Raqib Majid: Industri hiburan tidak memesongkan



BAKAT anak muda ini sangat versatil. Masakan tidak, pelbagai bidang diterokanya daripada membaca al-Quran kepada bertaranum, menyanyi, bermain gitar, mencipta lagu dan yang terbaru, terlibat dalam bidang pengacaraan.

Bahkan, individu ini juga aktif bertilawah sejak dari bangku sekolah sehingga pernah mewakili negara sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Malah, kebolehan Raqib Majid yang pelbagai itu menyebabkan dia memberanikan diri menyertai program realiti, Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) lalu.

Tegasnya, penyertaannya dalam AF9 dijadikan sebagai 'batu loncatan' untuknya menceburkan diri dalam industri hiburan tanah air. Begitu pun, tindakannya itu telah dipandang serong sehingga memberikan impak negatif yang cukup besar buat dirinya.






"Saya mendapat tamparan hebat terutamanya dalam kalangan peserta tilawah sendiri apabila ada yang mengatakan akidah saya sudah terpesong.

"Padahal, mereka tidak tahu apakah hala tuju saya yang sebenarnya menyertai AF9. Kini, selepas AF9, saya masih lagi terus aktif bertilawah dan pada masa sama kerjaya seni saya turut berkembang.

"Alhamdulillah, inilah hasilnya, dan pada mereka yang berniat buruk pada saya, lihat dan buktikan apa dan di mana akidah saya terpesong," tegas juara Tilawah AL-Quran Peringkat Negeri Melaka 2013, ini.

Tambahnya, dia menganggap perkara sedemikian sebagai satu cabaran yang perlu diterimanya sekali gus membantu meningkatkan semangatnya untuk menempuh cabaran lain pada masa depan.

Dari juara Tilawah AL-Quran ke pentas AF...

Pernah menyertai Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) lalu, bukanlah tiket untuk Raqib Majid atau nama sebenarnya, Fahrur Raqib Abdul Majid terus dikenali peminat. Malah, selepas diumumkan tersingkir dalam konsert keempat AF9, nama Raqib seolah-olah sepi dalam industri seni hiburan tanah air.

Ke manakah menghilangnya Raqib? Ketika diajukan soalan itu kepadanya, Raqib ternyata ada alasannya sendiri.

"Dalam masa dua tahun, perjalanan saya itu dirasakan terlalu jauh. Sejujurnya, saya merasakan ini bukanlah jalan saya. Saya hampir berputus asa sementelahan masyarakat juga mula melupakan. "Dalam tempoh itu, saya teruskan pengajian yang tertangguh dan mula aktif dalam bertilawah," jelas penuntut Universiti Multimedia, Melaka ini.

Begitu pun, pertemuannya dengan kumpulan nasyid tersohor, UNIC ketika menyertai pertandingan tilawah al-Quran di Kelantan, pada Jun tahun lalu, akhirnya berjaya mengubah haluan perjalanannya itu.

"UNIC memberi saya semangat untuk kembali dalam bidang ini. Mereka mengajak saya untuk menjadi tetamu dalam program Dikir Zikir di TV Al-Hijrah dan sejak itu, saya sudah mula aktif kembali ke bidang ini," katanya.

Jelasnya lagi, semangat dan keyakinannya kembali berkobar-kobar untuk ke bidang ini untuk merebut peluang yang ada sekali gus menafikan 'cakap-cakap' negatif yang dilemparkannya.

"Industri hiburan tidak memesongkan saya, sebaliknya saya ingin meneroka pelbagai perkara dan ini adalah salah satu caranya.

"Saya sedar saya masih baru dan masih banyak benda yang perlu saya pelajari," katanya yang ada membuka Klinik Al-Quran di kampung halamannya di Melaka.




Lahir album sulung

Selepas tampil dengan single hit, Bintang Syurga duetnya dengan UNIC, anak muda berusia 24 tahun ini kini muncul dengan album sulungnya, Luahan Rasa yang diedarkan oleh UNIC melalui UNICDotMy Pro Sdn Bhd.

Luahan Rasa memuatkan lapan lagu seperti Kulluman, Luahan Rasa, Luahan Rasa (versi akutik), Mungkinkah, Bintang Syurga, Bintang Syurga (minus one), Hanya Dia dan Kembali yang menampilkan sentuhan seni dari komposer dan pemuzik terkenal tanah air seperti Aubrey Suwito, Sham Kamikaze, Mohar, Wan Salleh, Ammar Habir dan Efry Arwis.

Pada masa sama, album ini turut menampilkan kreativiti Raqib menerusi tiga ciptaan lagunya sendiri iaitu Luahan Rasa, Mungkinkah dan Hanya Dia.

"Saya mula mencipta lagu sejak berusia 16 tahun dan sehingga kini terdapat lebih 20 lagu ciptaan saya dalam simpanan. Saya mencipta lagu bertujuan sebagai simpanan kerana saya tidak pernah meletakkan sasaran untuk bergelar seorang penyanyi," katanya.

Tambahnya lagi, album ini mempunyai pelbagai genre muzik seperti pop rock, balada, Arab dan R&B agar ia dapat diterima daripada semua peringkat golongan tidak kira tua atau muda.

"Saya berharap agar album sulung saya ini akan terus diterima oleh semua peringkat umur. Saya akui saya mencuba untuk menarik perhatian terutamanya generasi muda kini dengan aliran muzik yang saya bawa ini.

"Ini kerana, apabila saya kaji semula, remaja kini lebih minat pada muzik, baru akan pergi pada liriknya. Jadi, saya akan membuat muzik terlebih dahulu, kemudian barulah mencipta lirik," katanya.

Bergelar pengacara

Tidak setakat menyanyi, bakat Raqib kini diperkembangkan apabila dipilih untuk sebuah program terbaru berkonsepkan travelog di TV Al-Hijrah, iaitu Pasport Ziarah yang bakal bersiaran mulai 21 September ini.

Dalam program 13 episod itu, Raqib akan mengembara ke Seoul, Korea untuk menemu bual penuntut-penuntut Malaysia berjuang meneruskan kehidupan di negara orang.

Pada masa sama, lagu-lagu dari albumnya turut dimainkan sebagai lagu latar untuk setiap episod.

"Terus terang, Pasport Ziarah adalah platform untuk saya memainkan lagu-lagu saya ini. Saya juga baru saja habis menjalani penggambaran di Seoul, Korea dan saya harap peminat akan menonton travelog ini," katanya.

Walaupun sudah menceburi bidang pengacaraan, kecenderungan Raqib masih lagi kepada dunia nyanyian.

"Ia adalah satu dua bidang yang berbeza. Walaupun pengacaraan memberikan pengalaman yang cukup menyeronokkan tetapi saya lebih minat kepada nyanyian," katanya yang menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Esa.
Previous Post Next Post