The Boxtrolls Antara 2 darjat!



KISAH dua darjat yang berlainan diselitkan di dalam filem animasi terbaharu arahan Graham Annable dan Anthony Stacchi, The Boxtrolls.

Filem animasi yang menggunakan suara Ben Kingsley, Issac Hempstead-Wright, Simon Pegg, dan Elle Fanning ini mengisahkan tentang kehidupan seorang anak yatim yang bernama Eggs (suara Isaac Hempstead-Wright) yang dibesarkan dalam keluarga pengutip sampah yang hidup di bawah tanah.

Mereka ini digelar sebagai 'the boxtrolls' dan telah menjadi sasaran utama musuh mereka iaitu Archibald Snatcher (suara Ben Kingsley). Oleh yang demikian, Eggs harus menyelamatkan keluarganya daripada musuh mereka itu.






Jika dilihat daripada sinopsis, ia mungkin sebuah filem biasa sahaja, namun pada pandangan penulis, filem yang diadaptasi daripada novel Here Be Monsters ini memberi kita satu peringatan tentang kisah hidup antara dua darjat.

Dua darjat yang dimaksudkan adalah bagaimana orang kaya seperti Archibald Snatcher hidup di atas tanah dan dapat menikmati makanan lazat, pakaian mewah dan kehidupan yang selesa.

Manakala Eggs yang tinggal bersama keluarga 'troll' hidup di bawah tanah dengan serba sederhana, mengutip sampah dan dipandang hina oleh penduduk di atas tanah yang dinamakan Cheesebridge.

Bahkan sikap orang kaya yang gemar memburukkan orang miskin dan memandang hina golongan tersebut sebenarnya hanya memecahbelahkan hubungan sesama komuniti di situ.




Plot tersusun

Dari segi susunan jalan cerita, tidak dinafikan Annable dan Stacchi berjaya mengolah jalan cerita filem ini dengan baik sekali.

Plot ringkas dan ada ketikanya gelagat bersahaja 'troll' dan Eggs akan membuatkan deraian ketawa para penonton.

Selain itu, kecantikan Imej Janaan Komputer (CGI) menjadikan penonton terhibur dengan gelagat 'troll' dan Eggs.

Apatah lagi, studio yang menghasilkan filem ini merupakan studio sama yang menghasilkan animasi Coraline dan Paranorman.

Bagi anda yang mungkin masih tercari-cari filem animasi untuk ditonton pada hujung minggu ini, jangan lupa menyaksikan filem The Boxtrolls di pawagam.

Previous Post Next Post