, antara kelebihan lain filem ini adalah penglibatan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti, Farid, Maya, Bront, Ayu dan Iqram.

Bukan sahaja penonton perlu melihat permainan emosi, tetapi psikologi yang melibatkan lakonan Bront dan Iqram.

Pastinya dari segi lakonan dan permainan emosi, anda akan berpuas hati dengan persembahan dan penghayatan para pelakon di dalam filem ini.

Justeru, bagi anda yang ingin mengetahui kesudahan hidup Kasyah di dalam filem dan mengetahui sebuah kisah cinta yang menakjubkan, sekali gus meruntun jiwa dengan takdir dan ketentuan Ilahi.

Jangan lupa untuk menyaksikan kisah yang direalisasikan ke layar, menjadi sebuah kisah yang penuh iktibar, moral dan pengajaran, sekali gus memberi erti sebuah cinta yang abadi.




Lagenda Budak Setan 3: Kasyah

PENGARAH : Sharad Sharan
PELAKON : Farid Kamil, Maya Karin, Bront Palarae, Ayu Raudhah, & Iqram Dinzly.
GENRE : Drama/Romantik
DURASI : 1jam 58minit
KLASIFIKASI : P13
TAYANGAN : 11 Sept 2014
KESELURUHAN : JOM TONTON
Previous Post Next Post